Thursday, 21 February 2008

Bicara Sekuntum Mawar


Kalau boleh mahu saja saya menidurkan sebuah lena yang panjang bertilamkan kuntuman-kuntuman mawar yang berkelopak bak baldu itu, dan dalam hening malam berselimutkan kabus dingin, pasti enaklah lena itu bercumbu mimpi nan indah dek dikerumuni wangian mawar yang tidak lekang harumnya walaupun dititis-titis embun.

Mawar sekuntum memukau mata. Mawar sejambak meredup hati. Mawar setaman menenang qalbi. Namun Mawar, tajam duri di tangkaimu menyukarkan jari-jemari ini yang mahu memetik bunga-bungamu kemudian menyusunnya menjadi tilam tidurku. Mengapa Mawar demikian sekali berbisanya tangkaimu sedangkan rona dan wangimu begitu mempesona? Berbicaralah Mawar!


Aduhai Rampai, lihatlah dengan akal dan dengarkan dengan hati akan tamsil sekuntum Mawar. Tidaklah aku dijadikan andai aku tidak berguna kepadamu. Baru sebentar tadi aku mendengar keghairahanmu memuji-muji keelokanku. Begitu lagakmu hanya memandang kepada kejelitaanku. Kecacatanku kau cela, walhal kecacatan itu adalah keindahanku juga yang terkandung hikmah dan nikmat Yang Menciptaku.

Nah Rampai, itu baru harumanku, warnaku, dan kelopakku yang kau puja. Hanya kerana duriku kau tidak mahu meneroka lebih jauh tentang aku? Kasihan kau. Bacalah alam Rampai. Hayati dan fahami alam.

Tangkaiku adalah lambang jalan pulang ke pangkuanNya, duriku adalah ujian-ujian yang perlu kau tempuhi yang pasti saja mencabar sabar dan menggurit jiwamu. Bungaku adalah mahligai kasihNya tempat kau kekal beradu nanti, dirias pelbagai wangian mengindah rasamu sepanjang masa. Demikianlah Rampai, kau perlu berpayah-payah dulu dan berusaha dalam sabar ‘tika memetik bungaku untuk dijadikan tilam tidurmu. Tidak ada kesenangan tanpa kepayahan Rampai. Kau harus ingat itu.

Rugilah engkau Rampai kalau hanya memujaku tanpa mengenaliku dengan lebih jauh. Mengenaliku adalah denaimu mengenali Penciptaku. Fikir, renung dan tenung aku Rampai dan rasailah keindahanku. Kemudian rendakan keindahan itu menjadi jalinan ilmu yang menjiwai ragamu sehingga terbit perasaan paling seni mahu mengenali Yang Menciptaku. Kau bakal takjub betapa mengenaliNya akan menerbitkan rasa cinta padaNya, dan redha di kalbumu.

Rampai, mawar adalah permaisuri taman dan ibu haruman. Sari kehidupanku bersemayam di setiap helai kelopakku yang menyimpan keajaiban attar. Andai kau tahu Rampai, attar yang diperah dari puri kelopakku adalah penyeri dan penawar pelbagai gundah dalam kehidupan manusia. Maka itu, aku juga dijadikan lambang para Sufi dalam kehidupan mereka.

Begitulah Rampai tamsil sekuntum Mawar, dan tidaklah sia-sia kau menyelongkar rahsiaku dan rahsia alam semesta kerana membongkar rahsia itu adalah pencetus kuasa cinta dalam dirimu terhadapNya, dan mencetus cintaNya kepadamu. Itulah hakikat cinta sebenar Rampai!



Aduh! Tertampar kiranya diri dengan bicara sekuntum Mawar kala langit belum lagi bercahaya, dan kabus mulai dipungut bayu membawa sama dinginnya entah ke mana. Sementara menanti mentari menyimbah senyuman kencananya pada alam, saya merenung mawar-mawar di hadapan. Kupu-kupu dan kumbang mula menyeri ...

“SesungguhnyaYa Rabb, Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lindungilah aku dari azab nerakaMu”

*14/02/2008
Cameron Highlands, Pahang
.


Salam.

19 comments:

Mak Su said...

mawar nan indah, sedangkan rerumput yang diinjak-injak saban hari pun byk hikmah kejadiannya ek, bukalah mata kita kita semua untuk lebih boleh melihat

m i n e r a l . . . said...

mawar mngitkan sy kpd arwah bonda yg suka menanamnya....
wangi... penuh duri.

Butaseni@Wan Raja said...

walau pun saya kurang faham skit cerita ni tapi cukup untuk mewangikan hariku hehe

blackpurple @ jowopinter said...

Salam BR

Ya. Setiap kejadian ciptaan Tuhan ada falsafah dan rahsianya.

Kali ini BR tulis tentang bunga mawar. Mungkin lain kali bunga Lantana camara pula...? :)

Pa'chik said...

hish.. dah sehat ke rampai.. kejap kat alor setar, kejap kat kameren hailen, kejap kat semban, kejap kat kl...

kelopak mawar selalunya dimasukkan dalam bunga rampai kan? kan? heheh...

CerminDiri said...

salam kehidupan,

kekadang kita leka dengan nikmat mata tanpa peduli dengan nikmat akal. sedangkan itu yg paling utama.

jaketbiru said...

salam rampai..
... membayangkan rampai di ratusan rimbunan kembang mawar di rose gardern atau di mardi cameron highland terpana dek keharuman mawar berwarna yang mengamit ilham coretan kali ini.. indahnya alam kan rampai.. menjadi memori berahi pada bait-bait ini..

Ordinary Superhero said...

Mungkin begitu lah bicara si mawar jika diizinkanNya.

zizie ali said...

dijadikan duri, agar kita tidak semberono. harus hati-hati. menikmati keindahan mawar juga, perlu waspada.:-)

- G O R O - said...

Salam.

Menarik dipandang, hati2 bila mendekati. Tapi haruman itu membuatkan hidup ini bahagia.

HCI said...

Rampai,

Mawar Cameron cantik menawan
Menggoda hati siapa yang pandang
Lihat sahaja tak jadi halangan
Jangan dicium pabila di bawa pulang

Pegawai Khalwat said...

Pandangan aku, mudah saja.
Fitrah alam, semuanya datang dengan pakej.

Tidak ada yang sempurna, mesti ada yang tidak kena pada sesuatu yang kena dengan kita.

Jadi, gabungan dan sinambungan ketidaksempurnaan itulah yang akan membentuk kesempurnaan yang kita cari.

Tapi kesempurnaan itu hannyalah untuk kita, bukan orang lain.

Unknown said...

mawar, sentiasa menjadi pujaan biarpun berkali-kali jari dilukai tika mahu memetiknya :)

Bunga Rampai said...

MakSu, buka mata dan buka hati.

Mineral, Al-Fatihah untuk arwah bondamu.

Butaseni, semoga hari-hari depanmu juga sewangi mawar.

BP, salam kembali BP. Moga rahsia yang diselongkar mendekatkan hati kita padaNya.

Lantana Camara, bunganya cantik dan baunya tidaklah seteruk tahi ayam. Atas izinNya, boleh saja menulis tentang bunga tahi ayam :-)

Pa'chik, alhamdulillah...kerja jalan-jalan menceriakan kesihatan. Laa ni nak duk diam-diam, perhati bendera-bendera dan poster-poster :-D

Kelopak mawar dalam bunga rampai adalah lambang kasihsayang :-)

Cermindiri, salam kehidupan kembali. Dari mata, singgah dulu di akal, kemudian turun ke hati. InsyaAllah hati kan sewangi mawar.

Jaketbiru, salam kembali. Keindahan alam sering membangkit rasa untuk meluahkan isi hati..

OSH, begitulah, ada bicara dalam setiap ciptaanNya.

Bro Zizie, madah berlapik, mawar berduri :-)

Goro, salam kembali. Moga dalam perlindunganNya di mana jua berada. Tabah dan sabar menghadapi cabaran. Pasti ada sekuntum mawar di sisi yang membuatkan Goro bahagia ;-)

Kak Has,
mawar sejambak si mawar merah
dicium tidak dibelai tiada
sekadar hati memandang pasrah
membangkit cinta pada Pencipta..

Bro PK, oooh ... kata-kata itu mengocak ruang fikir saya! Terima kasih.

Zalisa, tak apa ... luka ada ubatnya :-)

MYA MARJA said...

Ketika mawar masih merah, tebarlah merah warnamu ke sekitar...

Rasha_rz said...

mawar hilang indahnya bila dicarik2 menjadi bunga rampai. bergaul bersama sikembang cina.

Bunga Rampai said...

Mya Marja, ...begitulah yang molek.

Rasha_rz, walau indahnya hilang, ia tetap harum.

orang kampung said...

...kesempurnaan itu bukan milik hamba. Hanya milik dia. Terus mencari kesempurnaan adalah tekad untuk terus menjadi yang terbaik. Walaupun pencarian itu tiada hujung, ia tak pernah dianggap sia-sia.

Puas saya cari sinonim nya mawar dengan wanita (spt yg selalu di beritahu), hakikat nya wanita itu insan yang paling kuat.

anjang.
- memberi bunga plastik tak semestinya hati kita kita plastik. :)

Bunga Rampai said...

OrangKampung, terima kasih menghargai wanita.

Bunga plastik - yang penting si pemberinya punya jiwa setulen warna mawar :)