Monday, 14 February 2011

Dari mata turun ke hati

Orang kata mata adalah jendela hati kerana apa yang dilihat mata akan menggerak hati. Kerana mata orang jatuh cinta. Kerana mata juga orang cemburu buta.  Oh-la-la!

Tutup mata nampak kelam. Buka mata nampaklah segala yang ada di sekeliling. Maka mata ini dibuka besar-besar supaya nampak segala yang wujud di persekitaran kafé yang lengkap segalanya, namun dalam lengkap begitu pun masih ada kurangnya dari sudut pandangan mata ini. Alahai, kafe yang dilanggani tersangatlah sunyi! Hanya diri ini yang menjadi pelanggan di situ. Dua orang kakitangan kafé pula sedang duduk bersembang di kaunter bayaran. Hmm … seronoknya berkerja tanpa kerja!
Sebelumnya, di ruang check-in juga tidak begitu bising kerana tidak ramai pengunjung seperti selalunya. Tidak ada barisan-barisan panjang dan wajah-wajah pelbagai mimik berdiri menunggu giliran. Di luar kafé juga boleh dikira dengan jari orang-orang yang lalu lalang di situ. Sunyinya! Tak mengapalah. Ada milo panas sebagai teman dan sebiji muffin pisang mengenakkan hati yang mulai merasa sepi. Ya, minum minum dan makan makan sambil menulis-nulis di dalam buku nota. Bukan menulis ... mencoret-coret sebenarnya yang entah apa-apa yang dicoret. Milo dihirup. Muffin dimakan. Milo diminum. Muffin dikunyah.
Tiba-tiba …
Hei, lelaki itu kenapa dia memilih meja yang betul-betul bertentangan dengan meja perempuan ini? Dia meletakkan kole (kopi, teh, milo atau apa ya isinya?) dan sepinggan mee goreng di atas meja. Sejurus dia pun duduk. Kemudian … oh, dia melemparkan sejenak pandangannya bersama senyuman yang boleh tahan manisnya kepada perempuan ini! Secepat kilat tanpa membalas senyumannya, perempuan ini melarikan matanya dari bertembung dengan mata lelaki itu. Malulah dipandang begitu! Kemudian perempuan ini kembali menulis di dalam buku notanya. Kali ini menulis … bukan mencoret. Tulisan tentang lelaki itu.
“Lelaki itu. Berjaket denim dan berseluar jean. Tingginya … hmmm … 1.8m? Lebih kuranglah. Rambutnya bergaya seperti penyanyi yang pernah digam kerana membuka baju di atas pentas. Cerah kulitnya. Senyumannya manis juga tapi pandangannya … jujurkah?”
Perempuan ini menghentikan penanya kemudian mencuri pandang lelaki itu. Dia kusyuk menjamu selera. Bagus! Perempuan ini meneruskan tulisannya.
“Duhai mata, usah pandang dia. Jangan! Sebab mata tidak pandai berkata-kata tetapi memiliki bermacam-macam bahasa yang sukar dimengerti: Ada bahasa jelingan; ada renungan kosong; ada pandangan manja; ada tatapan tajam; ada renungan simpati; ada bahasa kenyit-kenyit mata. Segalanya menimbulkan pelbagai rasa di hati orang yang dipandang. Ingat,  setiap pandangan menimbulkan pelbagai tafsir oleh orang yang dipandang. Setiap pandangan menggoyah jiwa: Ada yang  meresahkan hati; ada yang menimbulkan benci; ada menerbitkan rasa kasih. Kadang-kadang, pandangan mata boleh mencetus fitnah! Maka itulah Dia memerintahkan perempuan dan lelaki menundukkan sebahagian dari pandangan mereka apabila berhadapan antara satu sama lain.”
Lelaki itu. Entah, matanya memandang atau tidak perempuan ini ketika dia berlalu pergi meninggalkan kafe. Itu bukanlah satu isu yang penting sangat!
Peliharalah hati supaya terpelihara mata dari dusta. Itu yang penting.

*KLIA: 22.01.2011
Salam.

15 comments:

faridmw said...

salam...
kerana mata itu leh melihat.. berjaga2 lah... mata itu boleh menafsir secara terus..

Pegawai Khalwat said...

Lebih mudah memelihara mata dahulu dari memelihara hati. Kerana mata itu akal yang mengawalnya, dan hati itu iman yang mengawalnya.

Lebih mudah mengawal akal dari iman, terutama jika iman kurang menguasai akal.

SHIMI said...

Suka ngan entri ini. Ada kejujuran dari hati seorang wanita. Yang memandang dan bersuara dengan mata hatinya...

Hanya mampu senyum :-)

Pa'chik said...

kalau... mata-mata cemana pulak?? :P

Unknown said...

mata kdg2 menipu..

tertipu dgn bhs jiwa... :)

namoyaki said...

andai kiranya perkara ini berlaku pada bulan puasa, bagaimana pula intrepretasi penceritaannya?

julietchun said...

sempat mencuri pandang :D

Bunga Rampai said...

Faridmw, salam kembali. Benar, dengan izinNya jua.

Bro PK, komen yang membuat saya berfikir dan mengajak saya untuk terus belajar. Terima kasih untuk itu.

SHIMI, terima kasih ... dan saya juga hanya mampu membalas senyuman itu :-)

Pa'chik, pandangan mata-mata membuat hati mengeluh dan berkata: "Adeii, dia nak saman ke ni?" ... hehehe! :P

PnConfused, setuju! Maka itu perlu pendinding jiwa ;)

Namoyaki, kata kunci cerita ini ialah "menundukkan pandangan". Jadi, andainya perkara ini berlaku dalam bulan puasa (selepas berbuka pastinya), penceritaannya tentang "Dia memerintahkan perempuan dan lelaki menundukkan sebahagian dari pandangan mereka apabila berhadapan antara satu sama lain” tetap tidak berubah walaupun persekitaran kafe berubah.

Julietchun, mujur tak kena tangkap! :P

afid said...

ahahha..cik rampai.:B
sy nak sambung lagi, tapi..takpelah..ekekekke

serimaya said...

Indahnya bidalan pusaka Melayu, Dari mata turunlah kehati,namun mata dewasa ini seringkali tertipu dengan senyuman manis yang ikhlasnya boleh dijual beli.

Benar kata Bunga Rampai, dengan memelihara hati akan terpeliharalah mata dari pandangan yang dusta.

Izariza said...

salam sahabat saya, tentu sekarang masih berpergian lagi .. entah kapan mahu kembali?

Datuk, jauh perjalanan luas pemandangan, luas pemandangan, dalamlah pengalaman (eh apa saya merepek ni haha .. dan tiba2 tergiang di telinga akan lagu 'Penat berjalan di tengah kota
Mencari teman bukannya mudah
Kalau tak tahu cara bertanya
Kau akan tenggelam ...' alamak Alleycats la pulak!!! heheh)

p/s: pandangan itu panahan .. ;)

Mak Su said...

mata mmg sering berdusta, oh hati. berbijaksanalah :)

Bunga Rampai said...

Afid, nanti datang lagi dan sambung ayat yang terputus tu ... :P

Serimaya, mudah-mudahan hati kita sentiasa mendapat petunjukNya.

Izariza, salam kembali sahabat. Berpergian cuma seketika, pulang entah untuk berapa lama ... tapi kalau sempat berblog ... kira okey lah tu! :D

Datin, jauh berjalan ... lenguh kaki! :P ... dan apabila berada di tempat jauh, saya suka dengar
lagu Sampaikan Salam oleh Alleycats ... lagu yang punya panahannya yang tersendiri ;)

Mak Su, moga hati kita diberiNya kebijaksanaan hakiki :)

Izariza said...

Wow .. kita sama2 penggemar Alleycats nampaknya ye ... entah, dalam banyak2 karya, Alleycats juga yang melekat di hati :)

seronok juga bila kerjanya mengembara sana-sini kan, sambil melihat variasi dalam ciptaan-Nya.

p/s; jangan lupa bawak Salon Pas atau Yoko-yoko bila berpergian agar lenguh di kaki bisa diubati!

Bunga Rampai said...

Izariza, segala ciptaanNya tidak sia-sia dijadikan - ada hikmah dan nikmatnya dalam kehidupan manusia. Manusia hanya perlu memerhati dan memikirkan tentangnya, kemudian bertindak sewajarnya.

p/s: Sebenarnya saya tak pernah bawa plaster-plaster tu kalau berjalan jauh. Selalu bawa minyak gamat je :)) Itu pesanan yang baik dari Datin, terima kasih.

Februari sudah pun berlalu ... begitu juga mawar merah dan sebuah puisi ... haha, Alleycats lagi, duuh!!