Sunday, 31 August 2014

Generasi merdeka

Mobile comes. Camera gone.
Mobile comes. Wrist watch gone.
Mobiles comes. Radio gone.
Mobile comes. MP3 gone.
Mobile comes. Calculator gone.
Mobile comes. Computer gone.
Mobile comes. Peace of mind gone.
OMG! Phones getting smarter and people getting mental.

Itu puisi atau apakah gerangan? Apa-apalah asal awak tidak sakit mental, jawab kawan yang mengirimnya. 


Albert Einstein pula berkata: "I fear the day that technology will supress our human interaction. The world will have a generation of idiots."

Tidak perlu bagi contoh di sini. Di luar sana segalanya nyata di hadapan mata. Manusia menjadi hamba kepada telefon bimbit dan seumpamanya. Usahkan budak-budak tadika, kanak-kanak 2 tahun yang masih pakai lampin pun bijak menggunakan iPad. Inilah generasi baru - generasi merdeka!


Salam Hari Kemerdekaan ke 57.


Wednesday, 27 August 2014

Dalam senggang waktu yang celik

Hidup ini kadang-kadang aneh – ya, ada hal yang menganehkan yang  menjadikan kita terkesima, membuat kita berfikir,  mengajak kita mengelamun jauh, dan kadang-kadang membuat kita lesu berjurus lamanya. Namun ada satu perkara yang tidak akan pernah aneh dalam hidup ini – perkara mati. Mati  tidak aneh kerana tibanya mesti dan berlakunya pasti. Tidak cepat walau sesaat dan tidak lambat walau sedetik pun.  Setiap manusia yang hidup akan mengalami kematian.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang - orang bertaubat)"  - Surah al Mulk, ayat 2.

Sesungguhnya hidup ini sentiasa berhadapan dengan mati.  Seiringnya manusia seharusnya juga sentiasa bersiap siaga untuk mati di mana pun berada dan pada usia apa pun. Namun manusia yang fitrahnya sering lalai dan suka membantah menjadikan mati itu sekadar perkataan yang menjadi hiasan mulut  dan halwa telinga tanpa rasa gusar dan takut.

Dalam senggang waktu yang celik, manusia sewajarnya mencari  saat matinya. Dalam jaga. Ketika berdiri. Waktu duduk. Semasa berbaring. Waima dalam tidur yang kusyuk. Maka usah sibuk bertanya matinya kita bila tetapi bersibuklah dengan urusan ukhrawi  kala nafas masih kuat dihela hembus. Jadikan setiap beban musibah sebagai asbab keinsafan, bukan berputus asa. Mudah-mudahan keinsafan itu menyemarakkan kebaikan dalam diri.

Dalam duka lara, kelangsungan hidup perlu diteruskan. Jadikan keinsafan teraju kehidupan yang mencetus tanggungjawab – hablumminallah dan hablumminannas. Andai tak terpikul bahu menunaikan  kewajipan itu, istiqamahlah dengan doa untuk kesejahteraan dunia yang semakin uzur ini - dunia yang diamanahkanNya kepada umat manusia untuk menjaganya. Jangan nanti terkelu lidah untuk menjawab tentang amanah itu pada hari pengadilan kelak.  Wallahua’lam.


**MH17 dan MH370 dalam ingatan dan menjadi peringatan untuk terus tunduk kepada Maha Pencipta.


Salam.

Saturday, 9 August 2014

Salam Eid al-Mubarak

Ucapan Hari Raya ini yang paling bermakna pernah saya terima. Bergeming jiwa seketika dibuatnya. Jiwa meredup malu pada Khaliq. Siapakah saya di sisiNya sesudah Ramadhan?



Hari Raya adalah hari kemenangan melawan nafsu. Hari keluarnya kita dari Madrasah Ramadhan dengan mendapat keampunan serta menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Renungi sejenak kata-kata Imam Hasan al-Basri rhm: "Setiap hari yang tidak berlaku maksiat terhadap Allah, itulah Hari Raya."

Pesan ulama salaf al-saleh: 

"Bukanlah Hari Raya itu orang memakai baju baru (semata-mata) tetapi maksud Hari Raya adalah orang yang bertambah keimanannya."

"Bukanlah Hari Raya itu bagi orang yang memperindahkan kereta dan rumah-rumah (sahaja), tetapi Hari Raya adalah bagi seseorang yang diampunkan dosanya."

Salam Eid al-Mubarak.
Mohon maaf zahir dan batin.



Salam Aidilfitri 1435H


Friday, 16 May 2014

Angin bertiup lunak di Little Gilbert Street

Untuk mendapatkan iman, payah sekali. Mempertahankannya jauh lebih payah. Namun mengisi iman yang sedia ada, ternyata, itulah yang sebenarnya paling sukar.

Dalam perjalanan mengisi iman, berjela keluhan yang merintih, berbuih mulut menyoal, berpeluh dahi mempertikaikan pengisian itu. Ada sahaja yang dipersalahkan. Kononnya ibu bapa kurang mendidik; kemiskinan mencantas kemahuan; kesibukan merajai waktu. Begitu dasar manusia yang sering terburu-buru, mendustakan nikmat, dan suka membantah. Astaghfirullah.

Mudahnya manusia menuding ibu bapa, menyesal kerana kemiskinan, dan berang kerana  sempitnya waktu. Iman tidak mengenal itu semua. Iman hanya mengenal jiwa yang reda.

Sudah lebih 1400 tahun Manual Kehidupan iaitu Kitab Al-Quran dibentangkan di hadapan manusia. Terpulang,  sama ada kita mahu menelitinya atau tidak. Mahu belajar  darinya atau tidak. Patuh kepada perintah suruhan dan laranganNya atau ingkar kepada ayat ayat keteranganNya. Pilihan dan keputusan di tangan kita. Mahukan Jannah atau Jahannam. Pilihlah dengan akal yang waras. Subhanallah.

Lapangkan hati. Celikkan mata. Kehidupan ini besar maknanya. Di celah-celah kegembiraan dan musibah yang bertandang di sepanjang perjalanan kehidupan nan fana ini, banyak pengajaran yang dapat dikutip untuk mengisi dan memperkasakan iman. Bergunung ilmu yang boleh dibawa ke alam baqa. 

Iman bukan warisan. Iman perlu dicari dan digali sepenuh jiwa jika mahu memilikinya. Lalu apa perlu kita buat? Belajar! Belajar dari sesama manusia. Belajar dari alam fauna dan flora. Belajar dari isi langit dan bumi. Kita sentiasa akan kaya jiwa jika istiqamah menggali ilmu walaupun kita miskin rupa dan harta. Insyallah.

**Demikian ringkasan sembang-sembang kami di laman masjid lewat waktu Asar – saya dan entah siapa gadis orang putih itu kerana kami sama-sama lupa bertanyakan nama masing-masing sebab kami terhanyut dalam sebuah muzakarah yang sangat santai dan mengasyikkan dalam waktu yang sangat singkat. Alhamdulillah, kelunakan tiupan angin di pertengahan musim luruh di Little Gilbert Street amat mendamaikan rasa.


  Adelaide City Mosque, Adelaide South AustraliaAdelaide City Mosque, Adelaide South Australia
Imej Google  [gambar yg saya rakam tak secantik ini :-)]

Adelaide City Mosque,
South Australia.
~ April 2014

Salam.

Saturday, 1 March 2014

Tudung lilit-lilit

Gaya tudung yang dipakai belit-belit atas kepala amat menarik perhatian. Ada tudung bercorak. Ada yang tanpa corak satu warna. Ada yang dwi atau triwarna. Gandingan warna pula bermacam. 

Perempuan-perempuan yang memakai tudung belit-belit itu kelihatan sangat cantik dan anggun menawan. 

Saya hairan bagaimana mereka boleh lilit-lilit begitu. Teringin pula mahu mencuba.

Saya pun mencuba sendiri belit-belitkan tudung di kepala. Belit - buka. Lilit - buka. Alahai, tidak menjadi! Rasa macam nak tercekik adalah. 

Ternyata kemahiran melilit tudung dalam masa yang minima amat penting agar tudung lilit-lilit dan si pemakainya kelihatan kemas. 



Salam.

Friday, 14 February 2014

Apabila hati tersentuh.

Sudah lama benar kami tidak bertemu. Menunggu suara di hujung talian pun bagai mengharap bulan jatuh ke riba layaknya. Apatah lagi e-mel, hanya alamatnya sahaja yang tersimpan rapi sekian lama namun tuannya hilang ke mana, tiada yang tahu.

Barangkali kemarau yang semakin panjang ini membawa pesan kepada hati-hati yang gersang dan kontang supaya mencari teduhan di bawah langit membiru. Siapa tahu mega mendung kan bergumpal jua lalu menggugurkan gerimis di relung hati.

Empat tahun bukanlah satu tempoh waktu yang singkat. Ia satu masa yang panjang untuk menyingkap cerita-cerita nan silam. Tentang impian yang sudah luntur. Tentang  punah cinta di perbatasan setia. Tentang perca-perca jiwa yang lerai. Tentang terangnya cahaya yang kian pudar.

Di sela-sela kesibukan rupa-rupanya masih ada waktu yang menanti untuk satu pertemuan yang tidak dirancang petang semalam. Lantas waktu terlalu mahal untuk dilepaskan terbang begitu sahaja. Walau hanya secangkir teh panas, ia sudah cukup untuk menghangatkan sebuah persahabatan yang hampir hilang dimakan waktu.

Kenapa, tanya dia. Hati ini tersangat hiba apabila mendengar laungan azan. Mengapa, hati ini sangat sayu kala mendengar bacaan Quran. Kenapa hati ini sebak lantas menitikkan air mata ketika bicara agama dihujahkan. ‘Kenapa dan mengapa’ yang diluahkannya terlalu banyak untuk diungkapkan di sini.

Itu tandanya Dia mendekati kamu, jawab saya. Memujuk lembut dan menghamparkan rahmat hidayahNya di hati kamu. Pujukan itu terlalu lembut sehinggakan hati kamu bisa tersentuh dan kamu dapat menggenggam hidayah itu. Kamu adalah pilihanNya. Bersyukurlah.

Sepintas lalu. Teringat pesan Pak Guru: “Adalah menjadi tanggungjawab setiap Muslim lelaki dan perempuan (walaupun perempuan dalam keadaan uzur) untuk mengajak dan mengajar melafaz Syahadah dalam kadar segera kepada yang belum Islam yang sudah bersedia untuk memeluk agama Islam – usah bertangguh. Sesudah itu barulah membawanya ke pihak yang berwajib untuk urusan selanjutnya.”

Apabila hati tersentuh kerana sentuhanNya, jiwa akan tunduk redha. Tiada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mampu menghalang sebuah penghijrahan. Mudah-mudahan hidayahNya abadi di hati Jannah Lo.


Salam.

Thursday, 9 January 2014

Saat paling indah.

Melonjak macam budak-budak lalu berteriak “Yessssss!” Begitu yang dilakukan oleh seorang kawan. Katanya itulah saat paling indah dalam hidupnya kerana akhirnya dia putus cinta dengan buah hatinya.

Lain pula cerita seorang wanita yang pernah saya temui di klinik haiwan tempoh hari.  Sebuah bilik di apartmentnya dihuni oleh 25 ekor kucing kesayangannya. Bilik itu di pasang pendingin udara lagi sedangkan biliknya sendiri berkipas sahaja. Saat paling indahnya ialah ketika melihat kucing-kucing itu makan dengan lahapnya, dan sewaktu mereka mengerumuninya meminta untuk dibelai.

Rencamnya kehidupan ini dek kerencaman perangai manusia itu sendiri. Seperti kata Kate kepada saya semalam: “Perangai manusia yang pelbagai itulah yang mengindah dan memburukkan kehidupan ini; dengan alat akal anugerah Ilahi itulah manusia memilih untuk berperangai elok atau jahat. Walau perangai buruk adalah bawaan semula jadi, saya percaya dengan akal manusia boleh mengubah perangai buruk itu menjadi baik.” Kate seorang non-Muslim berhujah seperti seorang Muslim yang berakal di kepala dan hati. Sangat mengujakan!

Apakah saat paling indah dalam hidup kamu?

Saya memikirkan tentang Rabiatul Adawiyah, wanita sufi dan zuhud itu. Sepanjang hidupnya adalah saat paling indahnya kerana dia sentiasa dilamun cinta. Siang dan malamnya dihabiskan dalam keasyikan cinta sepenuh jiwa dan raganya. Air matanya tidak pernah kering dek cinta dan rindunya yang tidak berkesudahan. Sedikit masa terluangnya yang ada tidak pernah kosong. Ada sahaja bait-bait munajatnya yang terluah untuk Kekasihnya:

Wahai diriku
Berapa lama engkau tidur?
Sampai bilakah engkau terlena?
Waktu yang dijanjikan sudah sangat dekat
Waktu yang engkau terpaksa tidurkan
Hingga dibangkitkan pada hari kiamat.

Berbantalkan bunga rampai lalu terbuai asyik dalam harumannya sedang cindai menyelimuti lena yang panjang ~ itulah saat paling indah yang saya impikan. Namun di sela-sela impian itu sering muncul kehebatan cinta Rabiatul Adawiyah menjadikan saya sangat malu kepadaNya.


Salam 2014 Masehi.

Sunday, 15 December 2013

Emak

Minggu lalu.

Sungguh tidak beretika perempuan manis lagi cantik itu. Mentang-mentanglah telefon tangan boleh dibawa ke sana sini dengan mudah, santai dan bergaya, dan boleh diguna di mana-mana sahaja - dia ingat dia boleh bercakap ikut suka hati dia macam hospital itu emak bapa dia yang punya. Cakap kuat-kuat boleh. Tinggikan suara boleh. Marah-marah juga boleh.  Mujurlah dia tidak mencarut atau menyepak-nyepak kerusi.

Semua orang memandangnya dengan pandangan yang menimbulkan bermacam-macam jenis kerutan di wajah mereka. Jika disatukan pandangan-pandangan itu maka ia boleh dikategorikan sebagai pandangan maut. Betapa perempuan itu telah menyakiti hati ramai orang pada pagi yang damai itu.

~ “… kata ambik ubat jer… kenapa mak tak bagi tau awal-awal lagi ada appointment hari ni…kan dah menyusahkan Noi…tak kan Noi kena balik ambik mak pulak!…Tak kan Noi nak kena ambik cuti pula!…Cuti pun dah habis…aduuuuh…isyyy mak nih!” Dia tutup telefon.

Kasihan emak dia. Semoga Dia membelai pujuk hatinya yang remuk.

Kasihan lagi kepada perempuan manis cantik itu. Dia lupa, kalau di dunia dia tidak disumpah emaknya, di akhirat nanti mungkin rentunglah dia. Mudah-mudahan Dia memberi petunjuk kepadanya sebelum ibunya meninggalkan dunia ini.

Kasihan diri ini juga, ke hospital untuk menjalani annual medical check-up dalam keadaan sihat walafiat tetapi pulangnya membawa pilu yang meruntun hati. 

Peringatan: “Do not use the sharpness of your speech on the mother who taught you how to speak” Imam Ali (as)


Salam.


Wednesday, 11 December 2013

11.12.13

Kopi hitam belum lagi disentuh bibirnya. Tentunya panas kerana baru dihidang. Aroma kopi itu tidak dapat saya jelaskan sama ada ia menusuk hidung atau menikam qalbu kerana saya bukan penggemar kopi. Namun kawan saya ini pencinta kopi. Sebaik sahaja kopi berada di depannya, dia terus memejamkan mata kemudian perlahan lahan hidungnya menghidu aroma kopi itu dalam dalam. Pejam matanya memancarkan semacam  kemanjaan dan keindahan pada wajahnya. Saya kira saat itu cinta kopi sudah menusuk masuk ke dalam jiwa lantas menikam qalbunya. "Aaah...Alhamdulillah." Katanya antara kedengaran dengan tidak. Ya, dia jatuh cinta lagi kepada kopi hitam dan entah untuk ke berapa ratus kali.

Ada apa dengan 11.12.13?” Tanya dia sesudah kopi diminum seteguk.

Jawab saya: “Hanya angka yang saya suka urutannya … and another beautiful day to live. Alhamdulillah.”


Salam.

Tuesday, 5 November 2013

Ilham

Ada tugasan yang membuat hati sedikit berjerebu menjadikan benak berdebu. Berjurus lamanya mencorak cara untuk menggapai ilham dari kejauhan rasa yang memendam tekad - namun nihil. Hanya yang ada - langit sedikit mendung dan senyuman lelah sang mentari melalaikan mata pada hari yang sudah melangit tinggi perginya. Kucing kucing jalanan pun sudah beristirihat di mana mana. Gagak menyepi di pinggir pekan. Kelopak bunga menunduk letih walau dilayur mentari nan lemah. Segalanya nampak pudar. Sepudar ilham yang samar samar merecup di ranjang fikir kemudian hilang. Hilang bersama jingga mentari di kaki bukit.

Hari semakin menjauh mengheret siang kepada kelam malam. Hati pula meleret gundah. Tugasan masih terbentang. Harapan patah terlentang. Tidak! DIA tidak suka kepada orang orang yang berputus asa. Noktah.

Ayuh kita ke alam maya pujuk Pakcik Gugel. Mudah mudahan terlintas ilham di hati kamu. Mengembaralah diri. Singgah di taman sana singgah di teratak sini. Tiada yang menambat rasa. Tiada ilham bertandang.  Lalu hati mencari titik perhentian. Nah, ketika itulah terpaut mata pada yang ini:

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"  (Al-An’am: 32)

Ya, wajar difikirkan masak masak tentang kehidupan dunia. Jadilah pengemis di dunia, pesan guru, kelak kamu tersenarai sebagai ahli Jannah di akhirat.

Itu rentetan cerita semalam. Hari ini sudah 1 Muharam 1435 Hijrah.

Tugasan masih belum selesai. Moga saja hati nan berjerebu tidak kelabu. Langit mendung tidak membendung duka dan sang mentari kembali tersenyum manja. Mudah mudahan terbit ilham lalu bermukim pada tempatnya. Subhanallah.


Salam Maal Hijrah 1435.

Tuesday, 1 October 2013

Cinta

1400 tahun hanya sekelip mata
berjuta langkah cuma di persada kata
di penghujung rindu ada setia
kudus dalam belaian usia ...

looking at my life
I see that only love
has been my soul's companion
from deep inside
my soul cries out:
do not wait, surrender
for the sake of Love

~ Rumi

Monday, 19 August 2013

Berapakah harga ke Syurga?

Pada suatu hari seorang warga emas ingin menggunakan tandas awam di sebuah mall di ibu kota. Apabila memasuki tandas, seorang lelaki penjaga tandas menegurnya, "Pakcik, bayarlah dulu sebelum masuk."

Mendengarkan teguran pemuda itu, air matanya pun berlinangan keluar dari matanya. Penjaga tandas itu terkejut lalu berkata, "Pakcik, kalau pakcik tak ada duit untuk membayar... masuklah secara percuma, janganlah menangis hanya kerana hal kecil ini."

Jawab warga emas, "Pakcik menangis bukan kerana tiada duit tetapi pakcik terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki... bagaimana pula dengan Syurga Allah? Berapakah bayaran yang harus pakcik sediakan untuk masuk ke dalamnya?"


Salam.

Thursday, 15 August 2013

Rabaa al-Adawiya

Hari ini 8 Syawal. Bermakna hari ini hari ke lapan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1434H. Bermakna juga sekalian umat Islam di Malaysia masih menjamu selera dengan  sajian makanan yang serba enak; dan masih menjamu minda dengan lambakan hiburan di kaca tivi yang seakan akan tidak pernah akan habis sehinggalah Syawal berakhir. Seronoknya kita. Mewahnya kita dengan makanan dan hiburan. Kalau boleh mahu saja kita bercuti raya selama sebulan.

Dalam keseronokan berhari raya, apakah yang ada di minda kita sebenarnya? Ingatkah kita kepada umat Islam lain yang berserakan dan merempat tanpa makanan? Ingatkah kita kepada saudara saudara kita yang sedang ditindas tanpa batasan lalu dihalau keluar dari negeri sendiri? Ingatkah kita kepada saudara saudara kita yang pada ketika saya menulis ini sedang dibunuh dengan kejam sekali?

Janganlah sekadar ber ‘ooohh’ dan ber ‘aaahh’ lalu marah apabila melihat angka angka korban yang dihebahkan tanpa sedikit pun rasa kasih kepada mereka yang terkorban. Janganlah kobaran amarah kita itu sekadar semaraknya hanya di dalam hati. Lakukanlah sesuatu untuk membantu!

Alangkah baiknya kita berhenti seketika dari melayan keseronokan berhari raya, atau melayan gosip gosip artis, atau melayan umpat umpatan si polan itu dan si polan ini. Mari kita sama sama memberi tumpuan kepada musibah yang melanda saudara saudara Islam kita di seluruh dunia. 

Ayuh kita bangkit menentang kezaliman ke atas umat Islam di Mesir, Syria, Palestin, dan Myanmar dengan cara yang termampu oleh kita. Kalau kemampuan kita hanya BERDOA, maka berdoalah dengan IKHLAS dan SEPENUH HATI keranaNYA demi mempertahankan agama Tauhid.

Lakukan sekarang dengan yakin. Bantulah saudara saudara Islam kita. Jangan sampai Allah murka kerana kita tidak ada hujah untuk mempertahankan diri ketika disoal di akhirat kelak. Wallahu’alam.

                                                   
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

* Syawal nan pilu.