Saturday, 22 March 2008

Mencari Marash


Saya mahu mencari Marash yang berasal dari Turki.

Khabarnya, Marash ada di Sungai Wang Plaza dan Mid-Valley.

Kalau tidak menjumpainya, perlu barangkali menjejaknya di Kahramanmaras.
.
.
.
Saya akan mencari Marash yang entah rupanya bagaimana.

Khabarnya, sedap sekali rasanya.

Marash itu sejenis aiskrim.


*sedang menikmati Cornetto.
Salam.

Kemaskini 25/03/2008:
[gambar Maras Ice-cream: ihsan Ku Keng]

Wednesday, 19 March 2008

Lina

Begini ayat-ayat yang saya baca dengan jelas dan lantang:

Harith, Krishnan, dan Ewe Hock merupakan sahabat karib sejak kecil lagi. Hubungan mereka bertiga bagaikan isi dengan kuku. Kemana-mana sahaja, pasti mereka bersama. Begitulah pada setiap pagi, mereka bertiga akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk ke sekolah. Sambil berjalan, mereka mengusik antara satu sama lain. Maka terdengarlah deraian gelak ketawa mereka yang memecah kesunyian pagi.

Lina menulisnya begini:

Harith, Krishnan, dan Ewe Hock mederdan sabahat sahat sejak kecil lagi. Mumkan muketa bertiga-tiga selah telat kuku. Kenan jaya pesti mereka bersama-sama. Betutilah juga pada seperti pagi, mereka bertiga akan berjalan kaki selagi satu kilogram untuk ke sekolah. Selak berjalan, mereka berputis satu sama lain orang, mata terdengarlah dengan kelah togun mereka yang menbeat bersungai pagi.

Barangkali hati Lina sangat kacau, maka itu dia hilang tumpuan.

Lina 11 tahun, dan tidak ada masalah pendengaran. Lina anak sulung. Ayahnya pemandu bas, ibunya pekerja kilang. Lina menjaga adik-adiknya semasa ibu dan ayah keluar bekerja. Adik-adiknya berumur 10 dan 8 tahun.

Renungkan.


*16/03/2008
Pinggir Kota, KL.


Salam Maulidul Rasul.

Saturday, 15 March 2008

Aiskrim, Wayang, dan Coklat

"Strawberi lebih boleh? Pleaaaase, saya bayar lebih," pinta saya dengan wajah memujuk kepada pelayan itu. Dia merenung saya lama-lama kemudian tersenyum manja. Yeay, saya dapat apa yang saya mahu tanpa membayar lebih! Oooh, enaknya makan aiskrim dengan topping strawberi setebal satu inci! Enaknya menjadi-jadi kerana dibelanja oleh si Cilik Remaja.

"Lepas ni tengok wayang kak, Miyah belanja ... popcorn sekali." Miyah pula menghulur rezeki. Err, beratnya hati sebab dah lama tak masuk panggung, dah lupa bagaimana adab-adab panggung. Kerana Miyah, saya bersetuju. Haa, si Cilik melonjak seronok!

Itu tengahari tadi.

Petang-petang begini, ditemani mendung dan guruh sesekali berdentum, sebentar lagi ada coklat bakal dinikmati sambil bersantai di sofa panjang menghayati Anne of Green Gables (L.M. Montgomery) untuk entah kali ke berapa. Oh, saya sangat suka cerita ini!

Demikianlah terjemahan sebuah kegembiraan. Gembira kerana si Cilik berjaya mendapat 6A dalam peperiksaan SPM. Gembira kerana Miyah sudah mahu mendekatkan hati pada Khaliq. Alhamdulillah.

*15/03/2008
OU, KL.


Salam.

Wednesday, 12 March 2008

Merenung Musim

Sudah bulan tiga rupanya. Hampir-hampir saja saya lupa dek kemeriahan pesta merubah musim yang berlangsung baru-baru ini. Mujurlah ikan-ikan comel yang entah apakah nama mereka itu yang berenang-renang di dalam sebuah akuarium telah membangkitkan ingatan saya kepada sesuatu. Ooh, dua ekor ikan sedang berkejar-kejaran ke sana sini dengan lenggok badan yang kadang-kadang bagaikan tarian zapin gayanya membuat hati saya berbunga-bunga lalu tersenyum. Seekor ikan itu warnanya kuning cerah dan seekor lagi berjalur-jalur hitam biru. Tiba-tiba si Kuning bersembunyi di sebalik batu karang dan si Hitam Biru terpinga-pinga mencarinya. Hei, si Kuning muncul dan si Hitam Biru mengejarnya lagi! Oh, oh, mereka sedang berkasih-kasihkah?

Eh, bercerita tentang ikan pula saya ini! Walhal saya mahu menulis sepucuk surat sebenarnya. Mudah-mudahan surat ini sampai ke sebuah pondok kayu di Ladang Tremelbye.


Salam buat Bang Lope,

Begitulah masa yang perginya pantas sekali Bang Lope, dan manusia ditinggalkannya tanpa memberi secubit peringatan pun termasuklah masa untuk mati. Maka itu, saya yang kadang culas ini cuba belajar untuk menjadi tuan kepada masa, dan semalam seusai membeli makanan untuk dua ekor ikan laga saya, saya cuba mengheret masa agar dapat memerhati ikan-ikan di akuarium dengan lebih lama lagi. Manalah tahu ada pesan alam dibawa oleh ikan-ikan itu untuk saya. Oh, benar saja! Ikan-ikan itu mengingatkan saya kepada rencana Bang Lope menjelang bulan tiga, dan sekarang sudah pun bulan tiga. Nanti saya ungkit rencana itu. Sekarang perlu merisik khabar dulu.

Apa khabarmu Bang Lope? Apa pula khabar bunga-bunga kertas di sekelilingmu? Masih bergugurankah atau sudah kembali subur dan tersenyum manis di musim ini?

Tidak mengapa kalau musim tidak mahu berubah asalkan perjalanan masanya berada di landasan yang betul. Begitulah yang saya fikirkan Bang Lope. Namun saya sering khuatir memikirkan sama ada musim yang kita tempuhi ini ditunjuki jarum masa yang benar-benar berada di landasan yang lurus.

Jauh-jauh di lubuk qalbu, saya sentiasa mengharapkan landasan yang kita lalui ini tidak sempit dan tidak singkat. Kecemerlangan ilmu dan kegemilangan gelaran yang dianugerahkan kepada mereka yang terpilih untuk memimpin mudah-mudahan dapat mengangkat rasa rendah diri dalam diri mereka, serta memupuk nilai-nilai mulia kehidupan lantas akhlak ummah yang goyah dapat dikejapkan dan akhlak yang hilang dapat dikembalikan. Mudah-mudahan mereka juga bukan dari golongan yang suka tidur, yang bangun hanya untuk berfantasi, bergelek dan bertaici sehingga lupa untuk berdoa kepada Tuhan memohon hidayahNya. Semoga rasa malu sentiasa tersimpan molek di dalam jiwa mereka agar mereka tidak sewenangnya menelanjangi maruah agama malah dirapi lagi untuk diteladani oleh kita-kita yang tidak bergelaran dan kurang ilmunya ini.

Harapan saya juga agar mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanahNya itu dapat menunjuk dan memberi ruang untuk kita mencari makna hidup dan kehidupan ini, tidak semata-mata mencari nafkah duniawi. Semoga mereka sentiasa mengingati golongan terpinggir dan tertindas, orang kurang upaya, keluarga miskin, dan anak-anak yatim piatu kerana mereka juga berada di landasan yang sama, maka amat wajarlah mereka di beri perhatian dengan pendekatan yang lebih sempurna. Moga juga koridor-koridor hebat yang dicipta dengan segala kecanggihan dan kemakmurannya tidak melupakan mereka kepada koridor rumah-rumah kecil yang juga perlu dihias kerana di situlah keindahan sebuah kehidupan itu bermula. Ayuh kita berdoa semoga rumah kita semua dihiasi dengan keluarga yang berkasih sayang, kerana ummah yang teguh datangnya dari keluarga yang padu.

Demikianlah Bang Lope harapan saya yang barangkali terlalu tinggi bak mahu memetik bintang di langit, tapi saya kira itu lebih baik daripada menaruh harapan setinggi pokok kelapa. Pokok kelapa itu kita jadikan tempat persinggahan dalam perjalanan kita memetik bintang. Kita berihat di puncaknya, mengatur nafas, merenung ke bawah, kemudian melangkah lagi. InsyaAllah, ini semua mengajar kita untuk bersabar dan meletakkan langkah kita di landasan yang tepat.

Alamak, berceloteh apa saya ini ya? Aduuuh, minta ampun Bang Lope! Saya harus kembali ke tujuan asal saya menulis surat ini.

Ya, sudah bulan tiga sekarang. Bang Lope pastinya sudah menjadi penyelam berlesen, dan musim bercinta dengan alam Borneo kembali ranum di hati Bang Lope. Selamat berkasih-kasih dengan alam dasar laut Sipadan Bang Lope, dan mudah-mudahan kembara kasih itu mengangkat lagi darjat cinta Bang Lope kepada Khaliq.

Akhirul kalam, salam selamat buat Bang Lope. Semoga sentiasa dilindungi Allah SWT.

Bunga Rampai
11/03/2008,
Pinggir Kota, KL.


Salam.

Thursday, 28 February 2008

You pilih siapa?

Hari yang sangat sibuk dengan panggilan telefon, dan lima puluh peratus adalah mengenai PRU. Alahai! Macamlah saya ini orang yang penting dalam pru lalu ditelefoni. Apa pun alhamdulillah, rupa-rupanya kehangatan pru mampu memanaskan persahabatan yang dingin sekian lama. Ya, beberapa orang teman yang menyepi tiba-tiba muncul bertanyakan khabar sambil-sambil mengorek rahsia undi.


Dia: I pertama kali 'ngundi ni ... baru terasa nak tunaikan tanggungjawab untuk negara.
Saya: Selamat mengundi.

Dia: You pilih sape ek?
Saya: Rahsia.
Dia: Cakaplah!
Saya: You pilih sape pulak?

Dia: I pilih simbol yang paling cantik ...
Saya: Oh?

Dia: ... dan calon yang paling cun!
Saya: Oh?
Dia: Macam Dato' Jalaluddin Hassan tu ... beliau ni wakil kawasan mana ek?
Saya: Errr ... (telan air liur).


*27/02/2008
PRU12, KL.


Salam.

Tuesday, 26 February 2008

Ada

ada neraca senget sebelah
ada mata kenyit tak sudah
ada roket berangan ke angkasa
ada rembulan di tengah belantara.

ada hati, zikirnya mati
ada makan, suapnya tak henti
ada kata, janjinya tak ditepati
ada panji, kibarnya perlu diganti.


*25/02/2008
PRU12,
KL-PJ-Putrajaya.


Salam.

Thursday, 21 February 2008

Bicara Sekuntum Mawar


Kalau boleh mahu saja saya menidurkan sebuah lena yang panjang bertilamkan kuntuman-kuntuman mawar yang berkelopak bak baldu itu, dan dalam hening malam berselimutkan kabus dingin, pasti enaklah lena itu bercumbu mimpi nan indah dek dikerumuni wangian mawar yang tidak lekang harumnya walaupun dititis-titis embun.

Mawar sekuntum memukau mata. Mawar sejambak meredup hati. Mawar setaman menenang qalbi. Namun Mawar, tajam duri di tangkaimu menyukarkan jari-jemari ini yang mahu memetik bunga-bungamu kemudian menyusunnya menjadi tilam tidurku. Mengapa Mawar demikian sekali berbisanya tangkaimu sedangkan rona dan wangimu begitu mempesona? Berbicaralah Mawar!


Aduhai Rampai, lihatlah dengan akal dan dengarkan dengan hati akan tamsil sekuntum Mawar. Tidaklah aku dijadikan andai aku tidak berguna kepadamu. Baru sebentar tadi aku mendengar keghairahanmu memuji-muji keelokanku. Begitu lagakmu hanya memandang kepada kejelitaanku. Kecacatanku kau cela, walhal kecacatan itu adalah keindahanku juga yang terkandung hikmah dan nikmat Yang Menciptaku.

Nah Rampai, itu baru harumanku, warnaku, dan kelopakku yang kau puja. Hanya kerana duriku kau tidak mahu meneroka lebih jauh tentang aku? Kasihan kau. Bacalah alam Rampai. Hayati dan fahami alam.

Tangkaiku adalah lambang jalan pulang ke pangkuanNya, duriku adalah ujian-ujian yang perlu kau tempuhi yang pasti saja mencabar sabar dan menggurit jiwamu. Bungaku adalah mahligai kasihNya tempat kau kekal beradu nanti, dirias pelbagai wangian mengindah rasamu sepanjang masa. Demikianlah Rampai, kau perlu berpayah-payah dulu dan berusaha dalam sabar ‘tika memetik bungaku untuk dijadikan tilam tidurmu. Tidak ada kesenangan tanpa kepayahan Rampai. Kau harus ingat itu.

Rugilah engkau Rampai kalau hanya memujaku tanpa mengenaliku dengan lebih jauh. Mengenaliku adalah denaimu mengenali Penciptaku. Fikir, renung dan tenung aku Rampai dan rasailah keindahanku. Kemudian rendakan keindahan itu menjadi jalinan ilmu yang menjiwai ragamu sehingga terbit perasaan paling seni mahu mengenali Yang Menciptaku. Kau bakal takjub betapa mengenaliNya akan menerbitkan rasa cinta padaNya, dan redha di kalbumu.

Rampai, mawar adalah permaisuri taman dan ibu haruman. Sari kehidupanku bersemayam di setiap helai kelopakku yang menyimpan keajaiban attar. Andai kau tahu Rampai, attar yang diperah dari puri kelopakku adalah penyeri dan penawar pelbagai gundah dalam kehidupan manusia. Maka itu, aku juga dijadikan lambang para Sufi dalam kehidupan mereka.

Begitulah Rampai tamsil sekuntum Mawar, dan tidaklah sia-sia kau menyelongkar rahsiaku dan rahsia alam semesta kerana membongkar rahsia itu adalah pencetus kuasa cinta dalam dirimu terhadapNya, dan mencetus cintaNya kepadamu. Itulah hakikat cinta sebenar Rampai!



Aduh! Tertampar kiranya diri dengan bicara sekuntum Mawar kala langit belum lagi bercahaya, dan kabus mulai dipungut bayu membawa sama dinginnya entah ke mana. Sementara menanti mentari menyimbah senyuman kencananya pada alam, saya merenung mawar-mawar di hadapan. Kupu-kupu dan kumbang mula menyeri ...

“SesungguhnyaYa Rabb, Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lindungilah aku dari azab nerakaMu”

*14/02/2008
Cameron Highlands, Pahang
.


Salam.

Monday, 18 February 2008

Siapa Bapa Pendidikan?

[Miyah baru bekerja di sebuah syarikat swasta namun masih mengidam untuk bergelar Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di dalam perkhidmatan awam. Seronoknya Miyah bukan kepalang apabila dijemput untuk ditemuduga pada minggu hadapan. Maka Miyah pun membuat sebaik-baik persiapan dengan merujuk buku-buku dan bertanya sana sini termasuklah si Rampai yang menjadi sasarannya.]

Telefon berbunyi membingitkan telinga si Rampai yang sedang enak-enak minum teh tarik dan makan mee kari. Adeiii, Miyah lagi! Semalam bertanya, pagi tadi bertanya, dan kali ini apa pula? Soal hatinya.


Rampai: Waalaikumu salam. Nak tanya apa pula kali ni Miyah?
Miyah: Kak, sape ek PM pertama kita?
Rampai: Aikk, itu pun tak tahu?
Miyah: (ketawa) Lupa pulak. Tunku Abdul Rahman ... Bapa Pembangunan.
Rampai: Bapa Kemerdekaanlah!
Miyah: Oh, silap! (ketawa lagi).

Rampai: PM kedua, ketiga, keempat siapa?
Miyah: (menjawab soalan - blaa … blaa… blaa…) Eh, kak ... Tun Mahathir bergelar apa ek … Bapa Ekonomi atau Bapa Teknologi?
Rampai: (tiada jawapan - sedang menelan kuah mee kari)

Miyah: Bapa Pendidikan Malaysia siapa ek?
Rampai: (tersedak) Mana ada Bapa Pendidikan!
Miyah: Samy Vellu tu bukan ke Bapa Pendidikan?
Rampai: Haa??? (tersedak yang amat)


*12/02/2008
Alor Setar, Kedah



Salam.

Monday, 11 February 2008

Sujud

Tanpa diduga, sedang saya berjalan keluar masjid, wanita yang anggun berkebarung biru tua itu bertanyakan saya kenapa berpakaian begitu. Pakaian santai yang biasa-biasa saja untuk berkembara diteliti - kemeja baggy labuh berwarna putih berjalur biru tua dipadankan dengan seluar koboi.

Saya bertanyakan wanita itu apa silapnya pakaian saya. “Tidak sesuai untuk ke masjid,” jawabnya. Ooh, sepasang lutut tiba-tiba longlai! Mujurlah seorang gadis ayu yang datang memeluk wanita itu telah menguatkan diri dari terkulai. “Ummi, jomlah …” katanya manja. Mereka berlalu pergi, dan mata saya mengekori lenggok langkah gadis ayu itu yang berjean hipster dan berkemeja T putih berlengan panjang membaluti ketat tubuh montoknya.

Jiwa tercalar jua dengan peristiwa itu, dan perjalanan pulang terlalu lama dirasakan. Di relung jiwa, pujuk dicita untuk membujuk hiba. Aduhai hati …

bersedih jangan, usah merintih
disepuh uji kunjung bertindih
jelang pendita madah berpelita
mahligai suci membukti wujud
menjadi saksi tempat bersujud


Ketika azan berkumandang di corong radio, inti kuliyah yang lalu berbicara di hati …

Bukannya Allah SWT tidak melihat kita sujud, terbaiknya kita mengumpul pembicara-pembicara sebanyak-banyaknya dan di merata-rata tempat di dunia ini. Begitulah sayangnya Allah SWT kepada kita, Dia membenarkan pembicara untuk mempertahankan kedudukan kita di akhirat kelak. Demikian mukadimah kuliyah itu.

Segala apa yang terlibat dalam ibadah kita akan menjadi saksi di hadapan Allah. Air wudhuk misalnya akan berkata kepada Allah, “si anu si anu menggunakan aku untuk menyucikan diri sebelum menghadapMu ya Allah. Kasihanilah dia.” Dan perlakuan yang paling disukai Allah ialah sujud kepadaNya. Sujud kita dalam solat akan disaksikan oleh lantai tempat bersujud. Itulah yang akan memberi penyaksian kepada Allah SWT nanti yang akan berkata "si anu ini datang dari jauh Ya Allah dan aku menyaksikan dia bersujud kepadaMu di atasku."

Di mana juga kita mengembara, janganlah lupa ke masjid untuk meninggalkan saksi tempat bersujud. Begitu pesan Guru mengakhiri kuliyah.


*09/02/2008
Seremban, NS



Salam.

Thursday, 7 February 2008

Terusik

Pagi yang senang dan tenang. Alhamdulillah, dan sebelum mengunjur salam untuk alam di luar sana, jari-jemari sempat lagi mendenting manik-manik hitam putih itu, dan melodinya membuat hati bernyanyi-nyanyi riang … ingatkah engkau kepada embun pagi bersahaja yang menemanimu sebelum cahaya

Embun menghilang jua dan betapa cahaya mentari menghangat sejuta keinginan lalu menguja hati untuk ke kedai bunga itu. Penjual bunga sudah tahu apa mahunya saya - anggerik, mawar, kekwa,dan daisy. “Tidak pagi ini,” kata saya, dan penjual bunga kehairanan. “Setangkai mawar merah jambu, itu saja.”

Aduhai. Entah mengapa hati terusik setiap kali mata melabuhkan pandangan pada setangkai mawar itu. Terasa benar ada sesuatu bakal ditempuhi.
-
-
-
Sungguh saya terkesima dengan huluran salamnya itu. Entah dari mana datangnya dia tiba-tiba saja berada di sisi.

“Assalamu alaikum.” Ulangnya lagi. Saya menggumam kata-kata kala membalas salamnya itu yang saya kira amat melucukannya lalu dia tersenyum lebar sambil melurut-lurut rambut ikalnya ke belakang.

Hei, aksi itu … macam kenal dia! Desis hati, dan benak mula menerawang cuba mengimbau sesuatu namun agak pudar.

“Saujana laut hanya dapat dilihat di tepi pantai atau di pelabuhan,” ujarnya lembut kemudian memerhati orang ramai yang keluar masuk bangunan.

Oh tidak! Hati menggetus. Diakah?

Saya memberanikan diri. “Macam kenal saudara, siapa ya?”
Dia tersenyum lebar. “Kumbang …”

Ya, saya ingat! “… dan saya bunga,” ujar saya lalu pantas menekup mulut, menahan gelak yang hampir saja terlontar keluar. Dia ketawa kecil.

Buat seketika kami berbual. “Kalau ke BSB, jemput ke rumah.” Katanya sebelum berlalu pergi.

Hadirnya kumbang mengusik seketika kelopak bunga. Sayup bisik hati kala menanti LRT tiba. Saya tersenyum. Sekonyong-konyong … aiseyymaaaan, ... baru teringat, nama dan alamatnya pun saya tidak tahu! Mana mungkin dapat ziarah!
-
-
-
Malamnya, jari-jemari petah saja menari-nari lagi di atas manik-manik hitam putih itu ... perjalanan sunyi kau tempuh sendiri, kuatkanlah hati ...

Lewat dinihari embun merecup melata bumi lalu menerjah sunyi, dan qalbi berembunkan Fatihah yang membangkit kekuatan hati. Alhamdulillah.


*06/02/2008
Menara Maybank, KL.


BSB = Bandar Seri Begawan

setahun lalu


Salam.

Monday, 4 February 2008

Tikus

Sambil menunggu giliran, ada kejutan di kerusi hadapan ...

Mak: Kenapa ni Nia, tekepit-kepit kaki tu?
Nia: Nak pegi tandas.

Mak: Pegilah, Mak tunggu sini.
Nia: Tak nak!

Mak: Tandas tepi tu je!
Nia: Tak nak! Nak tandas kat rumah.

Mak: Laa, lambat lagi ni. Kang tekencing!
Nia: Tak nak. Boleh tahan.

Mak: Jom, Mak temankan.
Nia: Tak mau Mak, tak nak. Tunggu balik rumah.

Mak: Pelik sungguh. Macamlah tandas tu bertikus!
Nia: Nia tak takut tikus dah Mak.

Mak: Habis tu?
Nia: 'Ntah-'ntah dalam tandas tu ada CCTV!

Mak: Hah, sana sini CCTV. Menyusahkan orang! Diaorang nih macam tikus baiki labu. Baiknya dak, menjahanamkan lebih! Eloklah, tahun ni pun tahun tikus. Hah, sape yang pangkah tikus memang sah anak cucu cicit tikus ... tuih!

Saya dan yang lain-lain terlopong melihat kakak itu.


*04/02/2008
Farmasi,
Hospital Selayang



Salam.

Wednesday, 9 January 2008

Hijrah Seraut Wajah

Hati diterjah resah sebaik saja melihat wajah-wajah cengkung yang tidak bermaya itu. Ada mata-mata yang layu mengantuk dengan mulut terlopong, dan beberapa wajah bermuram durja bagaikan ada sesuatu yang menghambat hati. Tidak kurang yang berkelip-kelip matanya tanpa cahaya. Ah, diam sungguh mereka sehinggakan ucapan selamat saya dibalas dengan suara moyok, membuat kepala saya terkulai dengan senyuman malas memandang mereka. Alahai, permulaan musim yang menggugat janji sekeping hati!

Apalah yang diharapkan sangat daripada budak-budak itu. Kurang makan, kurang rajin, tidak yakin, tiada motivasi diri. Ada yang batuk-batuk tanpa menutup mulut. Ada yang sekejap-sekejap mengesat hingus dengan hujung lengan baju. Aduhai, sungguh tak sedap mata memandang! Lengoh benak memikirkan.

Hidup segan mati tak mahu. Begitulah raut wajah anak-anak itu. Namun jauh di dasar hati, ada syukur mengusap rasa kerana kehadiran mereka berteraskan pengorbanan ibu bapa mereka yang mahu menghidupkan kalbu anak-anak itu dengan ilmu pengetahuan. Pengorbanan mereka itu juga bak penyusun nafas dan penyegar jiwa seorang abdi kerdil yang sering tercungap kalut dalam larian hidup yang terlalu pantas ini. Alhamdulillah.

Maha mengetahui DIA yang telah menghadiahkan Korban untuk manusia renungi. Andai dihayati dengan sabar dan tulus, Korban itu redha mengangkat tabir Hijrah lalu mengetuk pintu hati, kemudian menjemput diri mengabdi syukur kepadaNya.

Musim-musim yang bertandang bakal merubah bentuk wajah anak-anak seumpama itu di mana jua mereka berteduh. Biarlah perubahan itu berbimbing agar mereka tidak tergelincir dari landasan pemikiran yang berakal. Semoga kehadiran abdi-abdiNya dalam kehidupan mereka dapat membantu mewujudkan wajah-wajah yang beriman. Wallahu’alam.

Ikhlas.

Beramallah di negeri yang tiada ganjaran, supaya mendapat ganjaran di negeri yang tiada amal. Demikian madah Mursyid yang memetik ungkapan sahabat beliau.


*06/01/2008
Pinggir Kota


Salam Maal Hijrah 1429

Saturday, 5 January 2008

Apa yang nak dihairankan?

Petang semalam, saya di belakang dua orang teman dalam perjalanan menuju kereta ...


A: Hairan, En. Mat dapat sponsor untuk renovate rumah barunya.

B: (Diam)

A: Beribu ringgit juga masjid sedekah kat En. Mat tu.

B: Aku juga hairan, aku minta sponsor untuk beli jersey team bolasepak remaja pun tak bagi.

A: Lagi menghairankan, Mazni bagi tau aku … minta 300 ringgit untuk tampung sedikit perbelanjaan kembara remaja selama tiga hari bulan lepas pun tak dapat!

B: Nampaknya kita kena jadi AJK masjid dan renovate rumah barulah dapat sponsor.

A dan B: Hahahaha!!!


*04/01/2008
Jalan Duta, KL



Salam.