Friday, 16 May 2014

Angin bertiup lunak di Little Gilbert Street

Untuk mendapatkan iman, payah sekali. Mempertahankannya jauh lebih payah. Namun mengisi iman yang sedia ada, ternyata, itulah yang sebenarnya paling sukar.

Dalam perjalanan mengisi iman, berjela keluhan yang merintih, berbuih mulut menyoal, berpeluh dahi mempertikaikan pengisian itu. Ada sahaja yang dipersalahkan. Kononnya ibu bapa kurang mendidik; kemiskinan mencantas kemahuan; kesibukan merajai waktu. Begitu dasar manusia yang sering terburu-buru, mendustakan nikmat, dan suka membantah. Astaghfirullah.

Mudahnya manusia menuding ibu bapa, menyesal kerana kemiskinan, dan berang kerana  sempitnya waktu. Iman tidak mengenal itu semua. Iman hanya mengenal jiwa yang reda.

Sudah lebih 1400 tahun Manual Kehidupan iaitu Kitab Al-Quran dibentangkan di hadapan manusia. Terpulang,  sama ada kita mahu menelitinya atau tidak. Mahu belajar  darinya atau tidak. Patuh kepada perintah suruhan dan laranganNya atau ingkar kepada ayat ayat keteranganNya. Pilihan dan keputusan di tangan kita. Mahukan Jannah atau Jahannam. Pilihlah dengan akal yang waras. Subhanallah.

Lapangkan hati. Celikkan mata. Kehidupan ini besar maknanya. Di celah-celah kegembiraan dan musibah yang bertandang di sepanjang perjalanan kehidupan nan fana ini, banyak pengajaran yang dapat dikutip untuk mengisi dan memperkasakan iman. Bergunung ilmu yang boleh dibawa ke alam baqa. 

Iman bukan warisan. Iman perlu dicari dan digali sepenuh jiwa jika mahu memilikinya. Lalu apa perlu kita buat? Belajar! Belajar dari sesama manusia. Belajar dari alam fauna dan flora. Belajar dari isi langit dan bumi. Kita sentiasa akan kaya jiwa jika istiqamah menggali ilmu walaupun kita miskin rupa dan harta. Insyallah.

**Demikian ringkasan sembang-sembang kami di laman masjid lewat waktu Asar – saya dan entah siapa gadis orang putih itu kerana kami sama-sama lupa bertanyakan nama masing-masing sebab kami terhanyut dalam sebuah muzakarah yang sangat santai dan mengasyikkan dalam waktu yang sangat singkat. Alhamdulillah, kelunakan tiupan angin di pertengahan musim luruh di Little Gilbert Street amat mendamaikan rasa.


  Adelaide City Mosque, Adelaide South AustraliaAdelaide City Mosque, Adelaide South Australia
Imej Google  [gambar yg saya rakam tak secantik ini :-)]

Adelaide City Mosque,
South Australia.
~ April 2014

Salam.

6 comments:

Anonymous said...

Angin di Little Gilbert Street sungguh nyaman barangkali. Bunga mencatatkan sesuatu yang seperti membawa saya menikmatinya.

Bunga Rampai said...

Bang Lope, catatan itu adalah ole-ole, dijadikan halwa jiwa. Alhamdulillah kepada yang menikmatinya.

Nyaman angin sering mencetus ilham. Tak terkecuali angin di Little Gilbert Street :-)

Zariza said...

Oh kenapa entah saya begitu teringatkan 'Little House on The Prairie'!
Apa khabar Rampai? mudah2an sentiasa segar mengharum :)

seri maya said...

Salam Rampai,
Sudah terlalu lama saya tidak singgah diteratak kamu dan mecium harum bunga rampai titipan kamu. Hari ini bagai ada salam dari kejauhan untuk saya singgah disini. Adakala hati yang tidak tenteram meningtkan kita pada sesaorang dan ingin melelapkan seketika cerita yang tidak sudah. Cerita orang dan cerita kita adakala tidak sama, tapi itulah takdir Allah telah ditentuakn buat kita hambaNya.
Seri maya

Bunga Rampai said...

Zariza, Alhamdulillah sihat walafiat adanya. Aamiin untuk doamu itu.

Eh, baru perasan...dah hampir dua bulan tak jengok blog ini :-(

Bunga Rampai said...

FEE KAMAL, salam kembali :)
Nama di hujung nukilan mengingatkan saya kepada blog Seri Maya yang pada suatu ketika hilang dari tatapan namun tetap lekat di hati. Terima kasih atas ingatan dan kunjumgan. Alhamdulillah.

Saya masih di sini. Dalam pantas waktu yang semakin singkat dan ruang masa yang semakin sempit, saya masih mahu bercerita tentang kehidupan ini yang ada waktu waktunya aneh untuk dibiarkan berlalu kosong tanpa ditulis lalu dijadikan kenangan dan pengasuh jiwa.