Wednesday, 9 January 2008

Hijrah Seraut Wajah

Hati diterjah resah sebaik saja melihat wajah-wajah cengkung yang tidak bermaya itu. Ada mata-mata yang layu mengantuk dengan mulut terlopong, dan beberapa wajah bermuram durja bagaikan ada sesuatu yang menghambat hati. Tidak kurang yang berkelip-kelip matanya tanpa cahaya. Ah, diam sungguh mereka sehinggakan ucapan selamat saya dibalas dengan suara moyok, membuat kepala saya terkulai dengan senyuman malas memandang mereka. Alahai, permulaan musim yang menggugat janji sekeping hati!

Apalah yang diharapkan sangat daripada budak-budak itu. Kurang makan, kurang rajin, tidak yakin, tiada motivasi diri. Ada yang batuk-batuk tanpa menutup mulut. Ada yang sekejap-sekejap mengesat hingus dengan hujung lengan baju. Aduhai, sungguh tak sedap mata memandang! Lengoh benak memikirkan.

Hidup segan mati tak mahu. Begitulah raut wajah anak-anak itu. Namun jauh di dasar hati, ada syukur mengusap rasa kerana kehadiran mereka berteraskan pengorbanan ibu bapa mereka yang mahu menghidupkan kalbu anak-anak itu dengan ilmu pengetahuan. Pengorbanan mereka itu juga bak penyusun nafas dan penyegar jiwa seorang abdi kerdil yang sering tercungap kalut dalam larian hidup yang terlalu pantas ini. Alhamdulillah.

Maha mengetahui DIA yang telah menghadiahkan Korban untuk manusia renungi. Andai dihayati dengan sabar dan tulus, Korban itu redha mengangkat tabir Hijrah lalu mengetuk pintu hati, kemudian menjemput diri mengabdi syukur kepadaNya.

Musim-musim yang bertandang bakal merubah bentuk wajah anak-anak seumpama itu di mana jua mereka berteduh. Biarlah perubahan itu berbimbing agar mereka tidak tergelincir dari landasan pemikiran yang berakal. Semoga kehadiran abdi-abdiNya dalam kehidupan mereka dapat membantu mewujudkan wajah-wajah yang beriman. Wallahu’alam.

Ikhlas.

Beramallah di negeri yang tiada ganjaran, supaya mendapat ganjaran di negeri yang tiada amal. Demikian madah Mursyid yang memetik ungkapan sahabat beliau.


*06/01/2008
Pinggir Kota


Salam Maal Hijrah 1429

11 comments:

Ordinary Superhero said...

Salam Tahun Baru Hijriyyah 1429.

blackpurple @ jowopinter said...

Salam BR,

Selamat tinggal 1428.
Selamat datang 1429.

Semoga setiap saat yang bakal dihadapi nanti lebih baik dari saat-saat yang telah kita tinggalkan di belakang. InsyaAllah.

Ku Keng said...

Semoga hari-hari yang telah melalui menjadi saksi yang menguntungkan diri.

Marhaban 1429.

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,

Kembara dan berbudi...
Di tanah tiada ganjaran, ganjarannya adalah nafas yang dihirup dan peluang hidup.

Di tanah penuh ganjaran adalah rahmat dan keredaan Allah yang pasti dirindui, dikecapi nanti; dengan izinNya jua, pasti!

Selamat Tahun Baru Hijrah.

13may said...

salam ma'al hijrah 1429..

eh! terbau bau plak bubur asyura kat sini...

hahha :D

Mak Su said...

peace....

Azer Mantessa said...

'Beramallah di negeri yang tiada ganjaran, supaya mendapat ganjaran di negeri yang tiada amal. Demikian madah Mursyid yang memetik ungkapan sahabat beliau.'

insyaAllah ... tq

salam hijrah

Sastri said...

salam... suka sekali madah Mursyid tu...

Butaseni@Wan Raja said...

Beramallah di negeri yang tiada ganjaran, supaya mendapat ganjaran di negeri yang tiada amal. Demikian madah Mursyid yang memetik ungkapan sahabat beliau.

power ayat ni.respek lah cik kak.saya juga harap saya dapat berhijrah tahun ni :)

HCI said...

Rampai,

Bulan sura lagi ni. Tahun ini saya takut nak buat sura, sebab buat 2006 saya dapat C, buat 2007 suami dapat C. So can't help having the magical thinking.

Hemm mengidam betul, tak ada pula orang nak sedekah sura.

Bunga Rampai said...

salam semua,

Tahun baru, musim baru. Mungkin yang datang mencabar bukan baru, cuma hadirnya berwajah baru.

Anggaplah cabaran sebagai pendorong untuk mendekatkan hati kepadaNya, dan untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak disukaiNya.

Kak Has, doa saya untuk Kak Has dan suami. Semoga kesihatan bertambah baik tahun ini.