Sudah menjadi kebiasaan Pak Dun untuk beberapa hari dalam seminggu bangkit pada satu pertiga malam yang akhir tanpa mengejutkan Mak Mun. Dulu-dulu mahu juga Mak Mun bangun dan menbancuh kopi untuknya, siap dengan keropok ikan yang digoreng dengan penuh rasa kasih dan sayang. Paling tidak, biskut kraker pun sudah memadai untuk menemani kopi hitam Pak Dun. Itu dulu tapi sekarang ini Pak Dun tidak lagi mengejutkan Mak Mun kerana dia tahu kalau dikejutkan juga isteri kesayangannya itu, dia tidak akan bangun. Kalau pun terbangun, Mak Mun tidak akan menyahut dan tidak pun membuka matanya. Dia terus membatukan dirinya di atas katil.
Pak Dun sudah biasa berseorangan begitu sejak 3 tahun kebelakangan ini. Dia tidak mahu menyusahkan Mak Mun dan dia juga tidak mahu menyakiti telinga dan hatinya sendiri dengan rungutan-rungutan Mak Mun yang pedas bak cili, kadang-kadang lebih pedas dari cili api. Jadi, dia akur sendirian ke dapur membancuh kopinya. Kopinya juga tidak ditemani keropok ikan. Hanya biskut kraker dan maruku. Kopi, biskut, dan maruku amat penting bagi Pak Dun untuk menawar matanya dari lalai dan mengantuk.
Tengah-tengah malam yang hening di sekitar Pak Dun akan dipecahi dengan lantunan-lantunan suaranya yang sekejap meninggi sekejap merendah. Ada waktu-waktunya suaranya menjadi sedih penuh penyesalan. Kadang-kadang lontaran suaranya menampakkan kepuasannya yang tidak terhingga. Begitu Pak Dun menyelusuri satu pertiga malam yang akhir dengan penuh khusyuk sehinggakan ada kalanya dia lupa akan waktu yang berlalu sehinggalah Mak Mun membangunkannya untuk solat subuh. Ada juga solat subuhnya terlepas dan dia hanya bangun kala suria sudah tersenyum lebar di dada langit, dan mahu tidak mahu dia terpaksa mendengar bebelan Mak Mun.
Mak Mun membebel ... birthday Rooney ingat, birthday Ferdinand ingat, birthday Owen ingat tapi birthday sendiri tak ingat! Usia sudah malam, kenapa masih berqiamullail dengan bola dan kenapa ke masjid hanya hari Jumaat? Demikian kebiasaan bebelan Mak Mun yang tidak lengkap kalau tidak diiringi dengan jegilan matanya yang sebulat mata ikan mabong. Seperti kebiasaannya Pak Dun menjawab dengan suara manja, "Alaaa, abang masih sihat Mun ... nanti-nantilah abang buat semua tu."
Salam.
5 comments:
Salam. Secebis rakaman kehidupan di dinihari
pak dun..pak dun..memang padan kene bebel dengan mak mun.
Jatuh isteri derhaka kah kalau tak bangun gorengkan keropok?hehe
salam cik rampai..:)
OSH, salam kembali. Rakaman kehidupan yang sebaiknya kita fikirkan dan ambil iktibar.
Afid, soalan cepu mas tu ... jom kita sama sama tanya guru agama ;) Salam kembali :)
hehehe, itulah dunia...
Iskandar Syahril Ibrahim Sukri, ... jangan lalai! :)
Post a Comment