Monday, 9 August 2010

Yang pulang. Yang tinggal. Yang datang Ramadhan.

Yang pulang Mak Melah.
Inna Lillah wa Inna Ilaihi Raji'un.
Mudah-mudahan tenang di sana dan berada di dalam Liqa Allah.
Al-Fatihah.

Yang tinggal kita. Pulang kita entah bila namun pulang itu tetap. Jalannya sudahpun tersedia dan kita sedang berjalan di atas jalan itu. Jalan yang lurus, bersih dan indah. Cumanya, manusia saja yang pandai-pandai membuat jalan itu bersimpang, berbengkok, beralun, berkerikil dan penuh semak-samun. Begitulah, yang tinggal akan terus diuji keimanannya sehingga saat waktu pulang.

Yang datang Ramadhan, purnama yang tidak pernah  melupakan manusia dengan membawa rahmatNya yang tidak terhingga, juga membawa pesanNya. Datangnya menyuruh manusia membersih dan mensucikan diri. Hadirnya mendidik manusia untuk bersabar dan beristighfar. Tibanya untuk membimbing manusia agar berakhlak cantik . Datangnya untuk mengingatkan manusia supaya saling kasih-mengasihi. Ramadhan hadirnya sekejap, maka itu hidupkanlah ia di kalbu kita dan semarakkan rasa cinta yang paling kudus untuk Laylatul Qadar.

“Subhanallah, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku kembalikan rasa syukur kepadaMu Ya Allah di atas kemurahan rahmatMu mengalirkan cahaya RamadhanMu yang menjadi nikmat kepada batinku. Sesungguhnya setiap saat dalam Ramadhan ini aku merasa cukup hampir denganMu.

Engkaulah cahaya jika aku dalam kegelapan kerana Engkau sentiasa memberikan petunjukMu. Hanya kerana aku manusia yang dhaif ini sering alpa, maka seringkali aku kehilangan arah walaupun petunjukMu melintas di hadapanku; dan ketika hatiku penuh dengan pelbagai soalan, Kau sentiasa menjawab setiap pertanyaan dan kemusykilan hatiku dengan wajahMu yang berseri-seri.

Ya Allah, Engkau terlalu baik kepadaku, dan ucap syukurku terlalu remeh untuk segala kebaikan yang telah Engkau berikan. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Allah Hu Ya Allah.”

Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Sambil-sambil berbuka dengan juadah yang berselerak di atas meja, janganlah lupa kepada mereka yang berselerak tanpa meja dan juadah.

Salam Ramadhan.
1431H

Wednesday, 4 August 2010

Mid, jangan butakan hati kau!

Pagi yang tenang tiba-tiba menjadi kecoh.

"Aku nak mati! Aku nak mati!" Jerit Mid mengongoi-ngongoi sambil kedua-dua tangannya memukul-mukul bantal di atas riba yang mulai lencun dek air mata yang menjurai turun dari sepasang matanya yang kian sembab.

"Nak mati kat mana dan 'camana? Terjun dari tingkat 10? Digelek keretapi? Minum racun?" Balas Ria dalam nada geram. Mukanya cengih.

Soalan itu menghentikan seketika tangisan Mid. Tidak disangkanya sama sekali Ria yang selama ini berlembut tidak pernah jemu membujuk dan menasihatinya mampu mencetuskan soalan-soalan sebegitu.

"Tapi kalau nak mati pun bukan kat sini, okey! Pergi jauh-jauh. Pi Jepun, pi Korea! Paling tidak pi Pulau Ketam." Lagi saranan dari Ria. Bisa lantunan suaranya yang tinggi meletuskan tangisan Mid yang lebih kuat.

Kebosanan Ria melayan Mid sudah melampaui kesabarannya. Dulu masa Mid putus cinta kali pertama, dialah yang memujuk dan menasihati. Mid akur. Kali kedua putus cinta pun Mid menurut kata-kata nasihatnya. Namun kali ini entah apa yang merasuk hati dan fikirannya sehinggakan dia mahu mati!

"Cinta ... Mid ... indah dirasa jiwa kala ia mekar. Merosak kalbu 'pabila ia dicemar. Cinta hanya akan tenang bila cinta sesama manusia itu dihadirkan bersama cinta Tuhan. Cinta Tuhan mengharumkan jiwa sepanjang masa walau cinta kau dengan lelaki putus di tengan jalan. Jangan butakan hati kau Mid ... hanya kerana putus cinta."

"Heh, aku sedang merana ni tau! Yang hang berpuitis tu apa kes? Kuno sungguh hang eh!"

Ria faham benar, kalau Mid sudah mula ber'hang-hang' tandanya dia tidak perlu lagi dilayan. Harus ditinggalkan sendirian.

"Well, tak da kes yang lebih parah selain melihat hang yang lemah hati."

"Aku nak mati! Tak guna hidup lagi!"

"Rugi kalau kau mati sekarang. Kau tak nak kawin? Kau tak nak rasa macam mana mengandung tu? Kau tak nak jadi ibu? Kau tak nak bertaubat sebelum mati?"

Mid terus mengongoi. Kedua-dua telinganya ditutup dengan telapak tangannya. Kata-kata Ria itu bagaikan letupan bom yang meleburkan hatinya yang sedia retak.

"Mengucap Mid. Mengucap. Tuhan masih sayangkan kau. Ada yang lebih baik dari dia yang Tuhan sediakan untuk kau. Jangan butakan hati kau hanya kerana putus cinta. Tuhan benci pada orang-orang yang berputus asa."

Tangisan Mid tidak juga reda-reda. Sekejap mengongoi sekejap berjela panjang. Ria meninggalkannya sendirian. Lambat-laun tenanglah hatinya, mudah-mudahan. Bisik hati Ria.

 
Salam.

Thursday, 29 July 2010

Maine Coon vs Gelang Mas

Lewat petang tadi di sebuah kedai kucing:

Cucu: Nek, nek tengok anak kucing ni! Comelkan?
Nenek: Memang comel, comel sangat.

Cucu: Kucing nilah yang Ayi suka ... baka Maine Coon ni nek. Nanti nak minta abah belikan untuk birthday present Ayi.

Nenek: Berapa harga?
Cucu: Ni nek. (sambil menunjukkan tanda harga)

Nenek: Haaa, enam ratus?
Cucu: Lebih murah dari kucing Parsi nek!

Nenek: Kalau neneklah, lebih baik beli gelang mas ... pakai kat tangan ... cantiiik!. Kalau beli kucing ni ... heh, dahlah mahal ... nanti berak merata!

Cucu: Kena trainlah nek, train kucing berak kat bekas pasir dia.
Nenek: Tren ke tak tren ke sama je ... mahal! Beli gelang mas lagi baik!


Salam.

Friday, 23 July 2010

Cinta Sama Cinta

Kamal namanya si tukang potong rumput dari Bangladesh yang sudah setahun mengambil upah memotong rumput di halaman rumah. Punya majikan tapi hujung-hujung minggu dia bebas mencari upah di tempat lain. Ceria orangnya. Hensem lagi segak. Berambut ikal hitam. Ada sedikit iras Hritik Roshan. Kalau ketawa, giginya yang putih menyerlah mampu melupakan orang kepada kulitnya yang agak gelap.

Petang Ahad lalu datangnya berwajah sugul. Kerjanya perlahan. Potongan rumputnya tidak sekemas seperti selalu-selalu. Saya tidak puas hati dengan kerjanya. Dia meminta maaf.

Alasannya, dia dilanda masalah peribadi. Isterinya mengandung 3 bulan. Saya terkejut. "Aik, bila kamu kahwin? ... Tak bagi tau pun!"

"Akaak, minta maaflah. Saya kahwin sendiri-sendiri. Panggil itu Tok Kadi datang rumah bagi kawin. Kenduri kicik-kiciklah. Itu kawan-kawan saja datang." Senyuman tipisnya menyirnakan sedikit kesugulan di wajahnya.

Ucapan tahniah dari saya disambut dengan air mata! Alamak, kenapa ni? Tanya hati kepingin sangat tahu. "Nangis apa pasal? Tak happykah?." Saya cuba-cuba merisik rahsia tangisannya.

"Akaak, isteri saya Cambodia mari. Juga kerja sini ... kerja kilang. Dia sudah habis kontrak dan mau pulang Cambodia lagi 3 hari. Saya tak boleh ikut."

"Kenapa tak boleh ikut?" Err, babak menyibuk-nyibuk bermula!

"Passport saya juga sudah mau mati lagi 3 hari. Permit kerja pun sudah mau habis. Saya kena pulang Bangladesh dulu, lusa. Mau renew itu paspot baru boleh pigi Cambodia. Tapi saya tak ada cukup wang renew itu passport. Beli tiket kapal terbang pigi Cambodia juga tak ada cukup wang. Kena kerja dulu kumpul wang."

"Berapa lama kerja baru boleh bayar itu semua?" Aiseymaaan, menyibuknya cik akaak!

"Tak taulah akaak. Tapi saya cinta dia ... dia cinta saya. Cinta sama cinta. Dia juga sudah nangis-nangis selalu. Mudah-mudahan semua okey. Doakan saya akaak."

Ya, mudah-mudahan jodoh mereka kekal selamanya dan berbahagia jua.


Salam.

Tuesday, 20 July 2010

Tenang

Seriau sungguh 'pabila memikirkan tentang masa yang datang perginya bagaikan kilat. Rasanya baru sebentar tadi embun masih membasahi bumi, alih-alih kelihatan mentari sudahpun mengengsot mendaki langit. Kemudian nanti senja pula akan menyusul dan mentari perlahan-lahan meredup dan akhirnya tunduk berkasih dengan warna senja yang bakal mengilhamkan sunyi malam yang entah nanti berbulan bintang entah tidak. Alangkah antara siang dengan malam ada ruang lompang yang tercipta untuk manusia menghimpun bicara kehidupannya pada setiap saat selama masih bernafas. Mudah-mudahan segala himpunan bicara itu adalah yang molek-molek belaka dan dijadikan bekal dalam perjalanan pulang ke negeri asal.

Alahai, lama nian tidak melukis rasa di teratak ini. Kalau bukan kerana suatu petang yang damai di anjung Promenade minggu lalu sambil minum-minum teh - sambil melihat mentari menjatuhkan cahaya peraknya ke atas permukaan air lalu membentuk bulatan berkilau melingkari pulau kecil itu (oh, cantiknya!), barangkali teratak ini terus sepi. Antara hirupan teh dan kunyahan kuih ketayap petang itu, terselit pesanan Uncle Deen yang mengocak fikir.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Banyak perkara yang mahu diubah oleh manusia tetapi ia tetap tidak berubah, dan banyak hal yang tidak mahu diubah tapi ia tetap saja berubah. Begitulah kehidupan ini yang sukar dijangka namun pada jiwa-jiwa yang tenang, pergolakan dalam kehidupan umpama cubitan sayang dari seorang ibu sebagai peringatan, pantas menyedar dan menginsafkan. Mudah-mudahan ada saja panduan yang dapat kita kutip dari sela-sela peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan yang singkat ini lalu dijadikan pedoman dalam meraih ketenangan jiwa.

Jiwa yang tenang senang melahirkan senyuman dan kata-kata ikhlas. Begitu kata Uncle Deen. Senyuman yang lahir dari jiwa yang tenang merupakan sedekah, manakala kata-kata yang terbit dari hati nurani yang tulus adalah doa. "Wahai jiwa-jiwa yang tenang," demikian yang selalu disebutNya. Benarlah, ketenangan jiwa sesungguhnya adalah hiasan peribadi yang cukup indah yang dilampiaskan melalui perlakuan yang berhemah. Semua itu adalah buah dari bunga-bunga yang terlebih dahulu mekar mengharum dalam ketenangan dari taman jiwa yang dirapi bersih. Mudah-mudahan dipermudahkanNya untuk kita memiliki ketenangan jiwa.


Salam.

Monday, 10 May 2010

Mana dapat tu Kak Mon?

:bulan retak seribu.


*dari kiriman e-mel


Salam.

Sunday, 9 May 2010

Untukmu Mama

:Mei, kala fajar menyingsing.

untukmu mama
mawar putih berseri
yang tidak pernah layu

sari wangi di sukma
mengharum kasih sejati
untukmu mama


~ BR


*Dalam kealpaan kita (anak-anak), hati ibu sering terguris dek tutur kata kita kepadanya. Berhati-hatilah: bermanis wajah, bersopan kata, dan berlembut suara ketika bertutur dengan ibu. Sejuk hati ibu menyejuk kasih dan restunya untuk kita.


Salam Hari Ibu.

Sunday, 2 May 2010

Adjang

:Februari yang sunyi.

Adjang bertanya bila lagi kami akan datang ke daerah itu. Saya dan Nissa saling berpandangan cuba mencari jawapan pasti. "Februari!" Begitu lantunan suara Nissa yang mengejutkan dan lerai ketawa nakalnya membuat saya menjegilkan mata. Heh, pandai-pandai saja dia menyusun jadual saya!

Sungguh tak diduga, jawapan olok-olok Nissa itu menjadi kenyataan. Ketika orang lain masih sibuk memanah cinta Hari Kekasih, kami sibuk berkasih dengan alam di Maribaya. Namun ketiadaan Adjang kali ini menjadikan Maribaya yang sering dibasahi rintik-rintik air dari langit bagaikan dipancari hangat mentari yang memeluhkan badan. Maribaya yang tanahnya berumputkan bunga-bunga memukau rasa seolah-olah gersang mengeringkan jiwa. Rama-rama menyepi dan kumbang pula entah hilangnya ke mana. Malam nanti, barangkali bulan retak seribu. Aduhai, segalanya menjadi suram tanpa Adjang bersama! Nissa juga merasakannya. Begitu juga Dell.

Tiada siapa yang tahu ke mana perginya Adjang. Kami merinduinya. Rindu pada suaranya yang lunak. Rindu pada kata-katanya yang membuat kami terpinga-pinga. Rindu gelaknya yang sopan.

Kala senja di rumah tumpangan. Tiada yang lebih nyaman selain melayan rasa qalbi di birai jendela sambil melihat air hujan yang berlari-lari di atas atap genting di rumah sebelah yang kemudiannya jatuh disambut senyuman kelopak bunga-bunga di pasu. Alangkah andai Adjang melihat itu, dia pasti akan berkata: "Kelopak bunga itu menyimpan sejuta rahsia wanita," dan perihal hujan: "Hujan membawa rahsia cinta yang paling luhur." Apabila ditanya tentang rahsia-rahsia itu, pesannya: "Rahsia untuk diselongkar. Selongkarlah ia kerana ada nikmat di sebalik penyelongkaran itu."

Adjang seorang pengembara solo yang berkelana di merata daerah. Singgah cuma setahun dua atau tiga di satu-satu daerah mencari untung, kemudian mengembara lagi. Adjang tidak punya tempat tinggal yang tetap. Di mana ada rezeki, di situ dia menetap seketika. Baginya bumi ini sangat luas dirimbuni kalam Tuhan yang sentiasa bercerita dan mengajar manusia. Rugilah katanya jika dia tidak memanfaatkan usia mudanya untuk mengembara dan membaca kalamNya yang sedia terhidang di depannya.

Adjang hanyalah seorang supir. Namun apa perlu dikira akan darjat seseorang kerana kepadaNya yang membezakan manusia ialah isi hatinya. Semoga Adjang sentiasa di dalam rahmat dan lindunganNya.


Salam.

Monday, 26 April 2010

Sekadar Bunga Biasa

:redup November.

Kata Adjang, bulan November bukanlah waktu yang sesuai untuk ke Tangkuban Perahu kerana sering hujan, cuaca lebih sejuk dan berkabus tebal. "Namun saya harus menghormati kemahuan segolongan manusia yang mahu melihat dengan mata sendiri hal yang aneh-aneh. Pasti keanehan itu bisa saja melahirkan ketakjuban yang memuaskan jiwa dan semoga kepuasan itu melahirkan rasa syukur yang paling tulus." Begitu jelas Adjang sambil matanya tetap saja menekun ke hadapan dan memandu berhati-hati sekali dalam renyai hujan di sepanjang jalan bengkang-bengkok menuju puncak Tangkuban Perahu.

Cerita Adjang, Tangkuban Perahu masyhur kerana lagenda sumpahan Dayang Sumbi ke atas sebuah perahu di puncak gunung yang dibina oleh seorang pemuda yang amat mencintainya. Gunung meletup akibat sumpahan Dayang Sumbi menyebabkan perahu itu terbalik membentuk kawah seperti perahu terbalik. Maka itulah tempat itu dinamakan Tangkuban Perahu, dan kawah yang berisi lahar kuning masih membebaskan bau belerang hingga kini. “Kononnya Dayang Sumbi tidak pernah tua-tua, sentiasa cantik, dan dia menjadi kegilaan para pria Bandung. Kamu tidak kepingin menjadi seperti Dayang Sumbi yang sentiasa muda jelita?” Tanya Adjang.

“Oh, tidak! Saya tidak mahu menjadi berhala hidup yang dipuji dan dipuja. Biarlah saya sekadar bunga biasa yang pastinya perlahan-lahan akan layu dan tiba saatnya gugur lalu bersatu dengan tanah.”
.
.
.

Umat Islam tidak memuja dan menyembah berhala tetapi ramai yang tidak sedar bahawa berhala wujud dalam kalangan kaum Muslimin, cuma bentuknya berlainan. Berhala itu berada di dalam diri manusia, dan namanya Ego Manusia. Ramai yang mengusung berhala dalam diri mereka, dan tunduk patuh kepadanya. Mereka berkejar-kejaran menurut perintahnya untuk menjadi mewah, ternama, berpangkat, dan berkuasa; malahan ada yang sanggup melakukan apa saja walaupun di luar sempadan hukum dan peraturan agama sehingga lupa kepada tujuan sebenar kehidupan di dunia ini iaitu mencari keredhaan Ilahi. Wallahu'alam.


Salam.

Monday, 19 April 2010

Cermin

:dari hujan Disember ke suria April,

kamukah yang tersenyum
melihat cermin
atau
cermin yang menangis
melihat kamu?


Salam.

Friday, 18 December 2009

Edelweiss

Pastinya di sana musim tengkujuh, tulis Edelweiss dalam warkahnya semalam. Di sini dinginnya sudah mulai menyucuk tulang. Pokok-pokok juga semakin bertelanjang dan tidak lama lagi mereka akan tidur berselimutkan salji. Aah, musim berubah lagi untuk kesekian kali, cuma apa yang diharapkan dari salji yang gugur pada musim ini ialah salji itu tidak berupaya membekukan janji-janji hati yang telah dirapi kemas selama empat musim lalu.

Sungguh, warkahnya kali ini amat berlainan dari yang lepas-lepas. Namun dalam ketegasan nada tulisannya, masih ada kelembutan bicara yang telah menamukan rasa dengan kenangan ...

Edelweiss, Edelweiss. Kepingin sekali menyelongkar apa yang bersembunyi di sebalik namanya. Namun sejuk angin bandar Tampere pada penghujung musim panas ketika itu seolah-olah telah mendinginkan kemahuan untuk berbual-bual dengannya sehinggalah pada suatu sore.

Dia ketawa. Semua sangkaan yang diberi salah katanya. Dia bukan berasal dari Austria, tidak juga Switzerland. Namanya bukan kerana lagu Edelweiss dari filem The Sound of Music walau ibunya menggemari filem itu. Dia anak kelahiran kota Helsinki dan bermukim seketika di Tampere hingga tamat kuliah sarjananya. Nama Edelweiss adalah pilihan neneknya yang sangat menyukai bunga edelweiss yang juga digelar The Immortal Flower. Kata neneknya: edelweiss bunga yang unik, putih kecil molek; walau wanginya tidak semerbak, daya tahannya tinggi walau dalam cuaca yang melampau. Neneknya mahu Edelweiss mewarisi ciri-ciri bunga edelweiss.

edelweiss (Jerman): edel = mulia, weiss = putih


Bukan senang menjadi seperti edelweiss, kata Edelweiss. Seorang Edelweiss hanya anggun pada nama namun hakikatnya hati suram dan lompang; naluri berkerawang; jiwa meronta mencari sesuatu yang entah apa. Dia bertanya, “Bagaimana mengisi kekosongan ini?”

.
.
.

Seperti yang sudah diatur sedemikian rupa, musim pun pergi lagi. Bunga edelweiss masih tumbuh melata bumi, dan Edelweiss masih terus mengisi ruang lompang di hatinya dengan menghayati ciri-ciri dan kehidupan edelweiss. Apa pun musim yang telah pergi, nyata musim-musim itu telah berjaya menyerikan hati dan menerbitkan rasa kasih kepada sesuatu yang dicarinya itu. Bersandarkan rasa kasih itu, dia melakukan satu pengorbanan - Edelweiss bakal bernama Nur Edelweiss pada musim bunga akan datang. Pilihan dan keputusannya ini mendapat restu daripada neneknya. Subhanallah.


Salam Ma'al Hijrah 1431.

*imej dari google

Wednesday, 11 November 2009

Angin Timur : Angin Barat

Bertemankan hembusan angin yang masuk ke ruang tamu pada petang yang juga dihiasi renyai hujan sesungguhnya amat mendamaikan rasa. Apa tah lagi goreng pisang panas dan sekole Nescafe yang sedia ada di sisi dapat saja mengilhamkan beraneka macam angan-angan dan impian di kamar fikir. Namun sudah direncanakan lebih awal, apa pun cuaca petang ini, bab terakhir novel East Wind : West Wind (Pearl S.Buck) mesti dibaca hingga ke penghujungnya. Walaupun ini kali kedua membacanya, novel ini seperti juga beberapa novel sejarah dan kembara James A. Michener dan novel-novel jiwa Paulo Coelho tidak pernah membosankan walau diulang baca dua tiga kali.

Pertama kali membaca East Wind : West Wind pada usia remaja sesungguhnya telah menyemarakkan keinginan mengembara merentas benua dan budaya untuk mencari diri dan mengenal Tuhan melalui KalamNya yang berbagai bentuk, gaya, dan ragam.

Cool is the autumn wind,
Clear is the autumn moon.
The dead leaves fall and scatter again;
A raven, frost smitten, starts from the tree.
Where are you beloved?
Shall I meet you once more?
Ah ... my heart weeps tonight –
I am alone!


Demikian petikan puisi dari novel tersebut. Begitulah curahan rasa insan yang intim dengan rasa alaminya. Cinta boleh saja membuat jiwa kalut dan hati bergelandangan, dan membikin degup jantung sering tidak keruan. Namun dalam keindahan dan taklukan cinta, manusia sering terperangkap dalam debat emosi dan akalnya sehingggakan ada waktu-waktunya debat itu menjadi penggoda diri yang sukar diingkari lantas garis pemisah antara emosi dengan akal lenyap ditelan oleh nafsu Syaitan.

Cinta adalah ujianNya ke atas tahap keimanan manusia yang tersembunyi di dalamnya ujian kebahagiaan dan musibah. Gagal ujian kebahagiaan menjadikan manusia lupa diri manakala gagal ujian musibah menjadikan manusia berputus asa. Titik tolak menuju kejayaan kedua-duanya ialah sabar dan redha. Itulah alat digunapakai untuk mencapai kejayaan iman duniawi dan ukhrawi.

* Deru angin semakin lantang. Mata pula semakin deras membaca. Goreng pisang sudah lama dihabiskan dan tegukan terakhir Nescafe menandakan selesailah novel East Wind : West Wind dibaca. Buku ditutup kemudian mata dipejamkan sambil benak cuba-cuba membayangkan apa yang berlaku di luar sana tatkala angin sudah mulai beraksi bangga: pepohon bergoyangan; keruing beterbangan entah ke mana; spora-spora terlepas tanpa rela; dan ibu burung pulang ke sarang melindungi anak-anaknya. Daun-daun dan bunga-bunga pun turut berguguran berserakan di atas tanah. Aduhai, rapuhnya kehidupan ini!

Kehidupan ini tidaklah serapuh yang kita fikirkan kerana Dia telah memberi ruang kepada setiap manusia untuk membuat pilihan sama ada mahu atau tidak mahu meneguhkan kehidupannya. Tuhan telah membuka seluas-luas pintu perubahan untuk manusia berubah, terpulanglah kepada manusia sama ada mahu berubah atau tidak. Tidak sia-sia Dia menganugerahkan akal kepada manusia kerana dengan akal manusia dapat berfikir untuk membuat perbezaan dan memilih yang terbaik untuk kebaikan dirinya juga.

Mengimbau kembali cerita seorang Ustaz tentang pengalamannya semasa kecil di kampung mengenai datuknya yang bersolat sunat dua rakaat setiap kali selepas berkebun - apabila ditanya solat sunat apa dan mengapa? Jawabnya: “Solat Sunat Taubat. Entah-entah ada cacing yang mati terkena cangkul Atuk, atau barangkali Atuk juga telah mengganggu rumah hidupan dalam tanah termasuklah akar-akar pokok yang terputus akibat cangkulan Atuk. Atuk meminta keampunan Tuhan. Kita manusia sebenarnya selalu sangat mengotorkan baju sendiri, maka kita kenalah pula sentiasa rajin membasuh sendiri kotoran itu dengan ikhlas dan redha. Ingatlah, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

** Di luar kilat memanah dan guruh berdentum sambut bersambut. Angin mengganas. Sejurus hujan mencurah-curah melanda bumi. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Oh, sangat mengecutkan hati!

Tanyalah Tuhan mengapa angin mengganas dan hujan meruntuhkan bukit.

Pinggir Kota,
7/11/2009



Salam.

Monday, 2 November 2009

Anugerah








Hidup dan kehidupan ini adalah satu anugerah yang paling berharga buat manusia kerana didalamnya ada puluhan juta lagi hadiah berharga yang Dia telah sediakan untuk kita.

*hutan Kinabalu,
September 2009.



Salam.