“Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.” ~ Dr. Maza
Benar, kita hanyalah bilangan hari. Setiap tahun kita akan kehilangan 365 hari, dan hilangnya tidak berganti. Bermakna, semakin usia bertambah semakin berkuranganlah jumlah hari yang akan kita jalani. Apabila bilangan hari tinggal satu hari sahaja lagi, maka yang ada dalam hari tersebut hanyalah putaran jam yang melepaskan minit kemudian apabila saat terakhir berdetik, kita pun tiada lagi di dunia ini. Lucutlah segala pangkat dan kuasa. Hilanglah harta dan kemewahan yang dimiliki. Tinggal cuma nama yang disebut dan dikenang.
Hari-hari yang telah pergi itu bukan untuk diratapi tetapi untuk diinsafi dan ditaubati. Hari yang sedang kita lalui sekarang inilah yang perlu kita ratapi kerana kita dikelilingi oleh hutang-piutang yang perlu dilangsaikan hari ini juga! Mendesah resahlah pada hari ini kerana hutang-hutang amal ibadah kita kepadaNya. Gusar dan risaulah hari ini kerana hutang-hutang amal kebajikan kita kepada manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Bersegeralah melangsaikan hutang-hutang itu. Usah berlengah. Jangan bernanti-nanti kerana mati itu sentiasa menanti tetapi tidak akan bertangguh!
Molek juga kita bertanyakan diri – siapa kita di mata Allah pada hari ini dan di manakah bermukimnya kita nanti di negeri akhirat? Cantikkah kita di mata Allah di sepanjang hidup kita di dunia yang fana ini dan berbahagiakah kita nanti di dunia hakiki? – kemudian carilah jawapan kepada soalan-soalan itu. Sebenarnya Allah telah pun memberikan jawapan kepada soalan-soalan itu di hadapan kita pada setiap detik waktu berlalu melalui pelbagai peristiwa yang terjadi di sekitar kita, namun kita sahaja yang lupa akan hal itu dek keasyikan kita menghias diri supaya kelihatan cantik, tampan, dan hebat di mata manusia!
Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling indah untuk kita semua. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Renungkan cahaya bintang, bulan dan mentari. Fikirkan kepelbagaian jenis flora dan fauna yang melata sepelosok dunia. Segalanya dipermudahkanNya untuk kita. Cumanya sebagai manusia yang lemah kita sering alpa dan terlepas pandang akan nikmat-nikmat anugerah Allah Subhana Wata’ala itu. Kita gembira dengan kebaikan yang datang dan bersedih apabila ditimpa musibah, walhal kedua-duanya bernikmat dan berhikmah. Kedua-duanya adalah ujian ke atas keimanan kita. Kedua-duanya adalah kaedah yang digunakanNya untuk berhubung dengan kita. Subhanallah! Amatlah beruntungnya manusia yang mendapat perhatianNya sebegitu rupa! Bersyukurlah dengan apa yang kita lalui pada hari ini.
Indahkanlah diri pada hari ini dengan hiasan dan perhiasan taqwa. Jauhi perbuatan melampau, bersederhanalah dalam setiap perbuatan, dan usah membuat kerosakan di atas muka bumi ini – yang demikian Insyallah hari esok akan tersenyum menyambut kita dan kita juga akan menguntum senyum setiap kali kita mengenang hari ini. Taqwa adalah bekalan kita bertemu Pencipta dan mudah-mudahan dengan perhiasan taqwa itu kita ditempatkan di dalam Liqa Allah.
“Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan imanku ini di dalam pemeliharaanMu. Maka imanku itu semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.”
Salam Ramadhan,
1432H
1432H