Sunday, 15 December 2013

Emak

Minggu lalu.

Sungguh tidak beretika perempuan manis lagi cantik itu. Mentang-mentanglah telefon tangan boleh dibawa ke sana sini dengan mudah, santai dan bergaya, dan boleh diguna di mana-mana sahaja - dia ingat dia boleh bercakap ikut suka hati dia macam hospital itu emak bapa dia yang punya. Cakap kuat-kuat boleh. Tinggikan suara boleh. Marah-marah juga boleh.  Mujurlah dia tidak mencarut atau menyepak-nyepak kerusi.

Semua orang memandangnya dengan pandangan yang menimbulkan bermacam-macam jenis kerutan di wajah mereka. Jika disatukan pandangan-pandangan itu maka ia boleh dikategorikan sebagai pandangan maut. Betapa perempuan itu telah menyakiti hati ramai orang pada pagi yang damai itu.

~ “… kata ambik ubat jer… kenapa mak tak bagi tau awal-awal lagi ada appointment hari ni…kan dah menyusahkan Noi…tak kan Noi kena balik ambik mak pulak!…Tak kan Noi nak kena ambik cuti pula!…Cuti pun dah habis…aduuuuh…isyyy mak nih!” Dia tutup telefon.

Kasihan emak dia. Semoga Dia membelai pujuk hatinya yang remuk.

Kasihan lagi kepada perempuan manis cantik itu. Dia lupa, kalau di dunia dia tidak disumpah emaknya, di akhirat nanti mungkin rentunglah dia. Mudah-mudahan Dia memberi petunjuk kepadanya sebelum ibunya meninggalkan dunia ini.

Kasihan diri ini juga, ke hospital untuk menjalani annual medical check-up dalam keadaan sihat walafiat tetapi pulangnya membawa pilu yang meruntun hati. 

Peringatan: “Do not use the sharpness of your speech on the mother who taught you how to speak” Imam Ali (as)


Salam.


6 comments:

julietchun said...

saya sangat takut utk berkasar dengan emak,sebab syurga saya di situ :D

Bunga Rampai said...

Juliet, alhamdulillah ... di dunia dah nampak syurga :)

Zariza said...

Salam Datuk,

Sungguh, perilaku ini memberi peluang kita merenung ke dalam diri serta melihat kebobrokan ini sebagai peringatan agar sifat seumpamanya tidak mendarahdaging dalam diri kita ..Allah!

Oh! Kamu tidak apa-apakah? Risau terdetik di hati saya akan kesihatanmu. Mudah-mudahan Allah mengurniakan afiat yang teguh untukmu, amin.

Bunga Rampai said...

Zariza, salam kembali Datin. Alhamdulillah saya baik baik saja dan sihat adanya. Itu rutin setiap tahun yang perlu dilangsaikan sebelum tibanya tahun baru. Konon-kononnya 'prevention is better then cure' ;-)

Terima kasih atas doamu itu. Aamiin.



Ordinary Superhero said...

Sangat bersimpati dengan perempuan cantik itu. Semoga Tuhan masih beri peluang utk memperbaiki sikap dan akhlak.

Bunga Rampai said...

OSH, Aamiin.