Wednesday, 12 March 2008

Merenung Musim

Sudah bulan tiga rupanya. Hampir-hampir saja saya lupa dek kemeriahan pesta merubah musim yang berlangsung baru-baru ini. Mujurlah ikan-ikan comel yang entah apakah nama mereka itu yang berenang-renang di dalam sebuah akuarium telah membangkitkan ingatan saya kepada sesuatu. Ooh, dua ekor ikan sedang berkejar-kejaran ke sana sini dengan lenggok badan yang kadang-kadang bagaikan tarian zapin gayanya membuat hati saya berbunga-bunga lalu tersenyum. Seekor ikan itu warnanya kuning cerah dan seekor lagi berjalur-jalur hitam biru. Tiba-tiba si Kuning bersembunyi di sebalik batu karang dan si Hitam Biru terpinga-pinga mencarinya. Hei, si Kuning muncul dan si Hitam Biru mengejarnya lagi! Oh, oh, mereka sedang berkasih-kasihkah?

Eh, bercerita tentang ikan pula saya ini! Walhal saya mahu menulis sepucuk surat sebenarnya. Mudah-mudahan surat ini sampai ke sebuah pondok kayu di Ladang Tremelbye.


Salam buat Bang Lope,

Begitulah masa yang perginya pantas sekali Bang Lope, dan manusia ditinggalkannya tanpa memberi secubit peringatan pun termasuklah masa untuk mati. Maka itu, saya yang kadang culas ini cuba belajar untuk menjadi tuan kepada masa, dan semalam seusai membeli makanan untuk dua ekor ikan laga saya, saya cuba mengheret masa agar dapat memerhati ikan-ikan di akuarium dengan lebih lama lagi. Manalah tahu ada pesan alam dibawa oleh ikan-ikan itu untuk saya. Oh, benar saja! Ikan-ikan itu mengingatkan saya kepada rencana Bang Lope menjelang bulan tiga, dan sekarang sudah pun bulan tiga. Nanti saya ungkit rencana itu. Sekarang perlu merisik khabar dulu.

Apa khabarmu Bang Lope? Apa pula khabar bunga-bunga kertas di sekelilingmu? Masih bergugurankah atau sudah kembali subur dan tersenyum manis di musim ini?

Tidak mengapa kalau musim tidak mahu berubah asalkan perjalanan masanya berada di landasan yang betul. Begitulah yang saya fikirkan Bang Lope. Namun saya sering khuatir memikirkan sama ada musim yang kita tempuhi ini ditunjuki jarum masa yang benar-benar berada di landasan yang lurus.

Jauh-jauh di lubuk qalbu, saya sentiasa mengharapkan landasan yang kita lalui ini tidak sempit dan tidak singkat. Kecemerlangan ilmu dan kegemilangan gelaran yang dianugerahkan kepada mereka yang terpilih untuk memimpin mudah-mudahan dapat mengangkat rasa rendah diri dalam diri mereka, serta memupuk nilai-nilai mulia kehidupan lantas akhlak ummah yang goyah dapat dikejapkan dan akhlak yang hilang dapat dikembalikan. Mudah-mudahan mereka juga bukan dari golongan yang suka tidur, yang bangun hanya untuk berfantasi, bergelek dan bertaici sehingga lupa untuk berdoa kepada Tuhan memohon hidayahNya. Semoga rasa malu sentiasa tersimpan molek di dalam jiwa mereka agar mereka tidak sewenangnya menelanjangi maruah agama malah dirapi lagi untuk diteladani oleh kita-kita yang tidak bergelaran dan kurang ilmunya ini.

Harapan saya juga agar mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanahNya itu dapat menunjuk dan memberi ruang untuk kita mencari makna hidup dan kehidupan ini, tidak semata-mata mencari nafkah duniawi. Semoga mereka sentiasa mengingati golongan terpinggir dan tertindas, orang kurang upaya, keluarga miskin, dan anak-anak yatim piatu kerana mereka juga berada di landasan yang sama, maka amat wajarlah mereka di beri perhatian dengan pendekatan yang lebih sempurna. Moga juga koridor-koridor hebat yang dicipta dengan segala kecanggihan dan kemakmurannya tidak melupakan mereka kepada koridor rumah-rumah kecil yang juga perlu dihias kerana di situlah keindahan sebuah kehidupan itu bermula. Ayuh kita berdoa semoga rumah kita semua dihiasi dengan keluarga yang berkasih sayang, kerana ummah yang teguh datangnya dari keluarga yang padu.

Demikianlah Bang Lope harapan saya yang barangkali terlalu tinggi bak mahu memetik bintang di langit, tapi saya kira itu lebih baik daripada menaruh harapan setinggi pokok kelapa. Pokok kelapa itu kita jadikan tempat persinggahan dalam perjalanan kita memetik bintang. Kita berihat di puncaknya, mengatur nafas, merenung ke bawah, kemudian melangkah lagi. InsyaAllah, ini semua mengajar kita untuk bersabar dan meletakkan langkah kita di landasan yang tepat.

Alamak, berceloteh apa saya ini ya? Aduuuh, minta ampun Bang Lope! Saya harus kembali ke tujuan asal saya menulis surat ini.

Ya, sudah bulan tiga sekarang. Bang Lope pastinya sudah menjadi penyelam berlesen, dan musim bercinta dengan alam Borneo kembali ranum di hati Bang Lope. Selamat berkasih-kasih dengan alam dasar laut Sipadan Bang Lope, dan mudah-mudahan kembara kasih itu mengangkat lagi darjat cinta Bang Lope kepada Khaliq.

Akhirul kalam, salam selamat buat Bang Lope. Semoga sentiasa dilindungi Allah SWT.

Bunga Rampai
11/03/2008,
Pinggir Kota, KL.


Salam.

13 comments:

Pa'chik said...

err.. surat orang.. tak leh baca.. ekeke...

Mak Su said...

bang lope? bang lope dah dapat lesen padi ker?

jinggo said...

salammualaikom.....
apa kabar.....
lama tak menjengah kesini........

Ordinary Superhero said...

ya sudah bulan tiga rupanya....apa ya azam awal tahun tempohari? Alamak lupa lah pulak.

Butaseni@Wan Raja said...

itu ikan harimau hehe
salam

achik said...

comelnya si kuning dan si hitam biru main kejar2.. ;)

faridmw said...

salam..
pa khbar?....
senyum selalu...

Bunga Rampai said...

Pa'chik, :-D kelakarlah Pa'chik ni. Tiada rahsia - surat terbuka untuk renungan bersama.

Mak Su, lesen scuba diving.

Jinggo, waalaikumu salam. Alhamdulillah khabar baik. Mujur saya tak merajuk.

OSH, hehehe ... kita mudah lupa! Tapi kita tak pernah lupa makan, minum, tidur.

Butaseni, salam kembali. Ikan harimau? Biar benar!

Achik, sangat mengasyikkan.

Faridmw, salam kembali. Alhamdulillah khabar baik. Saya sentiasa senyum.

kingbinjai said...

salam juga utk bang lope :)

Pegawai Khalwat said...

3 bulan itu suku.

Bunga Rampai said...

King, manisnya ujaran :-)

Bro PK, benar dan kita ada 3 suku tahun lagi untuk dilalui tahun ini. Err, 3 suku??

blackpurple @ jowopinter said...

Salam BR.

Lama menyepi? Saya tumpang baca surat ini ya... :D

Bunga Rampai said...

BP, salam kembali. Saya bising-bising di luar sini, tenggelam dalam pru seketika :-)

Silakan baca. Tiada rahsia antara kita ;-)