Friday, 9 March 2007

Si Cilik Remaja ll

Terima kasih kepada teman bloggers yang meninggalkan komen untuk entri saya yang terdahulu, Si Cilik Remaja. Saya amat menghargainya. Kalian sebenarnya telah membuka ruang untuk saya meluahkan rasa hati. Luahan rasa bermula dengan petikan komen di bawah yang saya kira mewakili semua komen yang telah diberi.

Dari sudut lain, mereka sebenarnya mencari kasih sayang. Malahan dengan aiskrim sudah timbul keseronokan. Perlu ditunjuk ajar dengan penuh hikmah ~ Ku Keng.

Cilik-cilik Si Cilik Remaja, dia juga manusia biasa yang punya hati, ada rasa, membendung hasrat, mahu berbicara manja, kepingin sekujur tubuh diusap belai dengan tangan-tangan lembut penuh kasih dan sayang. Si Cilik Remaja mahukan perhatian. Lumrah kejadian manusia di peringkat ini dengan jiwa yang berdarah panas, berombak ghairah - ini bukanlah satu perkara pelik. Cuma, ianya akan menjadi aneh apabila segala rasa dalaman itu dengan enak saja disalurkan tidak mengikut adab, lantas bukan sahaja remaja itu menzalimi dirinya sendiri malah menzalimi ibu bapanya, keluarga, kawan-kawan, dan ummah.

Lihatlah betapa mudahnya mempengaruhi remaja yang terumbang-ambing dengan perhitungan yang masih terapung-apung - hanya dengan pelawaan untuk makan aiskrim, lentur akar hati lantas menurut saja kehendak itu . Apa lagi andai diajak tengok wayang, makan angin, tengok konsert - pasti melonjak seronoknya tidak terperi! Bayangkan apa yang bakal berlaku andai yang mengajak itu punya niat jahat, alahai ... kesan dan kesalnya juga tidak terperi!

Apa pun keterlanjuran yang telah dilakukan oleh para remaja, saya kira ruang masih lebar dan panjang untuk membawa mereka ke jalan yang lebih berfaedah, dan siapa-siapa juga kita ini wajarlah menjadi sahabat mereka sekali gus berperanan sebagai pembimbing.

Bukan semua remaja bermasalah datang dari keluarga yang berantakan, bukan semua remaja mahu berada dalam kabut kepincangan peribadi. Ada remaja bermasalah berlatarkan keluarga yang berhemah, ada remaja pincang kerana desakan dan tekanan hidup.

Sambil-sambil kita menuding jari ke sana-sini, jangan lupa tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. Sambil-sambil kita mengeluh mengenang nasib para remaja yang tergelincir jalan, binalah denai lurus dan terang untuk mereka lalui, moga mereka lebih menghargai kehidupan yang fana ini. Tunaikan amanat Allah Subhana Wata'ala yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Setiap kita punya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhana Wata'ala untuk membantu insan lain. Kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle, saling melengkapi untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan akhirat. Mengabaikan amanah ini bermakna kita turut membantu menghancurkan ummah, sekali gus mengabaikan persediaan jawapan yang bakal ditanya di akhirat nanti.

Remaja sering keluh resah mengharapkan belaian suara manja penuh kasih, sentuhan tangan mengusap-ngusap sayang - itulah santapan rohani yang ulung dalam pembentukan jiwa remaja yang berketerampilan hebat, juga perisai utama untuk menepis dan menangkis noda-noda hitam yang menceroboh diri! Jiwa nan gersang kasih sayang juga adalah perangkap utama remaja mencari perhatian dan keyakinan di luar norma kehidupan dan adab-adab agama.

Sambil-sambil makan aiskrim, sambil-sambillah berseloroh dan berbicara santai a-la hip-hop remaja, dan dalam sambil-sambilan itu selitkan pengisian mata hati yang boleh membawa mereka berfikir. Bina titian persahabatan, panjang-panjangkan titian itu sehingga kukuh. Remaja sebenarnya memerlukan seseorang yang mahu mendengar segala gelodak lahar jiwa mereka.

Andai mereka ketandusan perhatian dan kasih sayang keluarga, apa salahnya kita unjurkan sedikit kasih kita untuk mereka rasa, apa salahnya hulurkan secebis sayang kita untuk mereka jiwai. Kongsilah sekelumit masa kita bersama mereka. Kasihani dan sayangi mereka sebagaimana sifat Allah yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi semua hamba-NYA.

Ya, sambil-sambil makan aiskrim a-la hip-hop Si Cilik Remaja, sedar tidak sedar antara suapan dan ungkapan, barangkali ada ilmu yang terselit. Siapa tahu. Fikir dan renung.

Sesungguhnya zaman berubah, era berbeza namun kita jangan alpa, janji Tuhan tidak pernah berubah walau berapa kurun pun berlalu.

Kalam Allah jelas, dan Sunnah Nabi nyata.
Tugas kita menasihati dan membimbing seadanya, selebihnya DIA uruskan.


Aduhai aiskrim ...

aiskrim sundae McD dengan topping coklat memang sedap!

Aiskrim Malaysia pun sama hebat, itu ... yang ada asam boi ;)


Salam.

Monday, 5 March 2007

Si Cilik Remaja

Remaja-remaja itu, 17 atau 16 tahun barangkali. Cantik dan manis. Gebu dan mulus. Ranggi dan hip-hop. Cuping telinga bersubang tiga empat. Rambut bersinar dwiwarna. Fesyen pakaian yang ala-ala tidak cukup kain.

Gamat sungguh remaja- remaja itu. Ketawa terkekeh-kekeh.

1: "Eh, ngko kawin jelah!"
2: "Aa'aah, dah suka sama suka."
3: "Dah kawin pon, nikah je blom."
4: "Cayalah, gimme faiv!"

Dan mereka ketawa lagi, penuh segerabak. Macam tren itu mereka yang punya.

Dia yang duduk berhadapan mereka mengeluh. Tersimbah jua nestapa pada hati yang sedia duka.

Di luar tren ...

"Adik semua nak ke mana?" Dia bertanya. Senyum.
"Tak tahu!" Mereka terkekeh-kekeh lagi.
"Takkan tak tahu, kat depan tu kan jalan besar?" Dia senyum lagi.
Mereka saling memandang. Pucat lesi.
"Jom, layan aiskrim kat McD, nak?" Dia senyum lebar.

Di restoran McD. Masa sekelumit itu menjadi saksi bisu kepada kisah jiwa remaja yang tidak berakar tunjang, pucuk rapuh di hujung ranting.

Telefon bimbitnya berdering. "Makan aiskrim," ujarnya sambil ketawa kecil kepada insan di hujung talian. Kepada remaja-remaja itu dia mohon berlalu.

"Kak, bila boleh makan aiskrim lagi?" Remaja-remaja itu meminta kepastian.


Salam.

Friday, 2 March 2007

RM200.00 ???

Petang, di sebuah simpang empat. Kereta perempuan itu ditahan Polis Trafik bermotosikal. Perempuan itu menurunkan cermin, "Assalamualaikum."

"Kad Pengenalan dan Lesen." Pinta pegawai itu yang sedang memegang sebuah buku.
Akur, perempuan itu menyerahkan dokumen.

Pegawai itu dengan kumisnya menjunam di tepi bibir meneliti dokumen. Kemudian melihat cukai jalan, kemudian mengelilingi kereta, kemudian memeriksa setiap tayar dengan tangan (sentuh-sentuh) dan kaki (sepak-sepak), kemudian mengintai-ngintai isi kereta, kemudian meminta perempuan itu membuka but kereta. Akur juga.

"Cari pasal." Bisik hati perempuan itu sambil membuka pintu but luas-luas. Mata pegawai itu liar memeriksa kandungan. Ada fail buruk, ada surat khabar lama, ada kasut sukan, ada sekampit kecil Friskies, ada sebuah beg galas kecil ... "Buka," pintanya. Akur lagi.

"Memang cari pasal." Dengus hati perempuan itu sambil mengeluarkan isi kandungan. Ada kemeja T, ada stokin, ada dua buah buku, ada satu bar kecil Cadbury Black Forest.

"Tayar kereta ... bunga dah habis." Pegawai itu.
"Oh?" Perempuan itu kehairanan.
"Merbahaya, boleh menyebabkan kemalangan."
"Terima kasih, nanti saya tukar."
"Saya perlu keluarkan saman sebagai peringatan."
"Eh, itu pun nak saman?"
"RM200.00"
"HAA??"
"Ermm, RM100.00 tanpa bil saman."
"Oh, mesra rakyat?"
"Memudahkan kerja awak dan saya."
"Keluarkan saman 200."
"50 tanpa saman." Pegawai itu. Senyum.
"Keluarkan saman 200." Perempuan itu. Tegas.
"Jangan lupa cek tayar itu." Pegawai itu berlalu pergi tanpa mengeluarkan saman.


Salam.

Saturday, 24 February 2007

Hobi Saya

Dan saya pun ketawa membaca tajuk itu. Seperti tajuk karangan murid darjah empat sajakan? Tapi saya suka, kelihatan comel sekali.

Tiba-tiba saya ada hobi baru. Mengumpul lagu-lagu lama yang irama dan senikatanya saya suka. Apa-apa saja lagu, tak kisahlah muziknya apa asalkan mendamai rasa jiwa raga.

Amboi, Si Bunga Rampai itu mengalih ke muzik pula? Rockkah dia? Ha ha ha!!

Saya tahu bintang-bintang itu mentertawakan saya. Pedulikan.

DIA mencipta bunyi. Jadi kita seharusnya tidak mengabaikan bunyi. Tidakkah kalian kepingin meneroka alam bunyi?

Hidup seharian kita pun dikerumuni bunyi. Bunyi angin bertiup, bunyi hujan turun, guruh dan petir, bunyi haiwan. Bunyi benda jatuh, pinggan pecah, bola yang ditendang pun mengeluarkan bunyi. Ada bunyi yang mendamaikan, ada yang memeningkan, ada juga mengelirukan. Suara kita pun bunyi. Aah, kagumnya saya pada ciptaan-NYA itu!

Papan kekunci ini pun mengeluarkan bunyi ... tuk tuk tuk ... perasan tak, tekanan yang berbeza pada setiap aksara menghasilkan bunyi berlainan? Kalau kalian kreatif, bunyi yang keluar dari papan kekunci itu pun bisa saja dijadikan muzik latar sebuah lagu. Kalau tak percaya tanyalah pakar muzik!

Satu ketika tahun lepas di ibu kota ada satu persembahan yang dinamakan Stomp mempersembahkan muzik hasil bunyi objek-objek seperti penyapu, tin kosong, botol, penutup tong sampah, dan entah apa-apa lagi. Dan 'pabila dipalu-palu, ditampar-tampar, di hentak-hentak maka terbitlah bunyi yang dijadikan irama. Saya kagum. Dan saya juga kagum sekali dengan segala macam bunyi yang dikeluarkan oleh alat-alat muzik tradisional dan moden.

Saya serius dengan hobi saya ini.

El Condor Pasa, satu lagu lama kegemaran saya. Nah, dengar lagunya dalam petikan gitar yang sangat klasik!

Oh ya, saya juga membuat koleksi lagu-lagu keroncong. Terkenang-kenang, Bengawan Solo ...

Ha ha ha!! Si Rampai mendengar lagu keroncong?

Isy, isy, isy ... menyibuk sungguh bintang-bintang itu! Pedulikan.

Saya serius.


Salam.






Wednesday, 21 February 2007

Bunga

Pagi yang dingin dan suasana masih diselimuti kabus. Di puncak bukit itu.

Bunga-bunga berwarna-warni yang berjajaran di sepanjang jalan membuat langkah terhenti. Memerhati. Sang Bayu menguis-nguis nakal lalu bunga-bunga itu sekejap meliuk ke kanan dan sekejap melintuk ke kiri, kadang diam 'pabila bayu malas bertiup.

Mawar, dahlia, matahari, keembong, bunga pisang, bunga keladi, dan entah apa-apa bunga lagi. Kelopak tersenyum pada yang memandang dan haruman wangi mengerumuni diri. Aah, sukar sekali menterjemah apa yang dirasa kala itu!

Pak Tukang Kebun dihampiri, teman bicara. Berceritalah dia tentang bunga. Bunga-bunga penyeri alam, wajarlah dipupuk keindahannya. Begitu dia memulakan kisah bunga. Ujarnya, menjaga bunga-bunga itu agak rumit juga. Lain bunga lain cara menanamnya, lain cara menjaganya walau setiap bunga itu tetap saja memerlukan air, cahaya dan baja. Katanya lagi, andai tersalah sentuh tersilap merumput, terkurang atau terlebih air atau cahaya atau baja, maka pudarlah kecantikan bunga-bunga itu.

"Bunga ibarat perempuan dan kumbang umpama lelaki, tapi hanya kumbang jati mengenali dan menghargai bunga. Lelaki jati, teguh diri dan kasihnya kepada perempuan bertunjangkan kejernihan mata hati." Demikian madah Pak Tukang Kebun.

Lewat tengahari pokok-pokok bunga liar di sepanjang denai yang diselusuri itu menyentuh mata lantas merenung dan benak berfikir. Hati berbisik, oh mereka tidak pun dijaga namun tetap saja cantik! Bagaimana ya?

Senja itu di sebuah batas yang lain ada sejenis bunga memaut pandangan, bunga daisy. Lantas teringat kepada filem Daisy yang CDnya dibeli enam bulan lalu tapi masih belum ditonton. Jadi, sekembali dari puncak bukit itu, lewat malam semalam ... yeaahh, beres!

Daisy filem Korea, romance thriller berlatarkan kota Amsterdam yang mewah dengan bunga tulipnya. Namun aneh, filem ini memaparkan kisah jenayah merenda cinta di sebalik jambangan bunga daisy! Oh ya, jangan kecewa kala menontonnya kerana tiada satu pun babak asmara dana dalam filem ini. Jalan ceritanya unik, bersih, paparan body language yang menggarap rasa, kejutan klimaks yang memerangkap, dan akhiran cerita yang ... Oooh!

Trailer Daisy.

Salam.

Friday, 2 February 2007

E-mel Untuk Ying

(30 November 2006)


Sahabatku Ying,

Barangkali e-mel ini juga tidak berbalas seperti dua e-mel yang terdahulu. Harapan saya cumalah agar Allah SWT sentiasa membuka jalan untukmu agar sinar bintang yang dilihat itu tidak akan pudar, sentiasa menerangi perjalananmu.

Apa khabar dirimu? Dan Alif bagaimana, masih merajuk? :)

Saya tahu hati Ying gusar sekali apabila Alif meminta supaya menutup rambutmu, dan Ying juga marah kerana Alif mempertahankan pendiriannya itu. Ya, benar juga katamu bahawa perempuan yang menutup aurat pun menjadi mangsa perkosa lelaki. Tapi Ying, usah sempitkan pandangan kita. Lelaki yang memperkosa itu, yang menzalimi perempuan adalah lelaki yang lemah tidak bermaruah, jiwanya mati ketika dia hidup lagi.


Ying, kita perlu melihat dari beberapa sudut lain. Sesuatu perintah itu ada sebabnya. Taat kepada-Nya ada hikmah juga nikmatnya. Allah Amat Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Ying, cuba renung yang berikut ...


1. Pernahkah Ying berfikir berapa banyak masa kita terbuang dan wang yang dibelanjakan untuk mencuci, blow dry, set, mewarna rambut, kerinting, re-bonding, luruskan ... kemudian apabila rambut rosak kerana terlalu banyak bahan kimia yang menyaluti rambut, kita juga yang sibuk-sibuk lagi ke salon untuk membaikinya ... bubuh perapi, urut, dan steam? Nah, melayang lagi masa dan duit kita!

2. Awal pagi sebelum ke tempat kerja, perasan tak betapa bersusah-payahnya kita mendandan rambut entah untuk berapa lama ... blow sana blow sini, ikat begini begitu, klip sana klip sini, sanggul siput sanggul dua, dan bubuh perhiasan itu ini. Dan segala perhiasan rambut bukannya murah Ying!

3. Menghadhiri majlis juga satu masalahkan? Kita bukan main lagi bersusah payah memikirkan gaya rambut bagaimana yang sesuai untuk baju kita dan majlis itu ... dan kita ke salon lagi entah untuk berapa jam supaya kita kelihatan cantik dan anggun! Dan kosnya berapa?

4. Ying, segala dandan-mendandan rambut ini boleh menimbulkan riak di hati , dan riak itu sudah saya terangkan sebelum ini.


5. Satu lagi, nenek saya pernah berkata yang leher perlu ditutup kerana di situ ada rahsia perempuan yang teramat intim yang harus diselindungkan daripada pandangan lelaki!

Ying, usah risau tentang fesyen pakaian kalau rambutmu sudah ditutup. Tidak semestinya Ying berbaju kurung sepanjang masa. Pakailah apa saja yang selesa asal sopan. Cheongsam pakaian tradisimu itu usah ditinggalkan. Itu identiti bangsamu, bukan begitu? Cheongsam itu ubahsuaikan, boleh saja dilonggarkan dan pakailah seluar panjang di dalamnya. Saya tahu Ying akan berkata 'pelik sekali fesyen begitu!' Ah, semua fesyen terkini memang pelik Ying!

Barangkali alasan-alasan di atas itu membuat Ying ketawa. Tapi Ying, alangkah baiknya wang dan masa itu kita gunakan untuk sesuatu yang lebih berfaedah, alangkah baiknya salurkan saja masa dan wang itu kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ying, Allah SWT telah menyediakan sesuatu yang mudah untuk kita ikuti, kenapa menyusahkan diri, dan menyukarkan yang mudah itu?

Bertudung itu amat memudahkan segala urusan harian juga urusan hati kita. Fikirkanlah.

Maaf Ying, saya tahu, amatlah sukar untuk mengubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Tapi jika kita jujur dan benar-benar mahu berubah, kita sepatutnya tidak berdiam diri, berusaha dan berdoa, insyaAllah, Dia Yang Maha Mengasihani dan Menyayangi akan sentiasa menunjukkan jalan lurus untuk kita.


Sekian saja Ying. Kirim salam saya untuk Alif.

Salam penuh kasih,
Rampai.




Nota:
~ Ying, warganegara China.
~ Balasan kepada e-mel itu menyusul sebulan kemudian.
~ Pernikahan Ying dan Alif akan berlangsung penghujung bulan ini.

Salam.






Thursday, 25 January 2007

Diam

Iya, aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Dalam diam ada jua yang datang menyapa.

Ah, Si Bunga Rampai lagi yang sering saja beraneh-aneh. Bilakah mungkin dia tidak akan berasa aneh tentang apa-apa saja?

Barangkali begitulah ujar bintang-bintang itu kala melihat saya menghisab itu dan ini tentang apa saja yang saya fikirkan aneh, dan sekali-sekala saya perlu juga sedikit marah kerana mereka begitu sibuk sekali mengintai-intai sukma saya.

Ah, kalian pun aneh juga! Enak saja mahu ambil tahu tentang saya!

Diam.

Aneh. Baru minggu lepas saya sembang-sembang mengenai novel Di Bawah Lindungan Ka'abah dengan seseorang yang sangat saya hormati. Novel karya Hamka itu pertama kali saya baca pada usia peralihan menuju awal remaja, dan saya kira usia sementah itu belum lagi matang untuk mengutip inti pati kisahnya yang padat dengan bunga-bunga falsafah kehidupan. Cinta yang dipamer mencengkam jiwa membuat saya ulang baca setiap tahun untuk beberapa lama di samping menghayati buku-bukunya yang lain. Suatu hari novel itu hilang dari simpanan, maklum saja sering bertukar tangan, namun entah kenapa saya tidak pula sibuk-sibuk untuk mendapatkan yang baru.

Aneh. Pagi semalam seorang kawan lama datang bertandang dan menghadiahkan kepada saya novel itu. Saya terpempan. Walau agak kusam kulitnya, saya amat berbesar hati menerimanya. "Dapat mana?" Tanya saya. "Flea market, Amcorp Mall." Saya belek-belek riang, dan sehelai kertas kecil yang suram rona hijaunya melayang ke atas riba. Ada nukilan biru di atasnya: If your mind isn't open, keep your mouth shut too. Oh?

Barangkali saya perlu tutup mulut. Diam-diam.

Untuk berapa lama ya, wahai Rampai?


Salam.

Monday, 22 January 2007

Detik Itu

Sabtu 01 Hijrah 1428.

Detik sebelum tabir subuh disingkap. Merenung wajah dalam cermin silam. Mengungkap puisi hati. Mengimbas jalan datang. Takzim dalam tafakur. Masih ada cahaya mutiara di sepanjang jalan pulang. Diam.

3.00 petang. Wajah-wajah murni menanti detik ini. "Ayuh, kita mulakan!" Gamat suasana penuh keriangan. Pelbagai irama. Bla bla bla ... klung klang ... tong teng ... eh oh wei... Huh, macam pasar borong!

4.00 petang. Bubur Asyura selesai dimasak. Yeaaaahh...!

4.30 petang. Sesi bercerita kisah di sebalik bubur asyura. Mata mereka terkebil-kebil. Mulut kecil mereka terlopong.

5.00 petang. Sesi makan. Yummyy...!

Ya, detik-detik itu memberi kepuasan. Wajah-wajah comel itu saya tenung. 12 orang semuanya.... siapakah mereka nanti dewasa kelak? Tanya hati kecil, sedikit gerun. Di kejauhan rasa ada suara lembut memujuk melentur buluh biarlah dari rebungnya. Saya senyum.

6.00 petang. Pulang dengan sebekas besar bubur asyura :))

8.30 malam. Lagu instrumental Love Story berkumandang. Bubur asyura dinikmati lagi. Ah, benak menerawang jauh ....

... andai punya sayap, pasti saya terbang menghulur bubur itu kepada 13may (sedang main gitarkah dia kala ini?), dan Indera Kencana (mungkinkah sedang melayan kerenah Siri Aufa?), juga acidz (barangkali sedang mengingati ayangnya). Mereka mengingatkan saya kepada kunjungan pertama mereka ke teratak ini dalam entri berikut. Kemudian tambah semangkuk lagi ... duh, teringatkan Kak Long Syikin pula (dia dah cubakah resepi ini?). Tambah lagi semangkuk. Teringat pula, harus luangkan masa, masak lagi untuk jiran-jiran ... aiseymaaann, lantas tersenyum lebar teringat Bro ini yang mahu jadi jiran saya kiri kanan, depan belakang, atas atau bawah pun boleh katanya ... supaya dapat bubur ini. Hahaha ...

Aah, enak sungguh kala santai begitu, seenak bubur asyura ... Alhamdulillah.

9.00 malam. Cukuplah bersantai. Harus mentelaah apa-apa. Semangkuk lagi bubur menunggu di sebelah kanan. Baca, makan, baca, makan. Heh, teruknya perangai! Makannya lebih, bacanya entah ke mana-mana. Diam seketika. Aduhai, dalam diam nama-nama teman bloggers menari-nari di ruang mata. Satu-satu. Fikir. Ya, siapa-siapa saja kalian, sesungguhnya telah mengindahkan hidup ini. Jika pun tidak berdetik-detik kehadirannya, sedetik pun cukup meluaskan mata hati. Wajar saja berterima kasih dengan penuh rasa kasih. Tuhan, kepadamu aku mohon, damaikan dan tenangkan hati-hati teman-teman itu. Sejahterakanlah hidup mereka.

Detik 12.00 malam. Senyap. Namun ada bunyi tis tis tis di luar sana. Oh, ada titis-titis air dari langit. Anugerah Tuhan. Halwa telinga. Redup hati mendengarnya. Mata pejam, ada ungkapan bersimpuh di pelantar benak. Renung jua ...

"Jalan pulang kita ingat, jalan datang pun kena ingat. Perjalanan itu kita kena sedar" ~ Pegawai Khalwat. Terima kasih ungkapan ini (20/4/06), jawapan kepada salah satu komen saya dalam blog Bro.

"Datang kita bersama perit tangisan, biarlah pulang kita bersama madu iman agar Dia menyambut kita dalam keriangan, penuh kasih sayang" ~ Bunga Rampai

Salam Maal Hijrah 1428

Thursday, 11 January 2007

Membilang Hari

Minggu terakhir 2006. Membilang hari ke tahun baru.
Wah, iklan itu membuat saya kepingin sekali menonton rancangan baru itu! Maka saya bilang pada diri, saya harus mencelikkan mata menunggu.

Jam 11 malam. Muzik berkumandang, montage terpampang, dan pengacara enter frame. Ooh kacak juga dia, dan senyumannya manis sekali! Teman pengacaranya juga cantik ayu.

Sambil menonton saya minum air barli. Seteguk seteguk. Tiba-tiba ooppss saya terrsedak. Mata terjegil! Di luar dugaan sama sekali, isi kandungan bahagian pertama mendedahkan kes rumahtangga berantakan dan cerai-berai orang-orang popular ...

Tetamu undangan dijemput. Dia ditanya itu dan ini tentang perceraiannya. Dia menjawab dengan senyuman tak lekang di bibir. Kadang mengelak. Kadang no comment. Kasihan sungguh dia, menggelabah.

Kemudian, aduh! Tidak diduganya ada diari perceraiannya yang dikajiselidik dari A - Z didedahkan, dibaca tegas satu persatu. Huh, macam mahkamahlah pulak!. Dia terpempan.

Saya lagilah, terlopong! Anak mata terjojol. Oh, betapa rajinnya mereka membuat penyelidikan yang sungguh terperinci itu. Dari riak wajah, mereka sangat bangga dengan hasil kajian itu. Memang sensasi!

"Jangan ke mana-mana, tunggu ..." Pinta pengacara. Bahagian pertama beres.

Saya tidak mahu menunggunya walau saya suka melihat senyuman manisnya itu. Tutup tv. Habiskan air barli. Tidur lagi enak!

Tidur juga satu ibadah.


Membilang hari:
semua keperluan sudah disediakan...
aturcara telah disusun rapi...
kini menanti detik itu.

meniti hari menggoyah sabar...
debar menunggu saat itu...
Sabtu 20 Januari 2007.
Salam.

Thursday, 4 January 2007

Tafsir

Seorang yang pernah menjdi mentor saya berkata yang beliau mengenali Allah SWT ketika sedang menunggu kawannya yang sedang kusyuk beribadat di sebuah kuil. Waktu menunggu itu beliau memerhati dan berfikir mengenai kawannya itu yang sedang kusyuk menyembah Tuhannya.

Ini pula nasihat guru: "ada ketikanya ilmu yang kamu cari itu ada pada seseorang yang biasa-biasa saja. Barangkali Si Penjual Cendol, Si Tukang Sapu, anak muda yang menjual burger, atau mekanik kereta kamu, kanak-kanak yang berumur 4 tahun sekali pun. Jadi, apabila berhadapan dengan sesiapa saja yang biasa-biasa itu, tumpukanlah perhatian kepada ucapan dan perlakuannya."

Dan ini, alahai, suntingan rasa saya:

Kita bertemu seseorang yang tidak kita kenal sama ada di alam nyata atau maya, kita dapati diri kita dan dia cukup serasi. Kita bertanya dia menjawab. Kita meluah rasa dia mendengar. Kita musykil dia membimbing. Betapa orang itu bisa saja merubah pandangan kita tentang kehidupan ini, membawa kita menyelusuri jalan lurus, memberi dorongan dan keyakinan. Namun setelah kita berada di satu tahap yang teguh, orang itu hilang begitu saja. Tiada pesan terakhir, tanpa ucapan selamat tinggal.

Kemudian seorang lagi muncul, perkara yang sama berlaku. Tidak berapa lama kemudian dia entah ke mana. Begitulah seterusnya - bak kata pepatah ... patah tumbuh hilang berganti. Namun walau patahnya tumbuh dan hilangnya berganti, yang telah patah dan hilang itu sering saja datang mengusik-ngusik sanubari dalam diam lalu hati menyiarkan rasa rindu, jauh...jauh...di lubuk kalbu. Kita cuba merisik khabar dan menjejak tapak namun khabarnya hampa, jejaknya tidak bertapak.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Ya, kadang-kadang ada beberapa peristiwa yang berlaku sukar sekali dimengerti walau hati meronta ingin tahu mengapa ia berlaku demikian. Sukar sekali menafsir apa yang nyata apa lagi yang terselindung di dalam peristiwa itu. Redha.

Saya kira ... saya, kalian, dia, mereka ... saling memerlukan. Bagaikan aur dengan tebing. Umpama irama dan lagu. Setiap kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle yang berserakan mencari tempat yang tepat untuk melengkapkan sebuah puzzle yang besar itu. Kita-kita ini sesungguhnya saling melengkapi dalam menuju sebuah kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Dunia dan akhirat. Wallahu'alam.

Salam.

Tuesday, 2 January 2007

Pelangi Cinta untuk Teratai


sekuntum teratai
sendirian merandai
bergurindam semalam
selokanya berbalam,
nantinya pelangi
kala titis air mewangi.


Kingbinjai: Apakah warna cinta?

Bunga Rampai: Pelangi. Boleh karyakan sebuah Pelangi Cinta bakal saya puisikan 'tika merenung bintang kala sunyi malam?

KB: Atas permintaan :)


Pelangi Cinta

andai hati gundah gelana
merenung malam sedakap gelap
andai tiada rindu bercahaya
pudar juakah kasih dan sayang?
apakah cinta tiada berwarna?

merah katanya cinta itu
sehangat membara di hati nan jitu
merah jualah warna butanya
semarak rasa di jiwa resah
buat kembara diteman bintang

ah, andai bisa aku mewarnai cinta itu
pasti kujadikan pelangi
biar rindu semakin manis
biar kasih semakin berseri
sedamai tasik redup pohon serimbun

cintaku seperti pelangi
semerbak harum rampai mewangi
mengerumun hati sedia sunyi
bagai bintang memagari bulan
hingga akrab bertukar renungan

jika kau hadir nanti
bawakan cinta yang bukan merah
sebaiknya cinta seperti pelangi

(4 Disember 2006)


BR: King, setulus terima kasih atas nukilan Pelangi Cinta. Semoga rona cintamu juga seindah pelangi, unggul dalam damai dan tenang mewarnai permaisurimu, putera-puterimu, dan juga insan lain.


pelangi pun berlabuh
dan Hijrah bertakhta di hati
sekuntum teratai.
Gambar: teratai di sebuah kolam - Bentong, Pahang.

Salam.

Wednesday, 20 December 2006

Pesan Alam

Teks sms kawan saya itu bunyinya begini: Agaknya kamu kurang siumankah? Aduhai, terbeliak mata saya! Lalu saya balas begini: Barangkali ;) Mungkin dia tidak puas hati maka dia menelefon: "Kamu di pantai buat apa sebenarnya?" Saya kata saya memerhati segala-galanya yang berkaitan dengan laut. "Harap-harap kamu pulih seperti biasa bila kamu pulang nanti." Oh, sinis sekali ujarannya itu.

Namun terfikir juga, ada kebenaran dalam kata-kata kawan saya itu. Kerja melihat, memerhati, dan merenugn itu memang agak ganjil. Apa lagi andai yang diperhati dan direnung itu adalah sesuatu yang tidak pandai berkata-kata, tiada tindak balas.

Sejujurnya saya tidak pernah jatuh cinta pada pantai kerana silir bayunya seakan menginjak-injak pedih kulit saya, pepasir yang melekat-lekat di kaki kala menyusur tepian pantai amat merimaskan. Ngauman ombak seolah-olah akan menelan saya. Air laut yang masin bagai keringat tengahari. Terik suria memiat-miat kulit.

Namun mata boleh melihat dan hati dapat merasa apa yang diperhati oleh mata, di renung oleh benak. Ada hikmah dalam renungan, ada nikmat dalam tenungan. Itu pesan Guru. Saya lupa tentang itu.

Kalau tidak kerana tugasan yang perlu diselesaikan, saya tidak akan berada di pantai itu beberapa hari untuk melihat, memerhati, dan merenung. Menyelongkar rahsia alam yang amat sukar difahami dan diungkap dalam bentuk kata-kata. Paling hampir, ya, barangkali lukisan dan puisi bisa saja mengungkapnya, tapi berapa ramai pula insan yang mampu menterjemah bahasa alam sehingga orang lain dapat merasainya lalu membawa hatinya kepada Khaliq? Berapa ramai pula yang mampu mengagumi dan mengharagai lukisan dan puisi alam lantas berkata, "oh, betapa agungnya Dia, dan kepadaNya juga aku akan kembali" ?

Laut saujana membiru, ombak yang berkeluk-keluk sekejap tinggi sekejap rendah kemudian pecah menghempas pasir lalu pantai berubah. Puputan bayu yang kadang gemalai, kadang kesat. Dedaun berbuai-buai bagaikan memanggil-manggil untuk bersamanya. Burung-burung yang berkawan-kawan ghairah mengepak-ngepak sayap di angkasa raya, kemudian melayah di permukaan laut. Kulit kerang dan kulit siput yang berserakan sana-sini di atas pantai. Pasti itu semua punya sebab dijadikan untuk menghuni alam bersama makhlukNya yang bernama manusia.

Lihat, perhati, renung. Deru laut, lenggok ombak. Sepoi bayu, siul burung. Goyang pokok, liuk-lintuk dedaun. Daun-daun yang gugur, pepohon yang reput. Semua itu membawa pesan untuk manusia, memberi peringatan. Pesan alam seadanya yang dinobatkan untuk difikirkan oleh manusia. Pesan dari siapa lagi kalau bukan daripada Yang Menciptanya juga.

Fikirkanlah. Fikir itu nur ilmu. Itu pesan Guru.

Betapa, saya baru mahu bercinta dengan pantai!
Alahai diri ... Astaghfirullah al'azim. Allahu Akbar.

Salam.

Monday, 4 December 2006

Tiru Macam Nenek

"Berapa lama tak scrub badan ni? Kasarnyaaaa..." Nenek menggosok-gosok tangan saya. Amboi, nenek pun cakap orang putih...scrub? hehehe...
"Rambut ni, berapa lama tak bagi wap?" Nenek mengerut muka sambil membelai rambut saya.
"Muka ni, heh, pucat!" Heh, banyaknya omelan nenek!

"Sibuk ..."
"O, berjalan ke sana sini tak sibuk?"
"Nantilah..."
"Apa nanti-nanti, umur tidak menanti kita...dan baju ini lepas basuh bagi nenek!"
"Aik, nenek nak pakai?" Saya ketawa besar.
"Sedekah bagi Latip." Oh tidak! Tidak! Baju kegemaran saya, alaa baju itu ;)

Begitulah nenek saya. Setiap kali bertandang ke rumahnya, perlu kemas, segalanya. Baju saya itupun katanya 'baju orang angkat batu-bata.' Oooohhh... :(

Apa pun kerenah nenek, saya tetap sayang nenek. Pertama kerana dia suka menyikat-nyikat serta membelai-belai rambut saya. Kedua, kerana dia rajin menyediakan air limau madu untuk saya, dan ketiga kerana dia banyak menurunkan petua-petua kesihatan dan kecantikan kepada saya :) Oh, nenek saya itu walau sudah lanjut usianya, pheewwiitt !! ... saya kagum dengan kehalusan kulitnya, pigmentasi yang tidak ketara, mata yang bersinar, dan yang utama tetap segar-bugar berjalan ke hulu hilir! Rahsia nenek?

Madu penyeri segala kecantikan dalaman dan luaran. Kalau mahukan bibir bak delima merekah, oleskan minyak kelapa muda tiap pagi dan malam. Minyak kelapa menggebu bibir, menghalus tumit, lutut dan siku; juga menghitam, melembut dan mengilat rambut; serta melebat alis dan bulu mata. Air rebusan kunyit nenek kata menghangatkan badan, memerahkan wajah. "Oooh begitu ..."

Kalau inginkan pipi umpama pauh dilayang: Sekali seminggu cuci muka dengan buah tomato atau betik (hancurkan). Untuk masker, oleskan putih telur kampung, biarkan 20 minit, bilas. Kemudian sapukan air mawar. "Ermm nek, beli saja yang di botol, senang!"

Goreng segenggam beras pulut hingga kuning kemudian tumbuk bersama kunyit basah sebesar ibu jari, tumbuk hingga menjadi sehalus pasir. Lulur lembut pada badan ketika mandi sekali seminggu, bilas, dan terakhir lulurkan air limau nipis, dan bilas lagi. "Nek, pergi spa lagi enak!"

Sebelum syampu rambut, urut-urutkan minyak kelapa atas kulit kepala dan rambutnya sekali, wapkan, begini: rendam tuala dalam air panas, perah, dan bungkus kepala, jika tuala sejuk ulang lagi hingga waktu mengwap cukup 20 minit. Syampu, bilas. Kemudian perah air limau nipis pada kulit kepala. "Pergi salon rambut lagi mudah nek!

"Rampai, dalam rahsia ada rahsia."
"Aaiikk?"

Menurut nenek: bahan asli yang disentuh oleh panca indera manusia itu akan menggembirakan Allah Ta'ala kerana segala pemberianNya telah dimanfaatkan, dan untuk membalas segala usaha kita itu, Dia akan menggembirakan kita pula. Kegembiraan hati akan menyerikan wajah, menenang paras. Itulah kecantikan asli yang datangnya dari sekeping hati yang punya sepasang mata.

"Khazanah alam Rampai, membawa nilai dan maksud untuk diterokai oleh manusia, segalanya dari Khaliq. Terokalah, segala itu akan mendekatkan kita padaNya."

Oh, nenek juga berpesan: selesai membasuh muka, bilas muka 3 kali dan setiap bilasan perlu diiringi selawat, lurutkan air itu dari dagu ke dahi. Juga kata nenek, setiap kali melihat wajah di cermin, berdoalah begini: "Ya Tuhanku, cantikkan diriku bukan kerana wajahku atau pakaianku, tetapi akhlak dan peribadiku."


~~~~~~~~~~~~~~

Saya teringatkan nenek sebenarnya, teringat sangat. Andai nenek ada di sisi menyikat-nyikat rambut saya, saya tahu dia sudi saja mendengar suntingan rasa hati ini ...

Rama-rama itu lagi, datang mengepak-ngepak sayapnya dalam kamar fikir yang masih berkabus dingin. Kemudian renyai hujan yang membasahi pelantar benak juga tidak dipedulinya. Barangkali rama-rama itu mengharap pelangi 'kan bertandang lewat tengahari nanti. Dia tidak tahu, 'pabila saja kabus mengorak langkah dan renyai hujan sirna iramanya, maka mega kelabu pula berarak megah, berlagu pasrah mengiringi sekeping hati yang tidak sudah-sudah menghisab diri. Dia atau DIA.

Salam.