Monday, 27 July 2015

Catatan hati di Kampung Sungai Batang

Akhirnya aku sampai juga di sini setelah bertahun-tahun mendamba impian dan menyimpan harap. Impian yang mulai disemai usai membaca novel "Di bawah Lindungan Kaabah" kala usia masih hingusan 13 tahun yang belum pun mengerti kenapa mesti seorang gadis dan seorang pria perlu bercinta. Aku gagahkan juga untuk membacanya kerana perkataan 'Kaabah' yang terpampang di atas kulit buku amat meraih rasa jiwa bagai memanggil-manggil untuk dicerna maknanya. Itu novel cinta pertama yang dibaca dan aku amat menyukai persembahan tulisan pengarangnya. Sejak itulah juga aku mulai merangkak-rangkak mencari cinta Agung.

"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang? Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk? Bagaimana dengan  bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?

Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada ranting yang lapuk. Ada pula bunga  yang telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”
Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana pengorbanan dari yang sakit?" (Sedutan dari buku Kenang-kenangan Hidup yang memaparkan sebahagian dari pemikiran Hamka).

Nah, dengan pemikiran seperti itu, mana mungkin aku tidak mahu meneladaninya biar pun aku ini terus-terusan dalam kepedihan mengemis cinta. Sungguh, mengagungkan Cinta harus ditebus dengan duka lara.


19 Feb 2015
Rumah Hamka,
Kg. Sungai Batang, 
Maninjau, Sumatera Barat.


Salam Syawal 1436

3 comments:

Ku Keng said...

Tak singgah di Silunkang ke untuk membeli penyapu? Masyhurnya penyapu dari kampung itu. Yang dibeli lebih 15 tahun lalu masih utuh.

Bunga Rampai said...

Bro Keng, ternyata penyapu kualitas terbaik dapat bertahan demikian lama. Khabarnya kain-kain songketnya juga bagus. Sayangnya tak singgah. Tak berkesempatan waktu. Rugi betul.

Bunga Rampai said...

Nina J, waalaikumusalam. Terima kasih buat doamu itu...Aamiin.

Alhamdulillah, saya masih ingat nama "akuokay" dan saya tersentuh dgn kehadiran Nina di sini. Pastinya dgn penampilan baru - nama dan blog, ada penemuan baru yg lebih tersusun jalannya dlm kehidupan Nina. Doa saya moga susun rapi jalan itu kekal dilindungi dan diberkatiNya.

Selagi punya ilham dan kalam, insyaAllah saya akan terus mengutus salam melalui blog ini. Blog ini tempat berkisah dan menatang harap; ruang utk bersantai dan merepek merapu juga...hehehe...