Thursday, 6 August 2015

Ujian

Hari ini seorang kawan mengirim gambar tudung fesyen terkini. Wow, cantiknya! Instant shawl satu muka dengan kombinasi warna prima dan corak paisley, diperbuat dari kain moscrepe. Nak order? Tanya kawan itu. Hati mulai berperang rasa. Nak ke tak nak? Cukup budget ke tak ni? Perlu ke atau membazir je? Haih, mata dan kehendak sudah tergoda! Rasa-rasa macam nak beli saja. Berapa harga? Tanya saya. Murah je jawab kawan. RM60.00 tak termasuk pos. Mak aiii...adoyaiii! Tak ada yang lebih mahal ke? Gurau saya. Ada. Kata dia. Pergilah ke kedai itu dan ini ujar kawan itu menyebut beberapa jenama yang tersohor. Adeiii, dia perli saya pula!

Batallah hasrat. Tutup kes.

Eh, tiba-tiba terfikir. Alangkah seronoknya jika suatu hari saya dapati ada lebihan dua poin enam billion ringgit Malaysia di dalam akaun bank saya. Derma misterilah kiranya. Masyuuuuk! Tudung RM600.00 pun boleh saya beli.

Ingat. Ujian Allah tidak boleh dibeli dengan duit. Ia mestilah dibeli dengan iman. 


Salam.

Monday, 27 July 2015

Catatan hati di Kampung Sungai Batang

Akhirnya aku sampai juga di sini setelah bertahun-tahun mendamba impian dan menyimpan harap. Impian yang mulai disemai usai membaca novel "Di bawah Lindungan Kaabah" kala usia masih hingusan 13 tahun yang belum pun mengerti kenapa mesti seorang gadis dan seorang pria perlu bercinta. Aku gagahkan juga untuk membacanya kerana perkataan 'Kaabah' yang terpampang di atas kulit buku amat meraih rasa jiwa bagai memanggil-manggil untuk dicerna maknanya. Itu novel cinta pertama yang dibaca dan aku amat menyukai persembahan tulisan pengarangnya. Sejak itulah juga aku mulai merangkak-rangkak mencari cinta Agung.

"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang? Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk? Bagaimana dengan  bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?

Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada ranting yang lapuk. Ada pula bunga  yang telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”
Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana pengorbanan dari yang sakit?" (Sedutan dari buku Kenang-kenangan Hidup yang memaparkan sebahagian dari pemikiran Hamka).

Nah, dengan pemikiran seperti itu, mana mungkin aku tidak mahu meneladaninya biar pun aku ini terus-terusan dalam kepedihan mengemis cinta. Sungguh, mengagungkan Cinta harus ditebus dengan duka lara.


19 Feb 2015
Rumah Hamka,
Kg. Sungai Batang, 
Maninjau, Sumatera Barat.


Salam Syawal 1436

Saturday, 20 June 2015

Mahu jadi Kiambang

Terfikir juga kadang-kadang, mahu menjadi Kiambang. Andai menjadi Kiambang, terfikir pula, adakah rasa jiwa dan renung mata itu sama dengan apa yang dirasa dan direnung oleh BR. Memang payah untuk mendapat jawapannya kecuali BR benar-benar sudah berubah menjadi Kiambang.

Kiambang tenang terapung di atas air. Ia tersenyum sesekali disentuh bayu sambil bergoyang lirih ke kanan dan ke kiri. Ia bagaikan tidak punya apa-apa masalah yang perlu digusari. Seronoknya! Melihat kiambang membuat hati tenang, menarik angan-angan menerawang jauuuh ke langit tujuh.

Menjadi Kiambang cumalah satu lintasan yang menyelinap ke dalam hati, namun tidak semestinya dilayan dengan gah. Apa lagi di bulan Ramadhan ini. Anggap saja lintasan itu satu mainan rasa ketika perut sedang berkeroncong.


Salam Ramadhan 2015.

Monday, 30 March 2015

Belum tentu esok milik kita

*Anak muda itu tidak pernah solat sejak baligh. Orang-orang di rumahnya pun tidak peduli tentang solat. Setelah berbual panjang, dia menangis. Dia berjanji akan menelefon usai solat zohornya - solat pertamanya setelah sekian lama meninggalkan kewajipan itu. Ketika bersemuka dia menangis lagi. Air mata insaf katanya.

**Tengahari. Insyallah kata kakak itu, esok dia akan sembahyang. Hari ini ujarnya ia terlalu letih untuk beribadat kerana menahan sakit perutnya. Malam - dia kembali kepada Rabbnya.
.
.
.
Esok pasti ada namun belum tentu esok milik kita.

Ya Rabb, jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang baik amal ibadah dan amal kebajikannya. Aamiin.

HKL, 
28 Mac 2015


Salam.

Friday, 27 March 2015

Hasrat yang tidak kesampaian

Bukanlah siapa-siapa saya ini yang mahu sekali bertemu dan berbicara dengan seseorang yang luar biasa akhlaknya. Sekadar punya nama yang biasa-biasa dari golongan yang kehidupannya juga biasa-biasa, dengan pekerjaan yang biasa-biasa, tentunya tiada sesuatu yang luar biasa yang menarik untuk dijadikan tamunya. Namun hasrat hati adalah milik mutlak diri. Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih. Maka tidak ada ruginya andai daya yang ada pada diri digunakan sebaiknya untuk meraih manfaat, apa tah lagi hasrat itu telah sekian lama dipendam merentang waktu yang semakin rapuh usianya.

Sebenarnya. Menggunung hasrat di hati ini mahu bertemu dan berbicara dengan seorang yang sangat dihormati kerana tawadhuknya - TGNA. Lalu diri berusaha mencari jalan supaya hasrat hati tercapai dan mengharapkan pertemuan itu dapat dilaksanakan pada April nanti.

Suatu malam di awal Februari tersebar berita TG telah kembali kepada Khaliq. Perasaan hati ini tiba-tiba menjadi luar biasa sedihnya - lalu bertanyalah diri kenapa air mata tumpah mengiringi pemergiannya sedang diri tidak pun pernah bertemu dan berbicara dengan al-marhum. "Air mata itu bukan kerana tidak menerima takdir. Sedih kerana gedung ilmu pergi bersamanya." Yang benar, itulah sebagaimana yang disuarakan oleh seorang mentor. Semoga al-marhum ditempatkan bersama para solihin yang mulia di sisiNya. Aamiin.

Syukurlah ada Asmaul Husna - dengan namaMu aku hidup - buku hasil tulisan al-marhum menjadi teman bual.

Salam.

Saturday, 14 March 2015

Masih di sini

Awal Januari yang lalu, bukan main lagi hati berazam mahu rajin-rajin menulis. Seperti dulu-dulu. Sekarang sudah Mac dan suku pertama tahun ini juga semakin hampir dinoktah. Namun tiada juga upaya menulis. Mulut bungkam. Benak beku. Jari-jemari kaku. Mujur bunga hati masih mekar mengharum di tangkainya.

Lain dulu lain sekarang. Dulu berlari-lari menulis. Sekarang bertateh-tateh menulis pun bukan main payah. Walau sekadar mahu melaporkan angan-angan dalam tiga ayat pun ya ampuuun … susahnya bukan kepalang.

Malasnya tidak. Barangkali usia yang semakin pendek dan kehidupan yang menjanjikan satu kematian membuatkan diri sering menunda waktu untuk menzahirkan rasa di teratak kecil ini. Lagi, banyak kehidupan di luar teratak ini yang masih belum diterokai dan amat perlu diterokai. Ada waktu lumayan, iya, hasil penerokaan itu boleh saja ditulis di sini.

Permudahkan Ya Rabb segalanya bagiku.


Salam.

Monday, 10 November 2014

Sekadar renungan buat diri


Jangan tertipu
dengan usia MUDA
karena syarat mati
TIDAK harus TUA

Jangan terpedaya
dengan tubuh yang SIHAT
kerena syarat mati
TIDAK mesti SAKIT

Jangan terpedaya
dengan harta kekayaan
sebab
Si Kaya pun tidak pernah
menyiapkan kain kafan
buat dirinya
meski cuma selembar

Mari terus berbuat BAIK
berniat untuk BAIK
berkata yang BAIK-BAIK
memberi nasihat yang BAIK
meskipun tidak banyak orang yang mengenalimu
dan
tidak suka dengan nasihatmu

Cukuplah ALLAH yang mengenalimu
daripada orang lain

Jadilah bagai jantung yang tidak terlihat
tetapi terus berdenyut
setiap saat
hingga kita terus dapat hidup
berkarya dan menebar manfaat
bagi sekeliling kita
sampai diberhentikan
oleh NYA

Oh Diri

"Waktu yang kusesali adalah 
jika pagi hingga matahari terbenam
Amalku tidak bertambah sedikitpun
padahal aku tahu saat ini
umurku berkurang."

(Ibnu Mas'ud r.a)


Salam.


Thursday, 25 September 2014

Cinta umpama bulan

Bulan penuh gemerlap cahaya. Melihatnya hati senang, umpama ada seribu bunga mewangi rasa. Membuai hayal seketika. 

Kadang-kadang bulan muncul bertabir mega. Tersipu-sipu untuk bercantik-cantik di sebalik awan. Hati melihatnya turut rasa sangsi. Adakah ia benar malu atau ada sesuatu yang cuba disembunyikannya?

Walau bulan sabit, ia tetap cantik dan menawan.
Gerhana bulan pula menggelap bumi membawa secebis misteri dari berjuta misteri Alam.

Cinta umpama bulan, kata Miyah tanpa melihat wajah kawannya ini. Dia merenung kopi hitamnya dengan mata layu. Kenapa? Tanya kawannya ini dengan mata terkebil-kebil melihat betapa tidak kelakarnya dia petang itu. Lama sekali dia merenung kopi di dalam kole. Tiada jawapan. Diamnya lama.

Barangkali cintanya sudah menjadi seperti bulan gerhana menggelap dunia hatinya. Aduhai.


Salam.

Sunday, 31 August 2014

Generasi merdeka

Mobile comes. Camera gone.
Mobile comes. Wrist watch gone.
Mobiles comes. Radio gone.
Mobile comes. MP3 gone.
Mobile comes. Calculator gone.
Mobile comes. Computer gone.
Mobile comes. Peace of mind gone.
OMG! Phones getting smarter and people getting mental.

Itu puisi atau apakah gerangan? Apa-apalah asal awak tidak sakit mental, jawab kawan yang mengirimnya. 


Albert Einstein pula berkata: "I fear the day that technology will supress our human interaction. The world will have a generation of idiots."

Tidak perlu bagi contoh di sini. Di luar sana segalanya nyata di hadapan mata. Manusia menjadi hamba kepada telefon bimbit dan seumpamanya. Usahkan budak-budak tadika, kanak-kanak 2 tahun yang masih pakai lampin pun bijak menggunakan iPad. Inilah generasi baru - generasi merdeka!


Salam Hari Kemerdekaan ke 57.


Wednesday, 27 August 2014

Dalam senggang waktu yang celik

Hidup ini kadang-kadang aneh – ya, ada hal yang menganehkan yang  menjadikan kita terkesima, membuat kita berfikir,  mengajak kita mengelamun jauh, dan kadang-kadang membuat kita lesu berjurus lamanya. Namun ada satu perkara yang tidak akan pernah aneh dalam hidup ini – perkara mati. Mati  tidak aneh kerana tibanya mesti dan berlakunya pasti. Tidak cepat walau sesaat dan tidak lambat walau sedetik pun.  Setiap manusia yang hidup akan mengalami kematian.

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang - orang bertaubat)"  - Surah al Mulk, ayat 2.

Sesungguhnya hidup ini sentiasa berhadapan dengan mati.  Seiringnya manusia seharusnya juga sentiasa bersiap siaga untuk mati di mana pun berada dan pada usia apa pun. Namun manusia yang fitrahnya sering lalai dan suka membantah menjadikan mati itu sekadar perkataan yang menjadi hiasan mulut  dan halwa telinga tanpa rasa gusar dan takut.

Dalam senggang waktu yang celik, manusia sewajarnya mencari  saat matinya. Dalam jaga. Ketika berdiri. Waktu duduk. Semasa berbaring. Waima dalam tidur yang kusyuk. Maka usah sibuk bertanya matinya kita bila tetapi bersibuklah dengan urusan ukhrawi  kala nafas masih kuat dihela hembus. Jadikan setiap beban musibah sebagai asbab keinsafan, bukan berputus asa. Mudah-mudahan keinsafan itu menyemarakkan kebaikan dalam diri.

Dalam duka lara, kelangsungan hidup perlu diteruskan. Jadikan keinsafan teraju kehidupan yang mencetus tanggungjawab – hablumminallah dan hablumminannas. Andai tak terpikul bahu menunaikan  kewajipan itu, istiqamahlah dengan doa untuk kesejahteraan dunia yang semakin uzur ini - dunia yang diamanahkanNya kepada umat manusia untuk menjaganya. Jangan nanti terkelu lidah untuk menjawab tentang amanah itu pada hari pengadilan kelak.  Wallahua’lam.


**MH17 dan MH370 dalam ingatan dan menjadi peringatan untuk terus tunduk kepada Maha Pencipta.


Salam.

Saturday, 9 August 2014

Salam Eid al-Mubarak

Ucapan Hari Raya ini yang paling bermakna pernah saya terima. Bergeming jiwa seketika dibuatnya. Jiwa meredup malu pada Khaliq. Siapakah saya di sisiNya sesudah Ramadhan?



Hari Raya adalah hari kemenangan melawan nafsu. Hari keluarnya kita dari Madrasah Ramadhan dengan mendapat keampunan serta menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Renungi sejenak kata-kata Imam Hasan al-Basri rhm: "Setiap hari yang tidak berlaku maksiat terhadap Allah, itulah Hari Raya."

Pesan ulama salaf al-saleh: 

"Bukanlah Hari Raya itu orang memakai baju baru (semata-mata) tetapi maksud Hari Raya adalah orang yang bertambah keimanannya."

"Bukanlah Hari Raya itu bagi orang yang memperindahkan kereta dan rumah-rumah (sahaja), tetapi Hari Raya adalah bagi seseorang yang diampunkan dosanya."

Salam Eid al-Mubarak.
Mohon maaf zahir dan batin.



Salam Aidilfitri 1435H


Friday, 16 May 2014

Angin bertiup lunak di Little Gilbert Street

Untuk mendapatkan iman, payah sekali. Mempertahankannya jauh lebih payah. Namun mengisi iman yang sedia ada, ternyata, itulah yang sebenarnya paling sukar.

Dalam perjalanan mengisi iman, berjela keluhan yang merintih, berbuih mulut menyoal, berpeluh dahi mempertikaikan pengisian itu. Ada sahaja yang dipersalahkan. Kononnya ibu bapa kurang mendidik; kemiskinan mencantas kemahuan; kesibukan merajai waktu. Begitu dasar manusia yang sering terburu-buru, mendustakan nikmat, dan suka membantah. Astaghfirullah.

Mudahnya manusia menuding ibu bapa, menyesal kerana kemiskinan, dan berang kerana  sempitnya waktu. Iman tidak mengenal itu semua. Iman hanya mengenal jiwa yang reda.

Sudah lebih 1400 tahun Manual Kehidupan iaitu Kitab Al-Quran dibentangkan di hadapan manusia. Terpulang,  sama ada kita mahu menelitinya atau tidak. Mahu belajar  darinya atau tidak. Patuh kepada perintah suruhan dan laranganNya atau ingkar kepada ayat ayat keteranganNya. Pilihan dan keputusan di tangan kita. Mahukan Jannah atau Jahannam. Pilihlah dengan akal yang waras. Subhanallah.

Lapangkan hati. Celikkan mata. Kehidupan ini besar maknanya. Di celah-celah kegembiraan dan musibah yang bertandang di sepanjang perjalanan kehidupan nan fana ini, banyak pengajaran yang dapat dikutip untuk mengisi dan memperkasakan iman. Bergunung ilmu yang boleh dibawa ke alam baqa. 

Iman bukan warisan. Iman perlu dicari dan digali sepenuh jiwa jika mahu memilikinya. Lalu apa perlu kita buat? Belajar! Belajar dari sesama manusia. Belajar dari alam fauna dan flora. Belajar dari isi langit dan bumi. Kita sentiasa akan kaya jiwa jika istiqamah menggali ilmu walaupun kita miskin rupa dan harta. Insyallah.

**Demikian ringkasan sembang-sembang kami di laman masjid lewat waktu Asar – saya dan entah siapa gadis orang putih itu kerana kami sama-sama lupa bertanyakan nama masing-masing sebab kami terhanyut dalam sebuah muzakarah yang sangat santai dan mengasyikkan dalam waktu yang sangat singkat. Alhamdulillah, kelunakan tiupan angin di pertengahan musim luruh di Little Gilbert Street amat mendamaikan rasa.


  Adelaide City Mosque, Adelaide South AustraliaAdelaide City Mosque, Adelaide South Australia
Imej Google  [gambar yg saya rakam tak secantik ini :-)]

Adelaide City Mosque,
South Australia.
~ April 2014

Salam.

Saturday, 1 March 2014

Tudung lilit-lilit

Gaya tudung yang dipakai belit-belit atas kepala amat menarik perhatian. Ada tudung bercorak. Ada yang tanpa corak satu warna. Ada yang dwi atau triwarna. Gandingan warna pula bermacam. 

Perempuan-perempuan yang memakai tudung belit-belit itu kelihatan sangat cantik dan anggun menawan. 

Saya hairan bagaimana mereka boleh lilit-lilit begitu. Teringin pula mahu mencuba.

Saya pun mencuba sendiri belit-belitkan tudung di kepala. Belit - buka. Lilit - buka. Alahai, tidak menjadi! Rasa macam nak tercekik adalah. 

Ternyata kemahiran melilit tudung dalam masa yang minima amat penting agar tudung lilit-lilit dan si pemakainya kelihatan kemas. 



Salam.