Sunyi malam ini membangkitkan ingatan kepada Rini, budak perempuan penjual kuih di rumah pangsa Permai di pinggir kota. Dua minggu sudah dia tidak ke kelas. Minggu lepas juga tidak ke kelas. Pagi semalam dia ada di kelas tetapi datangnya lewat setengah jam. Di dalam kelas Rini asyik menguap. Kadang-kadang dia menguap besar-besar tanpa menutup mulutnya lalu menampakkan sebatang gigi atasnya yang rongak berwarna coklat, dan nafas yang menderu keluar dari mulutnya membawa bau yang sangat hamis. Bau itu membuatkan murid-murid lain menjauhkan diri darinya. Letih dan mengantuk sangat agaknya dia sehinggakan apa yang ditanya dijawab dengan pandangan lesu lagi kosong, sekosong halaman bukunya yang tidak bertulis apa-apa pun.
Rini membantu ibunya, bukan sahaja menjual kuih malah membuat kuih. Setiap hari selepas solat Subuh Rini berada di dapur untuk melenyek pisang kemudian membuat adunan untuk cucur kodok yang bakal digoreng oleh ibunya yang bangun lebih awal untuk menggoreng keledek dan membuat sandwich.
Misi menjual kuih bermula pada jam 6.30 pagi di tingkat tiga. "Kuih! Kuih!" Teriak Rini di sepanjang koridor di tingkat tiga itu. Kemudian dia beraleh ke tingkat empat, lima, enam, dan ada kalanya hingga ke tingkat sepuluh. Habis atau tidak kuih jualannya, tepat jam 7.00 pagi Rini bergegas balik ke rumah. Rini hanya ada 20 minit untuk bersiap dan bersarapan sebelum dihantar ke sekolah bersama adiknya yang berumur 8 tahun dengan membonceng motorsikal ibunya.
Masa untuk menjaja kuih dipanjangkan pada hari Ahad yang kadang-kadang melewati jam 9.00 pagi iaitu waktu yang sama bermulanya kelas bimbingan. Ibu Rini sedar akan hal ini dan berjanji tidak akan membebani Rini pada tahun hadapan iaitu tahun Rini menduduki pepriksaan UPSR. Apakan daya kata ibu Rini, seorang ibu tunggal, tahun ini dia memerlukan wang sampingan untuk melunaskan hutang-hutang ayah Rini yang kini tinggal di pusat serenti.
Salam.