Wednesday, 16 March 2011

Khabar dari Jepun

Dalam himpunan e-mel pagi ini, terselit nama Makiko. 
Thanks for your caring for me.  I am fine.  No damage.
Demikian katanya. Setelah empat hari menunggu balasan darinya, sejak bencana Tsunami melanda Sendai di Jepun pada 11 Mac 2011 yang lalu, e-mel yang ringkas itu sangat-sangat menggembirakan saya. Dari e-mel seorang kawan pula, saya diberitahu Nanako juga dalam keadaan baik.
Cumanya, berita dari Megumi belum ada.
Tertanya-tanya juga adakah dua orang blogger ini  -  Zealboat dan Kuncihilang - masih menetap di Jepun?  Mudah-mudahan perlindunganNya bersama mereka di mana jua berada.
Kita-kita ini yang masih menunggu waktu mati, ayuh ambil iktibar dari segala peristiwa bala bencana yang menimpa kehidupan manusia yang kerap sangat berlaku kini. Jom kita mengorak langkah tertib berjalan di jalan yang lurus menuju redhaNya.

Salam.

Thursday, 10 March 2011

Perginya Tuah dan Fishy, dan gugurnya Kemuning Putih

Berjenis sudah ubat dimakannya namun semakin hari Tuah semakin lemah dan lesu. Makannya bersuap, minumnya bersudu. Kata doktor, kesihatannya berada di tahap paling rendah dan kebarangkalian untuk hidup lebih lama amatlah tipis. Dua minggu lalu pada suatu petang Ahad, Tuah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebelum pergi, dia sempat mendongak  dan dengan mata hampir tertutup, dia memandang layu tuan yang sedang meribanya. Tertitis jua air mata si Rampai melihat kucing Siam kesayangannya itu terkulai di ribaannya.

Pagi ini pula, Fishy si ikan Oscar terapung-apung di dalam akuarium. Ia kaku dan beku walhal baru semalam dia begitu megah mempamerkan kehandalannnya berenang ke hulu hilir kepada tuannya seolah-olah dialah ikan yang paling hebat di dalam akuarium itu. Aduhai, Fishy pergi tanpa sebab yang nyata. Si Rampai bersedih hati.

Kemudian petang tadi  terkesima si Rampai melihat bunga-bunga Kemuning Putih berserakan di laman rumah. Bunga bugar merimbun, mengapa gugur dari tangkainya? Tanpa ditiup angin, mengapa  Kemuning jatuh ke tanah?  Si Rampai mencongak jawapan namun tiada yang dapat diraihnya. Hasrat memetik bunga-bunga Kemuning untuk dijadikan bunga rampai di hujung minggu nyata tidak kesampaian. Kini dia bermuram. Hatinya tercalar jua.

Mudah-mudahan sedih dan calar hati si Rampai tidak sampai menggoyang keimanannya. Kalaupun tergoyang, semoga ia cuma singgah bersimpuh seketika di beranda hati untuk menguji kesabarannya.

Memang biasa iman manusia ini ibarat jamung yang ada kalanya berkobar-kobar dan ada kalanya berkibar-kibar. Walaupun hanya berkibar-kibar, di sela-sela hentaman angin kencang dalam kehidupan, pastikan ianya tetap menyala walaupun ianya hanya sekadar percikan kecil bunga api. Suatu detik ianya akan bangkit menyala dengan lebih kuat lagi.

Perginya Tuah dan Fishy, dan gugurnya Kemuning Putih hanyalah peringatan-peringatan kecil dariNya supaya si Rampai tidak lalai mengingati janji-janjiNya …

“… dan aku datang singgah berkasih dikamarMu wahai Rabb, di pundak malam nanti izinkan cintaMu mengusung aku pulang.”


Salam.

Wednesday, 9 March 2011

DIA

aku datang
singgah berkasih
di kamarmu

di pundak malam

cintamu mengusung
aku pulang


Salam.

Monday, 14 February 2011

Dari mata turun ke hati

Orang kata mata adalah jendela hati kerana apa yang dilihat mata akan menggerak hati. Kerana mata orang jatuh cinta. Kerana mata juga orang cemburu buta.  Oh-la-la!

Tutup mata nampak kelam. Buka mata nampaklah segala yang ada di sekeliling. Maka mata ini dibuka besar-besar supaya nampak segala yang wujud di persekitaran kafé yang lengkap segalanya, namun dalam lengkap begitu pun masih ada kurangnya dari sudut pandangan mata ini. Alahai, kafe yang dilanggani tersangatlah sunyi! Hanya diri ini yang menjadi pelanggan di situ. Dua orang kakitangan kafé pula sedang duduk bersembang di kaunter bayaran. Hmm … seronoknya berkerja tanpa kerja!
Sebelumnya, di ruang check-in juga tidak begitu bising kerana tidak ramai pengunjung seperti selalunya. Tidak ada barisan-barisan panjang dan wajah-wajah pelbagai mimik berdiri menunggu giliran. Di luar kafé juga boleh dikira dengan jari orang-orang yang lalu lalang di situ. Sunyinya! Tak mengapalah. Ada milo panas sebagai teman dan sebiji muffin pisang mengenakkan hati yang mulai merasa sepi. Ya, minum minum dan makan makan sambil menulis-nulis di dalam buku nota. Bukan menulis ... mencoret-coret sebenarnya yang entah apa-apa yang dicoret. Milo dihirup. Muffin dimakan. Milo diminum. Muffin dikunyah.
Tiba-tiba …
Hei, lelaki itu kenapa dia memilih meja yang betul-betul bertentangan dengan meja perempuan ini? Dia meletakkan kole (kopi, teh, milo atau apa ya isinya?) dan sepinggan mee goreng di atas meja. Sejurus dia pun duduk. Kemudian … oh, dia melemparkan sejenak pandangannya bersama senyuman yang boleh tahan manisnya kepada perempuan ini! Secepat kilat tanpa membalas senyumannya, perempuan ini melarikan matanya dari bertembung dengan mata lelaki itu. Malulah dipandang begitu! Kemudian perempuan ini kembali menulis di dalam buku notanya. Kali ini menulis … bukan mencoret. Tulisan tentang lelaki itu.
“Lelaki itu. Berjaket denim dan berseluar jean. Tingginya … hmmm … 1.8m? Lebih kuranglah. Rambutnya bergaya seperti penyanyi yang pernah digam kerana membuka baju di atas pentas. Cerah kulitnya. Senyumannya manis juga tapi pandangannya … jujurkah?”
Perempuan ini menghentikan penanya kemudian mencuri pandang lelaki itu. Dia kusyuk menjamu selera. Bagus! Perempuan ini meneruskan tulisannya.
“Duhai mata, usah pandang dia. Jangan! Sebab mata tidak pandai berkata-kata tetapi memiliki bermacam-macam bahasa yang sukar dimengerti: Ada bahasa jelingan; ada renungan kosong; ada pandangan manja; ada tatapan tajam; ada renungan simpati; ada bahasa kenyit-kenyit mata. Segalanya menimbulkan pelbagai rasa di hati orang yang dipandang. Ingat,  setiap pandangan menimbulkan pelbagai tafsir oleh orang yang dipandang. Setiap pandangan menggoyah jiwa: Ada yang  meresahkan hati; ada yang menimbulkan benci; ada menerbitkan rasa kasih. Kadang-kadang, pandangan mata boleh mencetus fitnah! Maka itulah Dia memerintahkan perempuan dan lelaki menundukkan sebahagian dari pandangan mereka apabila berhadapan antara satu sama lain.”
Lelaki itu. Entah, matanya memandang atau tidak perempuan ini ketika dia berlalu pergi meninggalkan kafe. Itu bukanlah satu isu yang penting sangat!
Peliharalah hati supaya terpelihara mata dari dusta. Itu yang penting.

*KLIA: 22.01.2011
Salam.

Wednesday, 9 February 2011

Sampaikan

angin malam
bawalah lagu ini
ke pangkuan hatinya

kala embun merecup
nyanyikan rinduku
padanya

Salam.

Saturday, 22 January 2011

Nasi Tumpang

: Kota Bharu. 2/1/2011


BR:  Ambo tengoh make nasi tupe ni. Sedap weii ! Alhamdulillah.
BB:  Hor. Make bennor. Tak cukuk so tamboh duo.
BR:  Duo doh. Awe ttadi make nasi dage.
BB: Pah ni gi klek tidur.
BR: Hahaha!! LOL …

Hooray! Baru 3 hari di KB saya sudah pandai ghoyat Kelate! Kalau 3 tahun … aauuww, mesti canggih punya!
Apa yang menarik dalam perbualan sms itu sebenarnya ialah Nasi Tupe atau dalam bahasa Melayu bakunya ialah Nasi Tumpang. Saya sebenarnya tidak pernah tahu kewujudan Nasi Tumpang ini sehinggalah diberitahu oleh Big Bro pada pertengahan Disember lepas (aiseymaan ... ketinggalan zaman sungguh saya ni!). Maka kala berada di KB pada awal Januari lalu, saya tidak melepaskan peluang makan Nasi Tumpang. Syukur.
Tradisinya Nasi Tumpang dijadikan sebagai bekal yang dibawa oleh orang yang berjalan jauh; juga dijadikan bekalan untuk makan tengahari oleh para petani dan pekebun yang biasanya berkerja seharian di bendang dan kebun.
Siapa tumpang siapa? Lauk menumpang nasi atau nasi menumpang lauk? Sila Google untuk mendapatkan jawapannya, dan pelbagai imej Nasi Tumpang.
Sebenarnya sambil-sambil makan itu saya terfikir tentang kehidupan kita yang juga menumpang di dunia ini yang segala isi kandungannya adalah milik Dia. Kita hanya menumpang. Oh, kasihannya kita! Lagi malang andai dunia ini dianggap kekal selamanya lalu kita dengan angkuh tidak mahu meletakkan diri kita sebagai “penumpang” di dunia ini.
Cubalah letakkan diri kita sebagai “orang yang menumpang” di rumah saudara atau kawan kita sementara mendapat rumah kediaman yang tetap. Sebagai orang yang menumpang, sudah tentu kita sedaya upaya cuba berkelakuan baik dan berhemah untuk menyenangkan hati tuan rumah dan untuk mengekalkan hubungan baik dengannya. Bayangkanlah kalau kita berperangai “lebih dari tuan rumah” dan mengingkari kebiasaan peraturan di rumahnya, sudah tentulah tuan rumah tidak suka. Paling teruk kita dihalau keluar dari rumahnya sekiranya perangai kita tidak berubah dan hal ini akan menjejaskan perhubungan silatulrahim dengannya. Begitulah juga kita sebagai makhlukNya yang menumpang di duniaNya ini, sewajarnyalah menunjukkan perangai molek kepadaNya dengan mematuhi segala hukum dan peraturanNya supaya Dia menerima kita dengan redha di duniaNya, dan di akhiratNya yang abadi.  Fikir-fikirkanlah!
Nasi Tumpang bukan saja enak malah wajah pembalutnya juga memikat hati. Dibungkus dengan daun pisang dan dipersembahkan dalam bentuk kon, ia mengingatkan saya kepada aiskrim Cornetto! Kini saya tidak perlu lagi susah-susah ke Kelantan untuk mencari Nasi Tumpang kerana menurut seorang kawan ia boleh didapati di Restoran The Warung, Mid Valley. Cumanya, adakah sedapnya setanding dengan yang pernah saya makan di KB tempoh hari. Nanti saya cuba.
*Akan berpergian lagi. Pergi tanpa membawa Nasi Tumpang.

Salam.

Tuesday, 18 January 2011

Sebenarnya

sering
di relung hati rindu berpesan
pulang ke sini


sering pula
di hujung waktu rindu bermalam
di puncak sana


Salam.

Monday, 15 November 2010

Diari tanpa haribulan

~ Di Hospital. Untuk menunggu ujian gastro pun perlu tunggu lama-lama begitu! Mujur ada teman bersembang yang bernama My Dog Is A Carrot – A book of poems by John Hegley (Walker Books).

My doggie don’t wear glasses; A comparison of logs and dogs; The bare BONES of a poem; Bully for you; What a poem’s not; The emergensea; Knee poem; My dog is a dog. Demikian antara tajuk-tajuk sajak Mr. Hegley itu. Agak aneh dan lucu bunyinya. Ada lukisan-lukisan lagi, macam lukisan budak-budak tadika! Bagaimanapun, ada beberapa sajak yang ligat merempuh fikir. Umpamanya sajak ini:

Key poem

Being a key
is my curse.
I live on a ring
in a purse
or a pocket
rarely seeing my true home.
Only for a moment,
when I unlock it.

~ Di Great Eastern Mall. Sedang menunggu teman di depan sebuah kedai. Dua orang kanak-kanak Melayu bersama ibunya sibuk memilih-milih dan mencuba-cuba segala macam pakaian dan peralatan yang seperti dalam filem Harry Potter ‘tu. “Great! Halloween party here we come!” Kata si ibu tersenyum lebar setelah membuat pembayaran. “Yeay, nak jadi hantu Haloween!” Jerit seronok seorang anaknya. Alahai!

~ Ke kedai buku. Aduuh, diari-diari pelbagai warna dan gaya menyedarkan hati nan alpa betapa 2010 sudah hampir ke perhentiannya! Kira punya kira, imbas punya imbas maka bersoallah hati: “Apakah kandungan diariku yang telah dicatat oleh Tuhan sepanjang hidup ini?” Aduuh, merinding jadinya diri!

~ Sidang di IIU. Kawan di sebelah kanan sudah mulai bosan. Dia menconteng-conteng buku nota di hadapannya. Kemudian melukis-lukis gambar kucing dan itik. Juga bunga raya dan pokok kelapa. 'Pabila halaman penuh, halaman baru diselak. Dia memandang halaman kosong itu sambil pensilnya diketuk-ketuk tanpa bunyi di atas meja. Kemudian dia diam seketika. Kemudian dia menulis perkataan besar-besar memenuhi  halaman kosong itu: "Hatimu adalah cermin dirimu." Dia tersenyum. Orang di sebelahnya yang memerhati juga tumpang senyum.

~ Malam-malam yang gersang. Bulan sedang lena di peraduan langit. Bintang-bintang pula menghantar sang bayu  ke bumi. Sesekali bayu bersimpuh di qalbi sambil meredupkan sukma. Ada waktu-waktunya bayu bersenandung pesan yang menggelisahkan perdu rasa:  "Tidakkah kamu takut betapa terlalu banyak saksiNya – dari Kitab, dari para Nabi, malaikat, malah dari anggota tubuh badan kamu sendiri bangkit menjadi saksi bagi pihakNya. Bagaimana mahu menafikan kesalahan yang kamu lakukan walaupun ia hanya sekadar bisikan mulut tanpa suara atau gerak hati tanpa bunyi?  – Dia tetap mengetahuinya! Bersedialah untuk detik itu.” Ya, bersedialah diri kerana masa tidak pernah menunggu manusia!

~ Walau hilangnya tidak berkhabar dan adanya cuma sebentar, empunya teratak masih lagi menyiar rindu di sini. Meluah rasa, mengunjur fikir, dan berkongsi cerita seadanya.


Salam Aidiladha,
1431 H.

Saturday, 11 September 2010

Takbir

: 1 Syawal.

Budak lelaki itu yang berusia lebih kurang 11 tahun menongkat dagu di muka pintu masjid. Dia bertakbir perlahan-lahan antara kedengaran dengan tidak. Sekejap-sekejap pandangan matanya yang tenang merenung langit. Sesekali dia memandang lantai. Dia tidak mempedulikan sesiapa disekelilingnya. Keasyikannya itu menarik perhatian seorang Rampai.

"Ooii, jom aah main mercun ... solat lambat lagi tu!" Panggil temannya.
Dia menggeleng- gelengkan kepala.
"Bodoh aah ... duduk kat situ! Pekik kawannya tadi lalu beredar pergi.
Dia masuk ke dalam masjid 'pabila tiba waktu solat.

Takbir pun sambut-bersambut. Gemanya membelai kalbu. Jauh jauh di lubuk rasa ada gelombang yang membadai atma dan menggetar pelupuk mata. Aduhai, terluah tidak kasih yang bersimpuh di relung hati. Akhirnya jiwa akur mengalah dan mutiara-mutiara jernih berderai jatuh ke atas riba.

Usai solat, budak lelaki itu kembali bertakbir pelahan-lahan antara kedengaran dengan tidak di depan pintu masjid. Dia menunduk lugu.

"Dik, tak main mercun?" Tanya si Rampai.
Dia mendongak. Mereka saling merenung seketika. Dia kemudian memerhati kawan-kawannya yang kini ligat bermain mercun di luar pagar masjid.

Dia tersenyum. "Hairan, Allah kata ... sesungguhnya dunia ini adalah hiburan yang melalaikan ... tapi ada manusia yang masih tidak mahu insaf."

Si Rampai terkesima.

"Temankan saya bertakbir, boleh tak? Di sini." Dia melirihkan senyuman sambil menepuk-nepuk lantai jubin di sebelah kanannya. Si Rampai menurut, dan mereka pun bertakbir dalam suara yang hanya mereka saja yang dapat mendengarnya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar ... Laa ilaaha Ilallahu Wa Allahuakbar ... Allahhuakbar Wa Lillah Ilham.

Tidak lama kemudian budak lelaki itu meminta izin untuk pulang. Salam dihulur, dan mereka pun berpisah kala mentari semakin gah melayur pagi yang damai.


Salam Aidilfitri 1431 H.
Maaf zahir dan batin.

Monday, 9 August 2010

Yang pulang. Yang tinggal. Yang datang Ramadhan.

Yang pulang Mak Melah.
Inna Lillah wa Inna Ilaihi Raji'un.
Mudah-mudahan tenang di sana dan berada di dalam Liqa Allah.
Al-Fatihah.

Yang tinggal kita. Pulang kita entah bila namun pulang itu tetap. Jalannya sudahpun tersedia dan kita sedang berjalan di atas jalan itu. Jalan yang lurus, bersih dan indah. Cumanya, manusia saja yang pandai-pandai membuat jalan itu bersimpang, berbengkok, beralun, berkerikil dan penuh semak-samun. Begitulah, yang tinggal akan terus diuji keimanannya sehingga saat waktu pulang.

Yang datang Ramadhan, purnama yang tidak pernah  melupakan manusia dengan membawa rahmatNya yang tidak terhingga, juga membawa pesanNya. Datangnya menyuruh manusia membersih dan mensucikan diri. Hadirnya mendidik manusia untuk bersabar dan beristighfar. Tibanya untuk membimbing manusia agar berakhlak cantik . Datangnya untuk mengingatkan manusia supaya saling kasih-mengasihi. Ramadhan hadirnya sekejap, maka itu hidupkanlah ia di kalbu kita dan semarakkan rasa cinta yang paling kudus untuk Laylatul Qadar.

“Subhanallah, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku kembalikan rasa syukur kepadaMu Ya Allah di atas kemurahan rahmatMu mengalirkan cahaya RamadhanMu yang menjadi nikmat kepada batinku. Sesungguhnya setiap saat dalam Ramadhan ini aku merasa cukup hampir denganMu.

Engkaulah cahaya jika aku dalam kegelapan kerana Engkau sentiasa memberikan petunjukMu. Hanya kerana aku manusia yang dhaif ini sering alpa, maka seringkali aku kehilangan arah walaupun petunjukMu melintas di hadapanku; dan ketika hatiku penuh dengan pelbagai soalan, Kau sentiasa menjawab setiap pertanyaan dan kemusykilan hatiku dengan wajahMu yang berseri-seri.

Ya Allah, Engkau terlalu baik kepadaku, dan ucap syukurku terlalu remeh untuk segala kebaikan yang telah Engkau berikan. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Allah Hu Ya Allah.”

Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Sambil-sambil berbuka dengan juadah yang berselerak di atas meja, janganlah lupa kepada mereka yang berselerak tanpa meja dan juadah.

Salam Ramadhan.
1431H

Wednesday, 4 August 2010

Mid, jangan butakan hati kau!

Pagi yang tenang tiba-tiba menjadi kecoh.

"Aku nak mati! Aku nak mati!" Jerit Mid mengongoi-ngongoi sambil kedua-dua tangannya memukul-mukul bantal di atas riba yang mulai lencun dek air mata yang menjurai turun dari sepasang matanya yang kian sembab.

"Nak mati kat mana dan 'camana? Terjun dari tingkat 10? Digelek keretapi? Minum racun?" Balas Ria dalam nada geram. Mukanya cengih.

Soalan itu menghentikan seketika tangisan Mid. Tidak disangkanya sama sekali Ria yang selama ini berlembut tidak pernah jemu membujuk dan menasihatinya mampu mencetuskan soalan-soalan sebegitu.

"Tapi kalau nak mati pun bukan kat sini, okey! Pergi jauh-jauh. Pi Jepun, pi Korea! Paling tidak pi Pulau Ketam." Lagi saranan dari Ria. Bisa lantunan suaranya yang tinggi meletuskan tangisan Mid yang lebih kuat.

Kebosanan Ria melayan Mid sudah melampaui kesabarannya. Dulu masa Mid putus cinta kali pertama, dialah yang memujuk dan menasihati. Mid akur. Kali kedua putus cinta pun Mid menurut kata-kata nasihatnya. Namun kali ini entah apa yang merasuk hati dan fikirannya sehinggakan dia mahu mati!

"Cinta ... Mid ... indah dirasa jiwa kala ia mekar. Merosak kalbu 'pabila ia dicemar. Cinta hanya akan tenang bila cinta sesama manusia itu dihadirkan bersama cinta Tuhan. Cinta Tuhan mengharumkan jiwa sepanjang masa walau cinta kau dengan lelaki putus di tengan jalan. Jangan butakan hati kau Mid ... hanya kerana putus cinta."

"Heh, aku sedang merana ni tau! Yang hang berpuitis tu apa kes? Kuno sungguh hang eh!"

Ria faham benar, kalau Mid sudah mula ber'hang-hang' tandanya dia tidak perlu lagi dilayan. Harus ditinggalkan sendirian.

"Well, tak da kes yang lebih parah selain melihat hang yang lemah hati."

"Aku nak mati! Tak guna hidup lagi!"

"Rugi kalau kau mati sekarang. Kau tak nak kawin? Kau tak nak rasa macam mana mengandung tu? Kau tak nak jadi ibu? Kau tak nak bertaubat sebelum mati?"

Mid terus mengongoi. Kedua-dua telinganya ditutup dengan telapak tangannya. Kata-kata Ria itu bagaikan letupan bom yang meleburkan hatinya yang sedia retak.

"Mengucap Mid. Mengucap. Tuhan masih sayangkan kau. Ada yang lebih baik dari dia yang Tuhan sediakan untuk kau. Jangan butakan hati kau hanya kerana putus cinta. Tuhan benci pada orang-orang yang berputus asa."

Tangisan Mid tidak juga reda-reda. Sekejap mengongoi sekejap berjela panjang. Ria meninggalkannya sendirian. Lambat-laun tenanglah hatinya, mudah-mudahan. Bisik hati Ria.

 
Salam.

Thursday, 29 July 2010

Maine Coon vs Gelang Mas

Lewat petang tadi di sebuah kedai kucing:

Cucu: Nek, nek tengok anak kucing ni! Comelkan?
Nenek: Memang comel, comel sangat.

Cucu: Kucing nilah yang Ayi suka ... baka Maine Coon ni nek. Nanti nak minta abah belikan untuk birthday present Ayi.

Nenek: Berapa harga?
Cucu: Ni nek. (sambil menunjukkan tanda harga)

Nenek: Haaa, enam ratus?
Cucu: Lebih murah dari kucing Parsi nek!

Nenek: Kalau neneklah, lebih baik beli gelang mas ... pakai kat tangan ... cantiiik!. Kalau beli kucing ni ... heh, dahlah mahal ... nanti berak merata!

Cucu: Kena trainlah nek, train kucing berak kat bekas pasir dia.
Nenek: Tren ke tak tren ke sama je ... mahal! Beli gelang mas lagi baik!


Salam.

Friday, 23 July 2010

Cinta Sama Cinta

Kamal namanya si tukang potong rumput dari Bangladesh yang sudah setahun mengambil upah memotong rumput di halaman rumah. Punya majikan tapi hujung-hujung minggu dia bebas mencari upah di tempat lain. Ceria orangnya. Hensem lagi segak. Berambut ikal hitam. Ada sedikit iras Hritik Roshan. Kalau ketawa, giginya yang putih menyerlah mampu melupakan orang kepada kulitnya yang agak gelap.

Petang Ahad lalu datangnya berwajah sugul. Kerjanya perlahan. Potongan rumputnya tidak sekemas seperti selalu-selalu. Saya tidak puas hati dengan kerjanya. Dia meminta maaf.

Alasannya, dia dilanda masalah peribadi. Isterinya mengandung 3 bulan. Saya terkejut. "Aik, bila kamu kahwin? ... Tak bagi tau pun!"

"Akaak, minta maaflah. Saya kahwin sendiri-sendiri. Panggil itu Tok Kadi datang rumah bagi kawin. Kenduri kicik-kiciklah. Itu kawan-kawan saja datang." Senyuman tipisnya menyirnakan sedikit kesugulan di wajahnya.

Ucapan tahniah dari saya disambut dengan air mata! Alamak, kenapa ni? Tanya hati kepingin sangat tahu. "Nangis apa pasal? Tak happykah?." Saya cuba-cuba merisik rahsia tangisannya.

"Akaak, isteri saya Cambodia mari. Juga kerja sini ... kerja kilang. Dia sudah habis kontrak dan mau pulang Cambodia lagi 3 hari. Saya tak boleh ikut."

"Kenapa tak boleh ikut?" Err, babak menyibuk-nyibuk bermula!

"Passport saya juga sudah mau mati lagi 3 hari. Permit kerja pun sudah mau habis. Saya kena pulang Bangladesh dulu, lusa. Mau renew itu paspot baru boleh pigi Cambodia. Tapi saya tak ada cukup wang renew itu passport. Beli tiket kapal terbang pigi Cambodia juga tak ada cukup wang. Kena kerja dulu kumpul wang."

"Berapa lama kerja baru boleh bayar itu semua?" Aiseymaaan, menyibuknya cik akaak!

"Tak taulah akaak. Tapi saya cinta dia ... dia cinta saya. Cinta sama cinta. Dia juga sudah nangis-nangis selalu. Mudah-mudahan semua okey. Doakan saya akaak."

Ya, mudah-mudahan jodoh mereka kekal selamanya dan berbahagia jua.


Salam.