: Kota Bharu. 2/1/2011
BR: Ambo tengoh make nasi tupe ni. Sedap weii ! Alhamdulillah.
BB: Hor. Make bennor. Tak cukuk so tamboh duo.
BR: Duo doh. Awe ttadi make nasi dage.
BB: Pah ni gi klek tidur.
BR: Hahaha!! LOL …
Hooray! Baru 3 hari di KB saya sudah pandai ghoyat Kelate! Kalau 3 tahun … aauuww, mesti canggih punya!
Apa yang menarik dalam perbualan sms itu sebenarnya ialah Nasi Tupe atau dalam bahasa Melayu bakunya ialah Nasi Tumpang. Saya sebenarnya tidak pernah tahu kewujudan Nasi Tumpang ini sehinggalah diberitahu oleh Big Bro pada pertengahan Disember lepas (aiseymaan ... ketinggalan zaman sungguh saya ni!). Maka kala berada di KB pada awal Januari lalu, saya tidak melepaskan peluang makan Nasi Tumpang. Syukur.
Tradisinya Nasi Tumpang dijadikan sebagai bekal yang dibawa oleh orang yang berjalan jauh; juga dijadikan bekalan untuk makan tengahari oleh para petani dan pekebun yang biasanya berkerja seharian di bendang dan kebun.
Siapa tumpang siapa? Lauk menumpang nasi atau nasi menumpang lauk? Sila Google untuk mendapatkan jawapannya, dan pelbagai imej Nasi Tumpang.
Sebenarnya sambil-sambil makan itu saya terfikir tentang kehidupan kita yang juga menumpang di dunia ini yang segala isi kandungannya adalah milik Dia. Kita hanya menumpang. Oh, kasihannya kita! Lagi malang andai dunia ini dianggap kekal selamanya lalu kita dengan angkuh tidak mahu meletakkan diri kita sebagai “penumpang” di dunia ini.
Cubalah letakkan diri kita sebagai “orang yang menumpang” di rumah saudara atau kawan kita sementara mendapat rumah kediaman yang tetap. Sebagai orang yang menumpang, sudah tentu kita sedaya upaya cuba berkelakuan baik dan berhemah untuk menyenangkan hati tuan rumah dan untuk mengekalkan hubungan baik dengannya. Bayangkanlah kalau kita berperangai “lebih dari tuan rumah” dan mengingkari kebiasaan peraturan di rumahnya, sudah tentulah tuan rumah tidak suka. Paling teruk kita dihalau keluar dari rumahnya sekiranya perangai kita tidak berubah dan hal ini akan menjejaskan perhubungan silatulrahim dengannya. Begitulah juga kita sebagai makhlukNya yang menumpang di duniaNya ini, sewajarnyalah menunjukkan perangai molek kepadaNya dengan mematuhi segala hukum dan peraturanNya supaya Dia menerima kita dengan redha di duniaNya, dan di akhiratNya yang abadi. Fikir-fikirkanlah!
Nasi Tumpang bukan saja enak malah wajah pembalutnya juga memikat hati. Dibungkus dengan daun pisang dan dipersembahkan dalam bentuk kon, ia mengingatkan saya kepada aiskrim Cornetto! Kini saya tidak perlu lagi susah-susah ke Kelantan untuk mencari Nasi Tumpang kerana menurut seorang kawan ia boleh didapati di Restoran The Warung, Mid Valley. Cumanya, adakah sedapnya setanding dengan yang pernah saya makan di KB tempoh hari. Nanti saya cuba.
*Akan berpergian lagi. Pergi tanpa membawa Nasi Tumpang.
Salam.
