Thursday, 15 August 2013

Rabaa al-Adawiya

Hari ini 8 Syawal. Bermakna hari ini hari ke lapan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1434H. Bermakna juga sekalian umat Islam di Malaysia masih menjamu selera dengan  sajian makanan yang serba enak; dan masih menjamu minda dengan lambakan hiburan di kaca tivi yang seakan akan tidak pernah akan habis sehinggalah Syawal berakhir. Seronoknya kita. Mewahnya kita dengan makanan dan hiburan. Kalau boleh mahu saja kita bercuti raya selama sebulan.

Dalam keseronokan berhari raya, apakah yang ada di minda kita sebenarnya? Ingatkah kita kepada umat Islam lain yang berserakan dan merempat tanpa makanan? Ingatkah kita kepada saudara saudara kita yang sedang ditindas tanpa batasan lalu dihalau keluar dari negeri sendiri? Ingatkah kita kepada saudara saudara kita yang pada ketika saya menulis ini sedang dibunuh dengan kejam sekali?

Janganlah sekadar ber ‘ooohh’ dan ber ‘aaahh’ lalu marah apabila melihat angka angka korban yang dihebahkan tanpa sedikit pun rasa kasih kepada mereka yang terkorban. Janganlah kobaran amarah kita itu sekadar semaraknya hanya di dalam hati. Lakukanlah sesuatu untuk membantu!

Alangkah baiknya kita berhenti seketika dari melayan keseronokan berhari raya, atau melayan gosip gosip artis, atau melayan umpat umpatan si polan itu dan si polan ini. Mari kita sama sama memberi tumpuan kepada musibah yang melanda saudara saudara Islam kita di seluruh dunia. 

Ayuh kita bangkit menentang kezaliman ke atas umat Islam di Mesir, Syria, Palestin, dan Myanmar dengan cara yang termampu oleh kita. Kalau kemampuan kita hanya BERDOA, maka berdoalah dengan IKHLAS dan SEPENUH HATI keranaNYA demi mempertahankan agama Tauhid.

Lakukan sekarang dengan yakin. Bantulah saudara saudara Islam kita. Jangan sampai Allah murka kerana kita tidak ada hujah untuk mempertahankan diri ketika disoal di akhirat kelak. Wallahu’alam.

                                                   
Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

* Syawal nan pilu.


No comments: