Sunday, 31 July 2011

Kita dan Hari-hari

“Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.” ~ Dr. Maza

Benar, kita hanyalah bilangan hari. Setiap tahun kita akan kehilangan 365 hari, dan hilangnya tidak berganti. Bermakna, semakin usia bertambah semakin berkuranganlah jumlah hari yang akan kita jalani. Apabila bilangan hari tinggal satu hari sahaja lagi, maka yang ada dalam hari tersebut hanyalah  putaran jam yang melepaskan minit kemudian apabila saat terakhir berdetik, kita pun tiada lagi di dunia ini. Lucutlah segala pangkat dan kuasa. Hilanglah harta dan kemewahan yang dimiliki. Tinggal cuma nama yang disebut dan dikenang.

Hari-hari yang telah pergi itu bukan untuk diratapi tetapi untuk diinsafi dan ditaubati. Hari yang sedang kita lalui sekarang inilah yang perlu kita ratapi kerana kita dikelilingi oleh hutang-piutang yang perlu dilangsaikan hari ini juga! Mendesah resahlah pada hari ini kerana hutang-hutang amal ibadah kita kepadaNya. Gusar dan risaulah hari ini kerana hutang-hutang amal kebajikan kita kepada manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Bersegeralah melangsaikan hutang-hutang itu. Usah berlengah. Jangan bernanti-nanti kerana mati itu sentiasa menanti tetapi tidak akan bertangguh!

Molek juga kita bertanyakan diri – siapa kita di mata Allah pada hari ini dan di manakah bermukimnya kita nanti di negeri akhirat? Cantikkah kita di mata Allah di sepanjang hidup kita di dunia yang fana ini dan berbahagiakah kita nanti di dunia hakiki? – kemudian carilah jawapan kepada soalan-soalan itu. Sebenarnya Allah telah pun memberikan jawapan kepada soalan-soalan itu di hadapan kita pada setiap detik waktu berlalu melalui pelbagai peristiwa yang terjadi di sekitar kita, namun kita sahaja yang lupa akan hal itu dek keasyikan kita menghias diri supaya kelihatan cantik, tampan, dan hebat di mata manusia!

Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling indah untuk kita semua. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Renungkan cahaya bintang, bulan dan mentari. Fikirkan kepelbagaian jenis flora dan fauna yang melata sepelosok dunia. Segalanya dipermudahkanNya untuk kita. Cumanya sebagai manusia yang lemah kita sering alpa dan terlepas pandang akan nikmat-nikmat anugerah Allah Subhana Wata’ala itu. Kita gembira dengan kebaikan yang datang dan bersedih apabila ditimpa musibah, walhal kedua-duanya  bernikmat dan berhikmah. Kedua-duanya adalah ujian ke atas keimanan kita. Kedua-duanya adalah kaedah yang digunakanNya untuk berhubung dengan kita. Subhanallah! Amatlah beruntungnya manusia yang mendapat perhatianNya sebegitu rupa! Bersyukurlah dengan apa yang kita lalui pada hari ini. 

Indahkanlah diri pada hari ini dengan hiasan dan perhiasan taqwa. Jauhi perbuatan melampau, bersederhanalah dalam setiap perbuatan, dan usah membuat kerosakan di atas muka bumi ini – yang demikian Insyallah hari esok akan tersenyum menyambut kita dan kita juga akan menguntum senyum  setiap kali kita mengenang hari ini. Taqwa adalah bekalan kita bertemu Pencipta dan  mudah-mudahan dengan perhiasan taqwa itu kita ditempatkan di dalam Liqa Allah.

 “Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan imanku ini di dalam pemeliharaanMu. Maka imanku itu semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.”


Salam Ramadhan,
1432H

19 comments:

Pa'chik said...

amiiinn...
samat beramadhan...

SHIMI said...

Salam Ramadhan.
Moga kita semua dilimpahi keberkahan dan memperolehi kemuliaannya

Bunga Rampai said...

Pa'chik, Mudah-mudahan ibadah Ramadhan kita diterimaNya dengan penuh kasih sayang.

SHIMI, Amiin.

serimaya said...

Salam Bunga Rampai,
Moga kita adalah antara mereka yang sentiasa mendapat hidayahNya apatah lagi di Ramadahan yang mulia ini.

Pegawai Khalwat said...

Benar/Siddiq

Ku Keng said...

Saya menumpang mengucapkan Ramadhan Karim kepada semua.

Maaf kerana menumpang ya!

= Ku Keng +

Bunga Rampai said...

Serimaya, salam kembali. Amiin. Ramadhan adalah bulan untuk kerja lebih masa ;)

Bro PK, moga perjalananmu sentiasa di dalam kebenaran.

Bro Keng, Wah, ada tetamu yang memeranjatkan saya! Salam Ramadhan.

Rumah sedang diubahsuai ke? :P

Mudah-mudahan selesai menumpang di sini, Bro Keng kembali berblog seperti dulu-dulu. Kami menanti.

Suka Bebel said...

sedap dan benar kata kata Dr. Maza tu, skarang ni masa semakin pantas berlalu. tah bila masa untuk kita dipanggil olehNYA, kita tak akan tahu. Bersedia atau tidak, giliran kita pasti tiba :)

Salam Ramadhan Cik Bunga, semoga Ramadhan ini yang terbaik dan akan berkesempatan pada Ramadhan seterusnya (^_*)

Ordinary Superhero said...

Salam Ramadhan Mubarak. Wah, dah banyak update rupanya.

Bunga Rampai said...

Suka Bebel, maka itu kita KENA bersedia dari saat ini untuk menghadapinya, kerana tiada sesiapapun yang dapat menolong kita di hari pengadilan kecuali amal-amal baik kita.

Salam Ramadhan juga buat Beb :)
Amiin untuk doa itu.

OSH, salam Ramadhan kembali. Sementara bebas dari tugasan dan agak rajin juga, maka saya pun menyibukkan diri di sini ;)

acidzn said...

Bunga. Sekadar berkongsi.
Andai kita dikreditkan setiap hari sebanyak RM86,400.00 dan perlu dihabiskan keseluruhannya dalam masa sehari, kerana keesokan harinya, wang itu akan ditambah semula menjadi RM86,400.00 tanpa mengira baki yang tinggal. Pasti, kita tak akan meninggalkan baki walau sesen, bukan? Pasti majoritinya begitu.
Nah, sekarang gantikan setiap RM tersebut dengan setiap saat hidup kita. 86,400 saat dalam sehari. Pastinya, kita akan lebih menghargai setiap detik nafas kita, bukan?
Salam Ramadhan.

Mak Su said...

kadang2 saya sedih hingga terbit sesalan akan hari2 yang berlalu..... :(

anyway, selamat berpuasa :)

Bunga Rampai said...

acidzn, salam Ramadhan dan terima kasih sudi berkongsi. Menghargainya. Apa yang terlintas di benak saya selesai membaca komen itu ialah: Demi Masa!

Mak Su, usah sedih, ceria-ceria selalu kerana ... sesal sekarang pendapatan :)

Anonymous said...

Salam Bunga, u're not my clerk, u're my great writer. :)

Bunga Rampai said...

Bang Lope, oh me ... *blush*! Hmm, dah dinaikkan pangkat rupanya dan harap diberi bonus raya nanti! :P

KepadaNya jua kita kembalikan segala pujian. Salam :)

Unknown said...

Selamat berpuasa Rampai, mai sini ikut orang mati dua tahun hidup balik, ha ha

Bunga Rampai said...

Kak Has, hehehe ... kelakar! Selamat berpuasa juga buat Kak Has... dah pun masuk minggu ketiga. Alahai, cepatnya hari berlalu ...

fahana_ann said...

sangat menyentuh hati..trima kasih

Bunga Rampai said...

Fahana_ann, moga Dia merahmati jiwa halusmu itu.

Kingbinjai, ya Rabbal alamin.