Saturday, 14 July 2007

Janji

I.
Demikian setianya janji yang bermukim damai di jambangan hati, menanti dalam tenang lamaran sang purnama mengambang. Pada hati yang utuh berjanji, tiadalah aral segarang badai pun yang bisa menghancurkan janji itu. Tidak juga ombak mengganas mampu memamah sebuah janji nan seteguh waja. Janji adalah amanah, dilunaskan atas nama cinta Khaliq.

Namun janji Khaliq lebih perkasa. Taufan bagiNya hanyalah usikan naluri dan gelombang itu sekadar menguis-nguis rasa. 'Pabila mahuNya berkata “jadilah”, maka tanpa curiga janji itu hanya tinggal ungkapan yang terkulai di pinggir bibir.

II.
Aduhai, longlai jua sekujur tubuh ini dan hati kecewa tidak terperi! Hanya kerana pembentangan tugasan ditunda ke petangnya, janji hati untuk membawa diri ke Tanjung terpaksa dibatalkan. Sabar dan redha jua.

Mengimbau kembali yang telah berlaku dan berlalu, apa jua yang dikalamNya untuk saya maka itulah yang terbaik untuk saya jalani. Wallahu'alam.

Kereta teman saya telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan ke utara. Kawan sebelah pemandu (yang sepatutnya saya jika mengikut rencana asal) mengalami kejangan otot akibat terjerut tali pinggang keledar ketika kereta tidak sempat dibrek, lalu melanggar kereta di hadapan yang melakukan brek kecemasan. Ranap bonet kereta teman itu. Otot kawan yang kejang masih belum pulih sepenuhnya hingga kini.

Kepada keluarga Bakawalee dan Klan Genderangnya, walau tidak berkesempatan menghadirkan diri, kalian tetap hadir dalam hati saya kala Devian Dogma berpencak di atas pentas.

III.
Aah, janggal sungguh berada di sidang minum-minum kopi itu yang lebih banyak berlipur-lipur berdongeng tentang emas berlian. Tentang tebal nipis gelang dan rantai leher, juga tentang sofa Itali dan pakaian dalam Rahsia Victoria.

Selalunya begitulah, berasa janggal sekali kerana mereka wanita-wanita hebat anggun bergelaran itu dan ini. Sepatu dari Milan, baju dari London. Tempah busana Bernard Chandran. Bergincu Shiseido, berselendang renda Perancis. Antara Cleo dan Cosmopolitan -Impiana dan Jelita, tersisip Mangga dan Hai!

Saya berada di kalangan mereka bukanlah menyibuk-nyibuk sebenarnya. Sekadar menunaikan janji untuk menemani kawan saya yang kerjanya kadang-kadang menjaga tepi sarung perempuan anggun sebegitu. Pada suatu hari, selesai entah berapa cawan kopi hitam Brazil yang diminumnya, maka terkeluar dari mulutnya mengatakan saya ini gemar akan segala macam sajak. Wah, sejak itu mereka bukan main lagi mahukan saya mendeklamasikan sajak. Saya kata saya tidak pandai, saya sekadar tahu sedikit-sedikit baca sajak.

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Saya mahu menarik diri.

Tiba-tiba suatu malam sedang saya merenung bintang yang cahayanya menyimbah-myimbah benak, saya teringatkan sesuatu. Lalu berujarlah hati bahawa setiap kita perlu berani membuat pertimbangan kepada sebuah kehidupan yang fana ini, yang denainya entah panjangnya berapa hasta dan berapa relung pula luasnya. Hatta selagi nafas gah dihela, usahlah melangut-langut mensiakan setiap detik masa yang dilalui. Hidupkan jiwa dan pugarkan kembali kesedaran dan nilai semula harga diri dan tanggungjawab kepada agama dan ummah.

Siapa-siapa juga kita ini wajarlah berjanji kepada diri sendiri kerana Dia, kerana kita hambaNya. Usah alpa, bukankah sejak dalam rahim ibu lagi manusia sudah berjanji kepadaNya bahawa sepanjang hidup ini kita akan sentiasa bertaat dan berbakti kepadaNya? Berjanjilah untuk tampil ke hadapan menyirna gelap serta menyuluh terang bersandarkan upaya yang termampu oleh jiwa raga.

Janji diungkap untuk disimpul, mati atau tidak simpulan itu terpulang kepada pengungkapnya. Rasa yang tergetar dalam kalbu adalah hasil santapan mata, dinilai oleh akal, diperiksa oleh hati. Menyempurnakan janji setia padaNya adalah penyingkap restuNya dunia dan akhirat.

Oh oh, hampir terlupa pada sajak untuk mereka itu. Saya sambung ...

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Namun bintang itu memberi ilham lalu hari minggu lepas saya membaca sajak AJ yang berikut untuk mereka.

naakt
anak-anak kami selalunya
dengan rela tidak sengaja
membuka kutang
membuka celana
telanjang sebelum
cukup matang


beschaamd
kurang ajar sungguh perempuan
perempuan yang berbaju ketat
sendat sambil menutup kepala
dan mendakwa menutup aurat

mahu rasanya berdiri di depan mereka
membuka zip seluar
dan tunjukkan

ini! ini! ini aurat!
hanya nampak apabila dibuka!


Ruang itu menjadi hening. Tiada tepuk sorai seperti selalunya yang membuat saya tunduk silu. Mereka terpaku. Eh, eh … mereka merenung saya dalam-dalam. Selang seminit mereka saling berpandangan. Diam.

Mata kawan saya menyinga, semerah saga memerhati saya. Saya selamba.

“Itu sajak apa?” Tanya seorang yang rona rambutnya bak warna kulit pinang ranum.

Jawab saya, "Sajak-Sajak Suci."

Pak AJ, sajak-sajak nukilan Pak AJ mampu menjadikan saya seorang yang berani! Terima kasih untuk itu. Moga dalam damai dan tenang, di mana jua berada.

IV.
Saya akan meninggalkan teratak sepi ini untuk beberapa waktu. Kala bila saya akan pulang, tidaklah saya berani berjanji.

dalam rentang waktu yang berdebu
tersisip kartu aneh mendayu-dayu
andai purnama tiada retak seribu
teratak kujelang bersama kasihnya bayu


Tiba-tiba saya teringat Loppies dan Bro ZZ.

Moga kalian teman bloggers dalam dakapan hidayahNya selalu.

Salam.

Wednesday, 4 July 2007

Ingin Terbang Ke Tanjung

Kepingin sekali menjadi seperti burung helang itu yang sayup-sayup terbangnya mengepak-ngepak sayap, membawa khabar kasih untuk orang di seberang sana, jauh-jauh ke angkasa raya lalu menyelit antara awan-gemawan nan putih di langit membiru. Aaahh, tentunya nyaman sekali!

Ke mana?


Menunaikan hasrat hati yang dipendam kira-kira dua belas purnama lamanya. Sesuatu yang hampir saja digapai tahun sudah namun terhalang di tengah jalan. Juga untuk meraikan cinta Alam yang telah membujuk gundah sekeping hati ini. Alhamdulillah.

Namun dalam kalut waktu yang tersimpul erat begini, entah mampukah diri merungkai simpulan itu. Walau menjadi tuan kepada masa, barangkali saya juga perlu menjadi pencuri masa!

Sejujurnya, kepingin sekali terbang ke Tanjung untuk Devian Dogma.

Selepas itu, kalau punya masa lagi, elok juga rasanya makan angin meninjau-ninjau nama-nama jalan di Tanjung sebelum ditukar kepada nama yang lebih glokal.

Salam.

Friday, 29 June 2007

dia Dalam Kenangan

Selepas pertemuan terakhir itu dia menyepi seperti yang sudah-sudah juga, dan saya akur benar dengan fi'ilnya yang aneh itu. Kunjungnya janganlah dinanti, perginya relakan saja. Usah jua merindu-rindu.

Namun keagungan-NYA yang Maha Kamil mengatasi segala kesempurnaan insan. Siapakan bisa menghalang layangan warkah itu yang tibanya tanpa diduga, menggirang nian sekeping hati.

dia kembali, dia kembali! Namun ...

... dia kembali hanya untuk menitip salam perpisahan diiringi seuntai doa sewangi jambangan mawar putih - "Semoga setiap detik nafas yang kamu hela itu ada kasih-NYA bertakhta di sanubari."

Betapa tercalar jua naluri ini. Dari getar suara kalamnya, saya tahu ada guritan pedih di hatinya. Aduhai.

Balas saya - "Selamat tinggal bukan untuk selamanya. Ada waktu-waktu kamu singgah dalam doa saya. Ada ketika-ketikanya saya hadir dalam doa kamu."

Begitulah berakhirnya kisah kami.

Barangkali itulah janji Masa kepada sekalung persahabatan yang berenda mulus dengan benang-benang kasih-NYA yang berwarna pelangi. Pesan-NYA barangkali - "Renda secantik itu jadikan hamparan denai menuju mahligai-KU."

Aduhai. Luka itu tetap saja pedih dan hati menangis menahan sakit. Namun parut luka tidak semestinya berbekas.

Pada kalbu yang disemai cinta Alam, luka itu menyubur pohon hati untuk merendangkan rasa insaf yang bakal mendampingkan jiwa pada Khaliq.

dia dalam kenangan.

Salam.

Monday, 25 June 2007

Ah, mata ini ...

Manakan bisa menutup mata kala menjalankan tugas. Apa tah lagi andai tugasan itu bertempat di beberapa buah kompleks membeli-belah dan taman-taman rekreasi di sekitar ibu kota. Macam berhibur-hiburlah pula saya selama empat hari itu. Aduuh, mata ini pun satu juga, payah benar untuk tidak melihat mereka! Anak-anak muda itu saya kira sedang ... entah apa perkataan yang paling sesuai ya ... membeli-belah, bersantai, bersiar-siar, berpeleseran, atau berkeliaran?

Perangai anak-anak muda itu sungguh merobek hati saya, tapi barangkali tanggapan saya itu salah. Maka untuk memujuk luka itu dan mahu benak berfikiran yang baik-baik saja, saya pun memakai kaca mata hitam dan berbisik manja kepada hati ...

Barangkali sudah menjadi trend masa kini untuk berkahwin muda, dan direstui oleh ayahanda bonda. Barangkali juga pengantin baru mahu berjimat-cermat lalu berbulan madu saja di tanah air. Oh, keghairahan mereka bercanda asmara sukar dibendung, bermesra-mesraan dan bercumbu-cumbuan di mana-mana! Di kompleks membeli-belah. Di taman-taman rekreasi.

Entahlah, empat hari itu amat menggusar rasa dan menggangu tumpuan tugasan. Sebak nian, dan hati membujuk mohon dihibur.

Lalu saya bersantai mencuci mata di sini. Betapa saya terhibur sekali sehinggakan air mata menitis membasahi pipi, menyuci hati, dan mengangkat cinta untuk-Nya. Terima kasih Pak AJ. Moga Tuhan memberimu damai dan tenang, sentiasa.

Salam.

Tuesday, 19 June 2007

Lelaki Pakai Subang

Apalah yang nak dihairankan pada lelaki yang masuk ke salon kecantikan untuk mendapatkan rawatan facial. Tidak juga menghairankan kalau lelaki menggunakan produk penjagaan kulit yang lengkap seperti orang perempuan. Itu keperluan asas saya kira untuk menjaga kulit wajah agar penampilan lebih segak.

Saya juga tidak hairan andai ada lelaki yang gemar memakai kemeja berbunga-bunga, atau menggalas beg yang bercorak agak feminin. Itu fesyen, kata mereka.

Apa yang menghairankan saya ialah lelaki yang memakai subang di telinga. Tak cukup satu, dipakainya dua atau tiga. Paling hebat yang pernah saya lihat ialah dua cuping telinga dipenuhi subang beraneka bentuk, warna, dan gaya. Fikir saya, barangkali dia sudah kehabisan tempat untuk menyimpan subang-subangnya, maka disimpan saja di cuping telinga. Barangkali juga cuping telinga itu tidak cukup, lalu dipakai di hidung, di bibir, di hujung lidah, dan di pusat.

Lagi menghairankan saya ialah apabila si pemakai subang itu ialah seorang lelaki yang sudah setengah abad umurnya! Astaghfirullah al'azim...

Rata-rata lelaki yang pernah ditanya berkata memakai subang itu meyakinkan diri, mengikut fesyen, dan kelihatan cantik. Cantik?

Cuma yang tidak menghairankan saya ialah kalau lelaki yang memakai subang itu adalah lelaki India kerana memakai subang yang dipanggil kadukkan merupakan adat dan tradisi yang dilaksanakan ketika kanak-kanak lelaki mencapai usia baligh. Tradisi ini disempurnakan dalam upacara bertindik penuh adat istiadat dengan segala jampi serapahnya. Budaya ini juga dijalankan untuk kanak-kanak perempuan di mana subangnya dipanggil toodu.

Menurut kepercayaan kaum India, manusia yang tidak ada cacat-celanya mudah terkena sihir. Oleh itu, bertindik dan memakai subang melambangkan 'kecacatan' dan tidaklah mudah terkena sihir.

Sudah tentu lelaki Melayu memakai subang bukan kerana alasan yang sama seperti kaum India itu. Alasan yang utama ialah fesyen.

Rupanya kebanyakan kita ini suka menjadi hamba kepada fesyen hingga lupa kepada batas-batas dan sempadan tata-susila berfesyen!

Salam.

Sunday, 17 June 2007

Pesan Bapa

Setiap hari adalah Hari Mama.
Setiap hari adalah Hari Bapa.


~ Bacalah buku kerana buku adalah kawah ilmu yang dapat membantu memasakkkan kehidupan manusia.

~ Mengembaralah kerana kembara akan menimbulkan rasa kekaguman terhadap kebesaran Tuhan. Rasa kagum membawa diri untuk berfikir. Berfikir membuka ruang untuk mencari ilmu.

~ Nilai wanita terletak pada keberaniannya memikul tanggungjawab dan mencintai hidup.

~ Pakaian melambangkan kesopanan wanita dan mewakili bangsa yang berbudaya dan berhemah mulia.

~ Seorang bapa adalah pemimpin keluarga menuju syurga Illahi.


Selamat menyambut Hari Bapa kepada semua teman blogger yang bergelar bapa, dan selamat Hari Bapa juga kepada bapa-bapa teman blogger :)

Salam.

Friday, 15 June 2007

"Saya lelaki malang."

Khamis 14 Jun 2007, 12.30 tengahari ...

Bersama hanya untuk memandang seraut wajahnya yang suram bukanlah sesuatu yang enak dirasa. Seenaknya bertamu ialah 'pabila ada bicara tentang bintang-bintang di langit, atau pelangi tengahari, atau titis-titis air, atau tentang sebutir mutiara itu. Namun begitulah selalunya, dia mahu bertemu hanya untuk melontar rasa asam garam dan manis pahit kehidupannya.

"Apa lagi kali ini?"
"Dia mahu saya tinggalkan dia." Suram wajahnya menjadi kusam.
"Bagus, teruskan." Ujar saya. Dia menjegilkan mata.
"Saya tidak sanggup."
"Tapi sanggup dipermainkan dan diperbodohkan?"
"Kasihan pada Lia dan Aman."
"Dia cuma ibu pada nama, tanggungjawab ibu kamu yang pikul."

Aduuh, siapalah saya ini untuk berungkap-ungkap begitu kepadanya yang lebih berpendidikan tinggi! Namun barangkali kerana tali kekeluargaan dan persahabatan yang tersimpul kuat sejak kecil lagi menjadikan kami dua orang sahabat yang saling memahami, maka saya petah saja mengaju-ajukan suara lantang yang barangkali kurang lunak didengarnya.

Begitu sekali kehidupannya yang tidak pernah bahagia walau mahligai terbina atas nama cinta dan kejujuran mahu mengangkat mertabat seorang perempuan dari lembah yang kotor ke taman indah yang dikerumuni rampai sari semerbak harum, lalu dibelai-belai dan diteduhi selangit kasih hanya untuk yang tersayang.

"Apa harus saya buat?" Tanyanya dalam murung wajah yang menggusarkan saya.
"Tunaikan apa mahunya."
Dia mengeluh panjang-panjang.
"Hei, ramai lagi perempuan yang anggun-anggun di luar sana untuk menjadi ibu kepada Lia dan Aman!"
Matanya berkaca-kaca.
"Aduuh, untuk apa bersedih? Kan sudah diusaha untuk mengubah keadaan?"
"Saya lelaki malang."

Lebih malang lagi maruahnya sebagai lelaki saya kira, andai dia tidak melepaskan perempuannya itu. Bertambah-tambah malang andai berterus-terusan menjulang kasih yang tidak berbalas. Dia perlu membuat keputusan.

Akur, membuat keputusan bukan calang-calang sukarnya, amat berat untuk dilaksanakan dalam kehidupan yang fana ini. Kadang-kadang keputusan itu berdaya menghancurkan diri sendiri dan bisa saja menggurit berkeping-keping hati yang lain.

Pada jiwa-jiwa yang mengagungkan Rabbulalamin, keputusan yang berlandaskan cinta kepadaNYA, walau perit untuk dipapah, bakal membungakan cinta yang lebih wangi dan bermakna untuk sebuah kehidupan yang lumayan di dunia dan akhirat. Wallahu'alam.

Addin, moga Dia melapangkan hatimu untuk satu keputusan yang kamu redha dan diredhaiNYA.

Salam.

Wednesday, 13 June 2007

Mahendran dan Khairil

Rupanya Mahendran yang baru 4 bulan menjadi anak didik saya itu adalah abang kandung Tilla yang mulutnya becok sekali dan cukup suka jaga tepi kain orang.

Mahendran berkarektor introvert. Suaranya langsung tidak keluar apabila diajukan soalan, kalau bersuara pun macam bunyi ayam yang tidak cukup makan gayanya! Dia cuma bersuara sedikit kuat apabila diacah-acah oleh Khairil yang duduk di belakangnya. Budak Khairil ini pun satu juga, nakalnya bukan main lagi dan saya agak kecewa dengan pencapaiannya walau sudah 2 tahun di bawah bimbingan saya.

Mahendran dan Tilla datangnya dari keluarga 11 orang dan tinggal di rumah pangsa dua bilik. Ibu, bapa, datuk, dan 8 orang adik beradiknya tinggal sebumbung. Tilla di Darjah 5, Mahendran di Tingkatan 1. Kakak sulung mereka Yugini menjadi murid saya dua tahun lepas ketika di Tingkatan 5. Hasil usahanya yang gigih, BM yang sering gagal dulunya berubah menjadi kredit 5 di dalam SPM. Dia juga mendapat 1A, dan 5 kredit yang lain. Sekarang dia di Tingkatan 6 dan bercita-cita untuk ke menara gading, dan menjadi guru.

Mahendran bersama seorang lagi adiknya diserahkan kepada rumah anak yatim ketika masing-masing berumur 8 dan 7 tahun. Bapa mereka kerjanya pemandu lori. Ibu mereka tukang sapu di sebuah pasar raya. Apabila rumah anak yatim itu ditutup, Mahendran dan adiknya kembali ke pangkuan keluarga awal tahun ini. Mahendran ini kemahuan belajarnya cukup kuat dan dia rajin. Dalam masa 4 bulan sudah ada peningkatan dalam pelajarannya.

Akan tetapi budak Khairil itu, alahai, tak berubah-ubah sikapnya. Dia mempunyai 6 orang adik beradik. Dia yang sulung. Bapanya pemandu lori manakala ibunya pekerja kilang. Saya pening. Sudahlah mengganggu-ganggu orang lain, dia jarang sekali menyiapkan kerja dalam kelas! Sudah dinasihati, sudah ditegur. Sungguh keras kepala! Lain yang disuruh, lain yang dibuat.

Remaja mestilah membincangkan perkara yang keburukan. Remaja mestilah menjalankan aktiviti bersama rakan sebaya. Kalau kita tak tahu rakan sebaya kita akan mengajar kita. Kalau di sekolah mengadakan menghadiri motivasi remaja. Di motivasi cikgu akan mengajar remaja tentang pelajaran. Cikgu akan beritahu kepada remaja apa-apa yang keluar di peperiksaan. Remaja mestilah belajar pelajaran yang diajar oleh cikgu mata pelajaran.

Saya ketawa kecil semasa memeriksa karangannya itu mengenai "rakan sebaya dapat membantu dalam proses pembentukan disiplin remaja." Kalian juga ketawakah? Barangkali. Wah, kalau begitu kita sendiri mentertawakan orang Melayu!

Oh, itu cerita Khairil yang mewakili cerita Aqilah, Idah, dan Nasrul.

Akan tetapi cerita Nuratiqah sudah berakhir buat seketika ini. Dia tidak lagi menjadi anak murid saya, walhal peperiksaan UPSR sudah semakin hampir. Bapanya garang tapi tidak melarangnya untuk menghadiri kelas. Kata ibunya, Nuratiqah tiada kemahuan untuk belajar lagi. Saya sedih. Saya masih memujuknya.

Salam.

Tuesday, 12 June 2007

Tanpa Undangan

Petang semalam jam 5.55 ...

Sudah menjadi budaya perempuan itu memeriksa tayar sebelum memandu. Semua kelihatan baik lantas dia pun memandu sambil mendengar lagu keroncong Rindu. Dia damai dan tenang kala itu.

Tiga minit berlalu dan ketenangannya terganggu. Entah kenapa keretanya menjadi lemah. Pedal minyak dan pedal gear ditekan-tekan silih berganti namun kereta semakin tidak siuman. Antara mahu dengan tidak, dia pun memandu dengan gear dua kerana itu yang paling selesa. Tiba-tiba ada bunyi aneh entah dari mana datangnya. Keroncong diperlahankan dan telinganya ghairah mencari-cari bunyi itu.

Bunyi krook, krook, krook semakin nyata datang dari arah belakang sebelah kiri kereta. Dia melihat cermin sisi kiri tapi tidak ada apa-apa yang aneh di belakang.

Sejurus krooook, kroook semakin kuat. Dia menoleh ke belakang. Asap?!!! Dia menjerit dalam hati. Cemas.

Kereta dipandu ke tepi. Keroncong ditutup kemudian dia keluar melihat apa yang berasap.

Matanya terbeliak. Aiseyymann, tayar pecah? Hari itu baru ditukar baru. Bunga masih cantik. Dia beristighfar beberapa kali.

Dia segera menelefon AAM. Seusai menelefon dia mendongak. Sekali lagi matanya terbeliak.

Seekor gagak hitam melayah-layah melintas di hadapannya ...

Salam.

Friday, 8 June 2007

Gagak Hitam, Kucing Hitam

Entah apa yang tersirat apabila seekor gagak hitam melintas di hadapan saya seawal 8 pagi tadi. Saya tersenyum lebar. Bukan melihat gagak itu, tapi teringatkan kandungan satu e-mel daripada seorang yang bergelar guru berpangkat abang kepada saya yang menyentuh tentang kucing hitam dan gagak hitam. Katanya kalau gagak hitam atau kucing hitam melintas di hadapan, barangkali boleh saja dijadikan ilham melukis cerita ala-ala Harry Potter!

Aah, tepat sekali! Ilham pun datang lalu terlukis jua cerita, namun kisahnya sekadar ala-ala Si Bunga Rampai...

Barangkali gagak hitam itu punya kesaktian yang aneh-aneh membuat saya sepanjang pagi walau tidak sibuk, culas pun tidak, alahai ... ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasa begitulah.

Barangkali saya telah melukai hati seseorang, barangkali beberapa orang. Di mana-mana. Alahai, resah nian!

Saya tahu luka itu adalah luka saya juga. Dan saya berasa amat terluka. Entah mengapa ya. Kini saya mencari denai menghijau dan tasik nan jernih untuk melipur-lipur hati. Hujung minggu, atas izin Masa jua.

Sungguh, gagak itu sakti sekali. Barangkali. Tiba-tiba denai dan tasik itu terpampang di ruang benak. Saya tahu kini di denai mana ada damai, di tasik mana ada tenang. Di sana ada tafakur dalam santai.

Aah, lamanya tiba hari minggu itu ...

Barangkali andai seekor kucing hitam tiba-tiba melompat di hadapan saya, itu tandanya saya sudah menghancurkan hati seseorang, atau beberapa orang. Barangkali. Kerana seperti gagak hitam, kucing hitam juga membawa pesan Alam (Walaupun warna hitam, usah sirnakan. Renung dengan mata hati, ada kemurnian di dalamnya).

Moga ada maaf Khaliq untuk saya.

Salam.

Saturday, 26 May 2007

Cinta dan Rindu

Selingkar kisah perca kenangan, kadang meredup rasa. Meneduh dalam diam. Mengutuh dalam sabar. Kebetulan hari ini genap dua tahun ia berlalu ...

Jejaka itu muncul kala saya dalam damai hati dan pugar mata menyantap judul buku-buku yang tersusun kemas di atas rak itu. Saya menjeling dengan ekor mata. Dia tampak santai berpakaian seluar koboi dan kemeja T merah hati tanpa kolar. Parasnya entah bagaimana.

Saya beralih ke sudut lain, dia menurut. Saya mengusik-ngusik buku-buku di atas rak. Dia tercegat sambil berpeluk tubuh. Membaca judul buku agaknya, fikir saya.

Tiada yang menarik di sudut itu lalu saya menyusun langkah ke sudut kiri. Dia mengekori, dan tingkahnya itu membuat saya merapi hati yang mula bergelombang. Dalam resah rasa yang menggebu, saya menarik keluar sebuah buku yang judulnya cukup mempesona.

"Engkau tidak bisa merindukan orang yang berlalu
jika yang engkau rindukan tidak merindukanmu."


Saya terpempan dengan lontaran bait itu. Buku di tangan terjatuh ke atas lantai. Dia mengambilnya dan bersama senyuman agak nakal di bibir, dia menghulurkan buku itu kepada saya. "Muka surat sebelas." Ujarnya.

Sukar sekali mengatur nafas kala itu dan dalam denyut nadi yang bertebaran, saya membuka muka surat sebelas. Mata saya terbeliak. Sungguh, bait itu terpampang jelas di hadapan mata!

"Muka surat 235," ujarnya lagi. Dalam kalut rasa yang sukar dipujuk dan dalam ketar jari-jemari yang dingin, saya menyelak halaman itu.

"Helaan nafas orang jatuh cinta yang bertubi-tubi
penanda derita cinta yang terpendam di relung hati
detak-detak cinta menghentak dinding sanubari
menghela nafas panjang untuk mengusir tabir hati."

Aduhai, betapa indahnya ungkapan itu membuat saya merenung wajahnya. Dia menunduk. Saya terpinga-pinga. Sejurus dia mengangkat kepala. "Bukan kata-kata saya, ada di halaman itu, bacalah," pintanya. Saya mencari ungkapan itu. Ya, ada di halaman itu!

"Selamat membaca, assalamualaikum." Dia merenung lembut dan dalam renungan itu ada kilau yang memancar. Saya tertunduk. Sejurus saya mengangkat kepala hanya untuk melihat senyumannya dan susun langkahnya meninggalkan saya.

Saya bergegas mengejarnya. Sekurang-kurangnya saya membalas salamnya, bisik hati kecil.

Aaahh, dia tiada! Saya bertafakur seketika dan di kejauhan rasa saya bingkiskan salam dan doa untuknya. Siapa-siapa juga dia itu.

Sambil menunggu giliran di kaunter bayaran, saya sudah mula membaca buku itu: Cinta & Rindu (Menurut AlQuran dan AlSunnah) - Ibnu Qayyim Al Jauziyyah (terjemahan).


Salam.

Wednesday, 23 May 2007

Yang Sudah Berlalu

Dalam lembaran hari yang dilepaskan, ada helaian rasa yang bisa saja menjadi perca kenangan. Mengimbau dalam senyuman, menderai tawa, dan ada waktu-waktunya mendesah nubari lalu rindu bersimpuh jua di relung hati. Itulah kehidupan yang indah - ada kala enaknya tiada, sering dihampari kejutan, dan dugaan ...

Ahad pagi, sedang saya membayar harga nasi lemak di gerai itu. Aduuuhh! Bagaimana ya telefon saya boleh tercampak ke dalam bekas berisi penuh sambal nasi lemak itu? Mujurlah bersarung, jadi, telefon itu masih berfungsi. Mujur juga Mak Jah sudah lama saya kenal, dan dia hanya mentertawakan saya.

Ahad tengahari, sesudah mengisi petrol. Eh, eh! Tiba-tiba alat penggera kereta menjerit-jerit, hingar sungguh! Semua mata memandang saya. Ooh, malunya! Mujurlah ada seorang jejaka yang baik hati meredakan jeritan itu.

Ahad petang. Chef Rampai kepingin sekali membuat kek Orange Chiffon kegemarannya. Aiseymaaann, apa hal ni? Kek yang sepatutnya lembut gebu bagaikan sponge menjadi keras dan berkerak. Ha ha ha ...

Hari Isnin, saya sepatutnya menghantar tugasan jam 5 petang. Entah bagaimana minit-minit terakhir saya perasan ada kesilapan teknikal, maka saya meminta tangguh barang sehari lagi. Ooh, saya diberi amaran terakhir. Saya menggigit jari!

Semalam. Dari mana datangnya seekor rama-rama itu saya pun tidak tahu. Tiba-tiba saja muncul mengekori saya kala berjalan ke arah bangunan itu. Hinggap sana hinggap sini. Eh, rimasnya saya! Mahu saja saya menangkap rama-rama yang berwarna hitam berjalur kuning itu dan mematah-matahkan sayapnya agar tidak dapat terbang lagi dan tidak mengganggu perjalanan saya. Huh, sungguh tidak berperikehaiwanan saya ini! Mujurlah saya teringatkan sesuatu. Ya, rama-rama juga membawa pesan, walau ada ketikanya ia bisa saja merenggut rasa, bisik kalbu. Lantas, saya hanya mengibas-ngibas rama-rama itu agar tidak terlalu rapat pada saya.

Begitulah tiga hari yang sudah berlalu. Entah apa pula yang bakal bertandang hari ini, esok, dan hari-hari seterusnya. Dijemput atau tidak, segalanya akur saja diharung walau dalam kelabu mega, atau hujan tengahari, atau hangat suria. Lewat dinihari, sebutir bintang itu tetap saja setia menanti, teman bicara dan bersyair khair selagi jiwa itu mengalunkan nafas. Alhamdulillah dan selawat ke atas Baginda.

Moga hari-hari kalian dalam damai dan tenang :)

Salam.

Friday, 18 May 2007

Terhiris

Begitulah. Apa yang dihidang oleh media, itulah yang ditelan. Apa yang dilihat oleh mata, itulah yang dijadikan bahan hujahan. Mereka percaya.

Kata kawan saya Susan kepada John, "Islam di tanah air saya ini semakin liberal."

Saya cuba menelan air liur.

Inez teman John, "Ya, perempuan-perempuan kamu berani ke hadapan memperjuangkan hak wanita. Anak-anak muda juga pandai bergaul dan ranggi sekali berfesyen."

Susan, "Saya bangga dengan pembangunan negara saya. Dan John, kamu juga perlu menemuramah mufti yang liberal itu, juga seorang lagi mufti yang konservatif."

Oohh, air liur itu tersekat ditekak.

John wartawan dari sebelah timur Eropah itu berpaling kepada saya, "Pastinya kamu juga menyokong kumpulan kakak-kakak seIslam kamu yang hebat itu."

Duh, pahit sungguh air liur yang ditelan itu!

Saya, "Bla, bla, bla ..."

Untuk beberapa ketika kami bersoal-jawab. Entah siapa yang menang.

Saya cuma tahu hati saya amat terhiris, luka. Pedih, kerana tanggapan sipi mereka tentang agama saya. Bersedih jua mengenangkan tanah air ini, dan sebahagian kita yang masih lagi leka berfantasi sampai ke langit sepuluh. Sanggup membiarkan diri menjadi boneka yang tempang kaki, dan ditertawakan!

Sudah dua hari saya memujuk rasa untuk melupakan sidang itu. Aduhai, payah sekali...

Salam.