Sunday, 1 January 2012

Biasa-biasa saja

Di laman, bunga-bunga kertas masih menguntumkan senyuman fuscianya.
Kemuning putih belum pun lagi berputik. Kucing-kucing jalanan tetap
berkerumun di pintu pagar belakang menunggu untuk dijamu. Ikan-ikan, aneh, tidak pernah penat berenang-renang di akuarium. Semuanya masih seperti semalam. Nyaman dan tenang.

Bersarapan di Subway juga bukan satu kelainan: roti parmesan oregano berintikan tuna, telur, keju, sayur-sayuran - bersoskan mustard, thousand island, dan sos cili. Biasa-biasa saja seperti tosei dan capati, nasi lemak atau nasi dagang yang kadang-kadang dijadikan menu sarapan apabila selera menolak keenakan bubur oat yang menjadi menu utama setiap pagi. Oh ya, kopi putih panas juga biasa-biasa saja. Walaupun tidak sehebat nescafe yang aromanya boleh melayangkan madah-madah fikir seperti layang-layang terbang bebas dan jauuuuh ke langit hijau, kopi putih itu bagaikan mengiringi kilau suria yang menyerikan hati.

Biasa-biasa saja hari ini.  Masih berazam lama kerana Cinta masih bersembunyi!

Salam,
2012 Masehi.

Sunday, 27 November 2011

Catitan terakhir: telefon baru

Yeay, dapat handphone baru hari ini! Handphone lama yang sudah tiga tahun berkhidmat untuk tuannya tanpa sebarang masalah akan diberikan kepada seseorang yang berhak memilikinya, dan mudah-mudahan hari-harinya akan lebih ceria dengan kehadiran telefon itu.

Maka menjadi sangat sibuklah petang tadi dengan urusan mengosongkan fail dan folder dalam telefon lama, dan meneliti kembali kandungan folder yang menyimpan beraneka pesanan dan imej amat membaur rasa. Ada pesan yang kelakar, ada imej yang membuat senyuman meleret-leret. Ada yang memberi peringatan dan semangat juang, ada imej yang menyedihkan. Begitu mesej-mesej yang diterima mencerminkan keperibadian si pengirimnya dan walau apa pun keperibadian itu, ia amat ampuh dalam membina keperibadian diri sendiri.

Dalam berpuluh bingkisan pesanan yang diabadikan dalam telefon lama itu, ada satu pesanan yang sangat membuka rasa, dan nun jauuuh di lubuk hati berbisiklah rasa itu mahu menjadikannya sebagai peringatan dalam menyelusuri hari-hari mendatang.

"DIA tidak hairan manusia berbuat dosa kerana DIA mampu membalasnya... yang DIA hairan ialah manusia tidak bertaubat sedangkan mereka tidak mampu menahan azab neraka." 

Peringatan itu diterima pada 16 Februari 2011.


Salam Hijrah 1433H.

Saturday, 12 November 2011

Yang lebih utama

Ada gerak hati yang meminta-minta dalam getar jantung yang tidak keruan. Ada suara yang menyuruh-nyuruh dalam keengganan yang kuat. Entah apa perlu ke Curve petang-petang begitu sedangkan kehendak hati mahu duduk diam-diam beristirihat di rumah. Shopping? Oh, tidak kerana fulus tidak mengizinkan!

Fikir dan dipertimbangkan jua gerak hati itu. Barangkali minum-minum nescafe lewat petang Jumaat di sana dapat melegakan getar jantung yang meresahkan itu. Barangkali. Maka diketepikan segala prasangka hati lalu melangkahlah kaki dengan berhati-hati.

Terpaut jua rasa kala melihat sebuah kedai makan yang tidak berpelanggan. Sebaik masuk, kaki terus menjurus langkah ke sebuah meja di sudut kanan. Aah, ada sebuah buku nota di atas salah sebuah kerusi di meja itu! Hairan pekerja kedai tak perasan ke buku nota itu? Gerak hati menduga diri lagi sama ada perlu atau tidak mengintai-intai kandungannya. Aduuh, nakalnya! Lalu kulit buku nota diselak dan beginilah yang tertulis di atas muka surat pertama ...

Kata-kata Saidina Umar r.a:-
• Aku telah memerhatikan semua teman, namun tidak ada teman yang lebih utama daripada memelihara lisan.
• Aku telah memerhatikan semua pakaian, namun tidak ada pakaian yang lebih utama daripada memelihara sifat warak.


• Aku telah lihat semua harta, namun tidak ada harta yang lebih utama daripada sifat qanaah.
• Aku telah melihat semua kebaikan, namun aku tidak melihat yang lebih utama daripada ikhlas dalam beramal.
• Aku telah melihat semua makanan, namun aku tidak melihat yang lebih nikmat daripada sabar.

... mama mia! Keenakan nescafe semakin lumayan apabila dihirup bersama kata-kata tersebut. Alhamdulillah.


*Kota Damansara
11.11.11

Salam.

Monday, 31 October 2011

Mukabuku

Bagaimana ya ini boleh berlaku sedangkan BR tidak punya akaun fb? 'Pabila ke pautannya dan masukkan kata laluan... aiik, katanya salah! Waduh waduh... gimana sih? Lagian, nggak ada kok minta mintain untuk buat fb  dalam henfon! Musykil musykil!

____________________________________________________________

Halo Bunga,
Anda belum mengunjungi Facebook lagi belakangan ini.Anda telah mendapatkan beberapa pemberitahuan saat sedang tidak berada di tempat.

Untuk masuk ke Facebook, ikuti tautan di bawah:
http:// www...
Terima kasih,
Tim Facebook

* * *

Hai Bunga,
Anda baru saja meminta untuk menggunakan fitur masuk dengan mudah melalui perangket seluler Anda.

Klik tautan di bawah untuk mempermudah masuk ke Akun Facebook Anda:
http://www...

Jika Anda tidak pernah meminta menggunakan fitur ini, kemungkinan ada orang lain yang keliru mencoba masuk menggunakan informasi masuk Anda. Orang itu tidak mengetahui tautan ini dan akun Anda masih aman.

Terima kasih,
Tim Facebook

____________________________________________________________

Baca pautan  ini  untuk renungan dan peringatan.


Salam.

Sunday, 23 October 2011

Itu kata dia

Pemandu teksi itu kata biar laju maka cepat sampainya. Saya pula kata biar lambat asalkan selamat.

Kata pemandu teksi hujan dah mula turun... nak elak jam kalau hujan lebat, jadi kena bawa laju. Kata saya bawa perlahan kerana jalan licin, pandu laju nanti terbabas.

Aah, teksi terus meluncur laju di lorong kanan jalan raya. Rasa rasanya macam naik kereta lumba Formula 1. Hujan mulai melebat. Risau jadinya saya.

Nanti kena saman! Saya mengingatkan pemandu teksi. Time time hujan begini mana ada polis trafik... dorang tidur, katanya yakin.

Vroomm vroomm vroomm dia menekan minyak di hadapan lampu merah. Aduuuh, hati saya beristighfar kencang!

Setiba di Kajang, pemandu teksi meminta nama taman perumahan dan bertanyakan bila terakhir saya ke taman itu. Jawab saya... tak pernah sampai lagi ke tempat itu.

Tak mengapa jawabnya. Kalau tak jumpa taman itu kita rehat dulu makan satay. Errr, makan satay? Huh, biar benar orang tua ni! Sungguh dia sudah berusia. Rambutnya tipis dan beruban. Pipinya cengkung. Kurus badannya namun dari cara dia memandu, dia masih kuat tenaga.

Tiba di lokasi, pemandu teksi tersenyum lebar menampakkan susunan giginya yang jarang jarang. Ketika menyambut bayaran dia berkata ... kan saya dah kata cepat sampainya kalau bawa laju!


Salam.

Wednesday, 5 October 2011

Akan ada waktunya

Syawal 3 di kaki gunung.

Naurah merenung tulisannya sendiri. Lebih tepat, Naurah merenung luahan rasa jiwanya di atas sehelai kertas putih. Barangkali apa yang ditulisnya itu amat asing bagi hatinya yang sedang digebari perca-perca kenangan maka dikoyaknya kertas itu lalu direnyuk-renyuk kemudian membalingnya ke atas lantai. Tulis, renung, baca, renyuk, dan baling! Begitulah Naurah pada pagi yang berangin lunak dan tebal kabus masih melingkari rimba di pergunungan. Kalau dikira-kira gumpalan kertas di atas lantai, nyata sudah  sembilan kali dia mengulangi perbuatannya itu.

Dari beranda chalet tempat Naurah melayan rasa: membaca, berfikir-fikir, merencana, dan sesekali  menerbangkan angan-angannya yang kadang-kadang melayang entah ke benua mana - jelas kelihatan sebatang pokok besar di laman yang dia sendiri tidak tahu apakah namanya. Pada beberapa dahan pokok itu tumbuh sang anggerik yang menjuntaikan bunga-bunganya dan bunga-bunga itu akan bergoyang-goyang manja tatkala ditiup angin. Setiap kali matanya dan anggerik itu bertamu pandang, ada saja yang bertandang di kepalanya lalu ditulisnya di atas kertas. Namun … aah, asyik tidak menjadi tulisannya dan kertas itu menjadi mangsa renyuknya!

Naurah tidak mengendahkan waktu yang pergi. Baginya, selagi tiada panas mentari menghangatkan paginya maka selama itulah dia berselimutkan shawl kelabunya, dan menghirup nescafe panas yang rasa manis pahit lemaknya bisa saja memanggil-manggil sekilas rentak waktu-waktu yang merapuh …

ini kelopak hati yang tergurit
diam bercarek meredah waktu
bermusim menahan perit
meluluh jiwa nan satu

biarlah
lepaskanlah

insya Allah akan ada waktunya
setia kasih bertasbih di hati
menjunjung takbir atas namaNya
dan  cinta bertahajud hingga ke pagi

Demikian Naurah mendandan kata-kata di benaknya, dan kali ini dia membenarkannya  tanpa menulisnya di atas kertas.


Zulkaedah 7 di pinggir kota yang bukit-bukitnya kian hari kian mendatar.

Akur Naurah pada sesuatu yang berlaku adalah hasil gerak dari Penggeraknya dan selayaknya berwaktu dan bertempat  - ada waktu dilahirkan, ada waktu mati; ada masa ketawa, ada masa menangis; ada kalanya hati menjadi sepi, ada kalanya bergelora; ada musim kemarau, ada musim tengkujuh; ada detik kembangnya bunga, ada pula detik gugurnya; ada waktu menerima, ada waktu melepaskan – dan pada jiwa mentah Naurah, walau sedetik waktu dia menyepi, ada saja rasa terkilan mendesah di kalbunya. Terkilan kerana dia masih belum mengorak langkah untuk mengangkat cinta hakiki, dan dalam rentang waktu yang menyingkat usia dia hanya mampu berkepinginan …

sabarlah
beistighfarlah
insya Allah akan ada waktunya
setia kasih bertasbih di hati
menjunjung takbir atas namaNya
dan  cinta bertahajud hingga ke pagi

‘Akan ada waktunya nanti, Insya Allah.’ Begitu pujuk Naurah kepada hati yang mendesah duka; dan sementara menanti adanya waktu itu, dia mengizinkan waktu celiknya untuk memanfaatkan waktu Dhuha.

“Dalam tubuh manusia ada tiga ratus enam puluh ruas tulang. Ia harus dikeluarkan sedekahnya untuk tiap ruas tulang tersebut. Para sahabat bertanya: “Adakah orang yang mampu melaksanakan seperti itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kahak yang ada di masjid lalu ditanam ke tanah  dan membuang sesuatu bahaya dari tengah jalan, maka itu bererti suatu sedekah. Tetapi jika tidak mampu melakukan itu semua, cukuplah engkau mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.”  ~ Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.



Salam.

Monday, 5 September 2011

Warkah dari Nur Syawal

Assalamu 'alaikum Bunga Rampai,

Begitu sibuknya saya dengan hambatan pelbagai urusan dunia dan akhirat sehingga lewat menghulur ucap selamat. Benarlah seperti kata-kata almarhum datuk saya bahawa hidup ini adalah suatu perjuangan yang panjang dan berterusan dan kita semua berada di tengah medan pertempuran itu melawan musuh kita (Iblis) sambil memenuhi tuntutan jasadiah dan rohaniah sebagai manusia, seterusnya berkomunikasi dengan manusia lain. Memang suatu tugas berat yang memerlukan keseimbangan dan kita sendiri yang menseimbangkannya. Doa saya semoga kita tidak berputus asa dalam perjuangan ini.


Selamat Hari Raya Aidilfitri minnal aidiwalfaidzin,

NurSyawal 


Salam Aidilfitri 1432H,

maaf zahir dan batin.

Thursday, 25 August 2011

Malam malam terakhir Ramadhan


Kiranya tadi mahu mengira bintang kala ke masjid untuk berterawih namun hujan pula yang turun. Mula-mula boleh dihitung titisnya. Setitis setitis  jatuh di atas atap genting lalu menjadi halwa telinga yang melunakkan rasa hati.

Tiba-tiba mendengus datangnya hujan. Lebatnya! Bergelandanganlah irama jiwa dan berantakan jua hati dengan fikir – pergi atau tidak, tidak atau pergi?.

"Hujan petanda kasihNya untuk manusia." 

Aaah, redah aje dong!!!  

Sesampai di masjid hujan pun pergi.

Suara Imam menggantikan suara hujan. Mendayu-dayu dan yakin sekali suaranya pada malam-malam terakhir Ramadhan ini. Merayu dan memohon keampunan dari Rabb Yang Satu. Kusyu'. Amat menusuk nubari. Pedih hati ini  menyambut keluhannya. Aduhai,  rebah sujud jua jiwa yang mendengar Qunutnya. Sebaknya dada … dan akhirnya berderai jua si air mata.


Salam.

Sunday, 31 July 2011

Kita dan Hari-hari

“Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.” ~ Dr. Maza

Benar, kita hanyalah bilangan hari. Setiap tahun kita akan kehilangan 365 hari, dan hilangnya tidak berganti. Bermakna, semakin usia bertambah semakin berkuranganlah jumlah hari yang akan kita jalani. Apabila bilangan hari tinggal satu hari sahaja lagi, maka yang ada dalam hari tersebut hanyalah  putaran jam yang melepaskan minit kemudian apabila saat terakhir berdetik, kita pun tiada lagi di dunia ini. Lucutlah segala pangkat dan kuasa. Hilanglah harta dan kemewahan yang dimiliki. Tinggal cuma nama yang disebut dan dikenang.

Hari-hari yang telah pergi itu bukan untuk diratapi tetapi untuk diinsafi dan ditaubati. Hari yang sedang kita lalui sekarang inilah yang perlu kita ratapi kerana kita dikelilingi oleh hutang-piutang yang perlu dilangsaikan hari ini juga! Mendesah resahlah pada hari ini kerana hutang-hutang amal ibadah kita kepadaNya. Gusar dan risaulah hari ini kerana hutang-hutang amal kebajikan kita kepada manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Bersegeralah melangsaikan hutang-hutang itu. Usah berlengah. Jangan bernanti-nanti kerana mati itu sentiasa menanti tetapi tidak akan bertangguh!

Molek juga kita bertanyakan diri – siapa kita di mata Allah pada hari ini dan di manakah bermukimnya kita nanti di negeri akhirat? Cantikkah kita di mata Allah di sepanjang hidup kita di dunia yang fana ini dan berbahagiakah kita nanti di dunia hakiki? – kemudian carilah jawapan kepada soalan-soalan itu. Sebenarnya Allah telah pun memberikan jawapan kepada soalan-soalan itu di hadapan kita pada setiap detik waktu berlalu melalui pelbagai peristiwa yang terjadi di sekitar kita, namun kita sahaja yang lupa akan hal itu dek keasyikan kita menghias diri supaya kelihatan cantik, tampan, dan hebat di mata manusia!

Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling indah untuk kita semua. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Renungkan cahaya bintang, bulan dan mentari. Fikirkan kepelbagaian jenis flora dan fauna yang melata sepelosok dunia. Segalanya dipermudahkanNya untuk kita. Cumanya sebagai manusia yang lemah kita sering alpa dan terlepas pandang akan nikmat-nikmat anugerah Allah Subhana Wata’ala itu. Kita gembira dengan kebaikan yang datang dan bersedih apabila ditimpa musibah, walhal kedua-duanya  bernikmat dan berhikmah. Kedua-duanya adalah ujian ke atas keimanan kita. Kedua-duanya adalah kaedah yang digunakanNya untuk berhubung dengan kita. Subhanallah! Amatlah beruntungnya manusia yang mendapat perhatianNya sebegitu rupa! Bersyukurlah dengan apa yang kita lalui pada hari ini. 

Indahkanlah diri pada hari ini dengan hiasan dan perhiasan taqwa. Jauhi perbuatan melampau, bersederhanalah dalam setiap perbuatan, dan usah membuat kerosakan di atas muka bumi ini – yang demikian Insyallah hari esok akan tersenyum menyambut kita dan kita juga akan menguntum senyum  setiap kali kita mengenang hari ini. Taqwa adalah bekalan kita bertemu Pencipta dan  mudah-mudahan dengan perhiasan taqwa itu kita ditempatkan di dalam Liqa Allah.

 “Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan imanku ini di dalam pemeliharaanMu. Maka imanku itu semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.”


Salam Ramadhan,
1432H

Monday, 25 July 2011

Hingga ke hembusan nafas terakhir: Belajarlah.

Dalam kelas bimbingan BM pagi semalam.

"Cikgu, betul tak ejaan 'wonderful' 'ni?"

Ejaannya:  'one the fool.'

Bina ayat dengan menggunakan perkataan 'terkial-kial'.

Jawapan:  Kaki Ali terkial-kial selepas makan rambutan.

Beri maksud peribahasa 'bagai menatang minyak yang penuh'.

Jawapan: "Ayah saya kata minyak mahal sekarang cikgu sebab tu dia naik motor pergi kerja, tak naik kereta dah."

Berbaur rasa sebenarnya mendengar jawapan-jawapan sedemikian dari murid-murid darjah lima itu. Apa yang terluah hanyalah sebuah senyuman yang mewakili rasa nak tergelak, rasa kecewa, rasa sedih, dan rasa kasihan. Tidak mengapa mereka membuat kesilapan kerana lazimnya itulah proses pembelajaran yang harus dilalui oleh setiap kanak-kanak. Demikian kata hati ini memujuk sedikit rasa suram yang bertandang seketika.

Kata Pak Ustaz: "Kehidupan ini adalah tentang belajar dan mencari ilmu kerana tidak semua perkara manusia tahu, dan sebenarnya semakin manusia berilmu semakin banyak perkara yang tidak diketahuinya. Semakin banyak ilmu yang ditimba semakin tidak pandai dan semakin kehausan ilmu seseorang itu - maka itulah manusia seharusnya tunduk malu, bukan mendabek angkuh kerana walau bergulung-gulung ijazah yang diterimanya,  ilmunya itu hanyalah sekadar terapung-apung di permukaan air berbanding  ilmuNya yang seluas dan sedalam lautan. Oleh itu, carilah ilmuNya hingga ke hembusan nafas terakhir kerana ilmu itulah yang akan membawa manusia selamat kembali kepadaNya."



Salam.

Sunday, 24 July 2011

Kosong

yang ada
alun nafas, hanya
bersyair rindu di liku kasih
menanti musim berganti

yang ada

degup jantung, cuma
menari lesu di rimbun sepi
menunggu waktu pulang


Salam.

Thursday, 14 July 2011

Melukis mimpi, mengejar bayang

"Lama benar menghilang?" Tanya Bang Lope. Saya tersenyum.
"Syaaban dah datang berlenggang lenggok." Katanya lagi. Comel sungguh ayat itu membuat saya ketawa kecil sambil cuba membayangkan gaya lenggang-lenggok Syaaban itu. Macam lenggang kangkung barangkali, atau lenggang Mak Limah? Atau lenggok Mak Dara? :-P

Benar, lama menghilang kerana mencari diri yang hilang. Maka mengembaralah saya ke sana sini di dunia nyata mencari diri yang hilang itu -  membelah awan, meredah hutan, mendaki bukit, menyusur sungai seadanya. Cuma dasar laut saja tidak diselami dek ketiadaan lesen
scuba diving. Kalaulah ada lesen menyelam, alangkah seronok menjadi ikan duyung dan berkawan-kawan dengan penghuni dasar laut yang aneh-aneh tapi sangat cantik menawan.

"Pandai ye melukis mimpi dalam cahaya rembulan?" Lagi kata Bang lope membuat hati saya bagai dirimbuni sejuta haruman bunga-bungaan di taman sari.


Sebenarnya kala mengembara itu, saya juga sempat berangan-angan mahu belajar melukis supaya saya dapat mempamerkan isi hati yang tak terungkap dek kata-kata. Malangnya saya tidak pun sempat belajar melukis kerana asyik mengejar bayang-bayang sendiri.  Sejauh mana pun dikejar, bayang-bayang itu tetap tak tertangkap!
Silap matakah atau silap langkah? Silap langkah kata si Miyah semasa kami makan-makan durian di dusun Pak Lang.

 "Kak Rampai suka jadi apa ... jadi bayang-bayang, layang-layang atau jadi buih?" Terbeliak mata saya ditanya begitu kerana kepada saya soalan itu punya pengertian yang sangat dalam. Saya harap dia main-main bertanya tapi katanya dia sangat serius. Aduuuh, durian tembaga yang lemak sedap yang sedang saya nikmati sepenuh hati pun tiba-tiba menjadi tawar!
Oh, sangat perlu merujuk Pak Lang!

Layang-layang kalau putus tali akan terbang melayang tanpa arah tujuan - akan punahlah ia dan jatuhnya entah di mana-mana. Begitulah manusia, tanpa pedoman hidup tidak berertilah sebuah kehidupan itu. Buih? Banyak saja bilangannya tapi ringan dan mudah pecah. Bayangkanlah jika manusia menjadi seperti buih - lemah dan berkecai jadinya ummah. Lebih mencabar mengejar bayang-bayang kerana selagi bayang-bayang ada selama itulah kita menyembah DIA.
Haa? Mulut saya terlopong! Mujurlah tidak dimasuki lalat-lalat yang sedang terbang-terbang gembira di sekeliling kami.

Kalau begitu, molek benar mengejar bayang-bayang walau dalam samar cahaya lampu neon dan dalam terik pijar mentari. Namun dalam kilau cahaya rembulan saya tidak mahu mengejar bayang - saya mahu melukis mimpi dengan warna-warna ilham yang kalis waktu dan ampuh menjunjung nur atma sepanjang nafas masih bernyawa.


Bukan mudah melukis mimpi sebenarnya apa tah lagi dalam cahaya rembulan. Ada pungguk merenung, ada bintang memagar, ada angin berlagu, ada pepohon mendesir, ada samudera bekocak  - semua itu bisa meluntur warna figura  sebuah lukisan mimpi.



Salam.

Monday, 11 July 2011

Malam


Aduhai, malam malam begini pun masih ada samar bayang yang merapuh rasa di pinggir mata ...  masih ada sepoi bisikan yang menduga rindu di kejauhan sanubari. Payah, payah benar melerai rasa rasa yang begitu ...


Malam
buai aku
dengan belai anginmu
hingga kulelap
lalu melukis mimpi
dalam cahaya rembulanmu


... molek juga, malam malam begini menjurus jiwa mengingati kata kata Pak Lang: "DIA menjadikan langit dan bumi serta malam dan siang dengan sungguh layak dan berhikmat."


Salam.