Friday, 23 July 2010

Cinta Sama Cinta

Kamal namanya si tukang potong rumput dari Bangladesh yang sudah setahun mengambil upah memotong rumput di halaman rumah. Punya majikan tapi hujung-hujung minggu dia bebas mencari upah di tempat lain. Ceria orangnya. Hensem lagi segak. Berambut ikal hitam. Ada sedikit iras Hritik Roshan. Kalau ketawa, giginya yang putih menyerlah mampu melupakan orang kepada kulitnya yang agak gelap.

Petang Ahad lalu datangnya berwajah sugul. Kerjanya perlahan. Potongan rumputnya tidak sekemas seperti selalu-selalu. Saya tidak puas hati dengan kerjanya. Dia meminta maaf.

Alasannya, dia dilanda masalah peribadi. Isterinya mengandung 3 bulan. Saya terkejut. "Aik, bila kamu kahwin? ... Tak bagi tau pun!"

"Akaak, minta maaflah. Saya kahwin sendiri-sendiri. Panggil itu Tok Kadi datang rumah bagi kawin. Kenduri kicik-kiciklah. Itu kawan-kawan saja datang." Senyuman tipisnya menyirnakan sedikit kesugulan di wajahnya.

Ucapan tahniah dari saya disambut dengan air mata! Alamak, kenapa ni? Tanya hati kepingin sangat tahu. "Nangis apa pasal? Tak happykah?." Saya cuba-cuba merisik rahsia tangisannya.

"Akaak, isteri saya Cambodia mari. Juga kerja sini ... kerja kilang. Dia sudah habis kontrak dan mau pulang Cambodia lagi 3 hari. Saya tak boleh ikut."

"Kenapa tak boleh ikut?" Err, babak menyibuk-nyibuk bermula!

"Passport saya juga sudah mau mati lagi 3 hari. Permit kerja pun sudah mau habis. Saya kena pulang Bangladesh dulu, lusa. Mau renew itu paspot baru boleh pigi Cambodia. Tapi saya tak ada cukup wang renew itu passport. Beli tiket kapal terbang pigi Cambodia juga tak ada cukup wang. Kena kerja dulu kumpul wang."

"Berapa lama kerja baru boleh bayar itu semua?" Aiseymaaan, menyibuknya cik akaak!

"Tak taulah akaak. Tapi saya cinta dia ... dia cinta saya. Cinta sama cinta. Dia juga sudah nangis-nangis selalu. Mudah-mudahan semua okey. Doakan saya akaak."

Ya, mudah-mudahan jodoh mereka kekal selamanya dan berbahagia jua.


Salam.

8 comments:

SHIMI said...

Salam. Cinta itu terlalu luas pengertian dan tidak mengenal sempadan dunia

julietchun said...

cinta antara benua :P

afid said...

hehe:B
*bukan gelakkan karim*

salam cik rampai:B

Pegawai Khalwat said...

Asam di gunung garam di laut, di dalam periuk bertemu dua.

Tapi kalau tak ada duit nak beli asam dan garam, tak bertemulah jawabnya.

I'm Seri said...

Salam sis,

Cinta sama cinta~suka tajuk manis ni.

Dan suka lagu latar blog sis. =)

ZULKIFLI BIN MOHAMED said...

Salam Bunga Rampai,

"kunjungan"....

namoyaki said...

ada satu fasa yang tidak nampak pada waktu dan ketika itu,
satu fasa pada dimensi yang lain,
fasa pada dimensi yang bebeza-beza (pendapat),
kita sedang merentasi masa;
:)
salam hormat.

Bunga Rampai said...

SHIMI, benar.

Juliet, menjadikan dunia semakin kecil!

Afid, suka tengok senyuman Afid :) Salam kembali.

Bro PK, bertemu di alam maya sajalah atau telefon ;)

IRIS, salam kembali. Selimutkan hati dengan cinta yang Satu itu.

Zulkifli, terima kasih atas kunjungan.

Namoyaki, manusia sentiasa merentasi masa dalam apa jua fasa. Rugilah sesiapa yang mengabaikan masa kerana setiap masa yang berlalu membawa pesan alam yang memberikan jawapan kepada soalan-soalan berkaitan kehidupan ini. Salam kembali.