Monday, 4 March 2013

Troia

Ternyata Empayar Troy atau Troia dalam bahasa tempatan bukanlah sebuah cerita dongeng di daerah Canakkale, Turki. Ia  tinggalan sejarah purba untuk diamati dan diteliti oleh manusia. Ia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi UNESCO.


The original wall  (1st kingdom) - Kingdom of Troy

Portion of the ruined Kingdom of Troy

Portion of the ruined Kingdom of Troy


Troy arts and architecture

 Theatre of Troy

Scripture of Troy

The Trojan Horse

Troia, Turki.
13 Nov 2012

Setelah melihat hampir seratus rakaman gambar sekitar Troia, seorang kawan bertanya: "You ke Turki semata-mata nak tengok kuda kayu dan batu-batu pecah tu? Membazir you!"


Salam.


Saturday, 23 February 2013

Kembara kalbu


                                          Eceabat Harbour on the Dardanelles

… and the two of you, where are you from?” Tanya Adem, pembantu pelancong yang sejak tadi tidak sudah-sudah mengelap peluh di dahinya dan sekejap-sekejap meneguk air dari botol yang tinggal separuh kandungannya. Baginya mentari tengahari itu sangat membakar dirinya walau pun angin bertiup kencang yang membuatkan saya dan Nare kerap menggigil kesejukan. 

Malaysia,” jawab Nare penuh bangga. “Malaysia boleh!” Sambung Nare bersemangat. Saya tersenyum lebar kerana punya seorang kawan yang ke mana mana pun akan membawa semangat Malaysia Boleh termasuklah kembara ke Turki ini yang akhirnya menjadi kenyataan setelah tiga tahun menyimpan harap dan menjulang semangat. Alhamdulillah.

Jawapan Nare itu membuatkan wajah para pelawat yang lain bertukar riak. Berkerut jadinya dan mereka memandang kami lama lama bagaikan kami ini alien dari entah planet mana. Maklum, mereka masing-masing datang dari negara bernama besar iaitu Australia, New Zealand, Canada, dan US. Pastinya mereka ada kepentingan tertentu di Gallipoli kerana Perang Gallipoli berkait dengan negara mereka terutama Australia dan New Zealand. Ternyata saya dan Nare datang dari negara yang tiada kaitan langsung dengan Gallipoli dan dari riak wajah mereka seolah-olah memberitahu kami yang kami ini tersangat asing untuk berada di dalam kelompok mereka. Kami juga tidak punya apa-apa gelaran di hadapan atau di belakang nama kami -- kami hanya  orang biasa-biasa yang bertemankan kamera digital yang biasa-biasa juga. Lainlah dengan pelawat dari Canada itu -- seorang photo journalist dan dua orang pelawat dari US pula adalah bekas pensyarah dalam bidang sejarah.

Tidak mengapa tentang apa juga pandangan mereka terhadap saya dan Nare. Kami ini hanya manusia kecil yang berusaha membesarkan jiwa melalui pengembaraan dalam usia yang masih mengizinkan. Sesuai dengan wallet kami yang nipis, maka kami berstatus pengembara santai bukan pelancong mewah. Walau dalam santai, kembara kami bukanlah kembara suka-suka. Kembara kami serius, amat serius untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang tidak diajar di kelas-kelas formal. Ilmu yang diperolehi bukan dengan membaca tetapi dengan berjalan, memerhati, dan berfikir -- ilmu yang didapati dengan memboloskan pancaindera kepada alam yang melingkari kehidupan manusia – alam ciptaan Khaliq.


                                          The Sphinx, Gallipoli National Park

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." [al-An’aam: 11]

Ayat Allah Subhana Wa Ta'ala ini adalah salah satu daripada beberapa ayat keteranganNya yang menyuruh manusia mengembara untuk melihat sendiri tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya di dunia ini. Setuju, ilmu juga boleh diperolehi melalui pembacaan namun cara ini hanya memberikan gambaran – bukan pengalaman. Pengalaman hanya diperolehi apabila berada di lokasi nyata untuk merasai dan mengalami sendiri kehidupan di tempat itu yang meliputi aspek-aspek fizikal, sosial dan budaya tempat itu. Pengalaman itulah apabila disaring dengan baik dan betul akan menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh diri.

Mengembara adalah satu tanggungjawab yang tidak merugikan jika dilaksanakan dengan tulus dan telus. Jadi setiap perjalanan itu jika diberi taraf dan niat "kembara kalbu" atau "kembara iman" bakal memberi hikmat dan nikmat yang menguntungkan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Hatta, perjalanan membeli sebotol kicap di kedai runcit yang jauhnya hanya setengah kilometer dari rumah pun perlu dianggap sebagai sebuah kembara kalbu kerana di sepanjang perjalanan itu banyak perkara yang dapat dibolosi oleh pancaindera. Segala yang dapat ditangkap oleh pancaindera dalam perjalanan yang singkat itu jika diteliti dengan kalbu bukan dengan rambang mata yang tidak berpengkalan bakal menjadi pengalaman yang berilmu. Wallahua'lam.

"Where next?" Tanya Adem sebelum kami berpisah di bandar kecil Eceabat.
"Journey to Troia."

Gallipoli National Park, Turki.
12 Nov 2012


Salam.

Tuesday, 19 February 2013

Merhaba Istanbul :-)

sengaja aku datang
pada awal musim dingin 
walau tangkai tangkai puspa
semakin rapuh di jambangan
kerana
aku datang berhajat
untuk bertamu rasa
melamar kasihmu, Istanbul.

ketika berjalan jalan di Sultanahmet
bagai kudengar sejuta derap kuda
dari sebaik baik tentera
pimpinan sebaik baik raja
mengiringi setiap langkahku
yang kian lama kian deras
merekahkan senyumanku
yang kusimpan bertahun tahun
untukmu, Istanbul.

angin
berpesan di Hagia Sophia
membawa risalah di Masjid Biru
dan Topkapi merentang sirr
sebuah kembara kalbu
lalu Istanbul berkisah
perihal keagungan sejarah lampau
yang meneduh jiwa
menghidupkan mahabbah
dalam sujud yang dihimpun
menjadi saksi
cinta yang bertasbih, di Istanbul.

setelah
mata bersiar di Selat Bosphorus
di Gallipoli dan Troia
selepas nikmat maras dan baklava
di Kapali Carsi
sesudah
secangkir teh panas di Marmara Café
ternyata
damai kasihmu untukku, Istanbul.
Alhamdulillah.

Turki: Istanbul. Gallipoli. Troia.
November 2012

*merhaba  = hello/hi there/greetings


Salam.

Tuesday, 5 February 2013

Bermusimlah Bunga

Musim tidak pernah berubah untuk seorang Bunga. Kepadanya semua musim sama sahaja walau pada hakikatnya musim tetap berubah. Ada musim hujan. Ada musim kemarau. Ada musim durian. Ada musim sakit. Ada musim mengundi. Pula, nun di lurah hati: ada musim ketawa, ada musim menangis, ada musim berkawan, ada musim sepi, ada musim rawan. Tegal itulah si Bunga mahu merubah musimnya yang tidak pernah bermusim. Bukanlah berwindu lamanya menyemai impian yang tidak pun wajib untuk disuburkan, namun di kejauhan hatinya ada pucuk-pucuk rasa yang semakin menghijau kian mencanak naik -- rasa untuk berpindah daerah.

Kemolekan daerah yang ini seharusnya menjadi alasan untuk setia bermukim selamanya. Namun sebuah perjalanan yang selesa itu harus diberi cabaran -- biar harapan dan impian menangga turun seketika lalu sebelum kaki mencecah tanah, citra dicipta untuk mengatur langkah naik ke atas. 

Fikir Bunga, alah bisa barangkali di daerah baru namun yakin itulah permulaan kepada kekebalan jiwa nan satu. Lagi pun bermukim di daerah baru bukanlah untuk melupakan daerah yang lama dan jauh sekali untuk tidak bertandang -- sesekali ia akan dijelang untuk melerai jurai jurai rindu yang dipendam.

Rembulan juga berpindah. Dahulunya bertapak di Januari, kini di Februari. Tidak ada sesuatu pun yang tidak berwaktu dan bertempat dalam kehidupan ini kecuali manusia sendiri menzaliminya. Begitulah juga seorang Bunga itu -- bermukim di daerah baru bukanlah hal yang samar samar lagi kecualilah mentari tiba tiba gerhana di muka langit nan biru.


Salam.

Sunday, 7 October 2012

Satu cinta



One Love - Playing For Change


".saratkan hatimu dengan cinta, suburkan ia dengan iman."


Salam.

Saturday, 29 September 2012

Marah: jangan biarkan hati menjauh


“Mengapa kita meninggikan suara ketika marah? Mengapa manusia saling bertekak dengan suara tinggi apabila mereka rasa tercabar atau kecewa atau melepaskan geram?” Demikian pertanyaan seorang Pendita kepada pengikut-pengikutnya.

Setelah berfikir seketika, seorang daripada pengikut-pengikutnya menjawab, “Sebab dalam keadaan marah atau kecewa, perasaan kita tidak tenang.”

“Tetapi kenapa anda meninggikan suara sedangkan orang yang berhubung dengan anda ada di sebelah atau di hadapan anda?” Tanya Pendita itu lagi.

Pengikut-pengikutnya memberikan beberapa jawapan lagi namun semuanya tidak memuaskan hati Pendita lalu beliau memberikan penjelasannya seperti berikut:

“Apabila dua orang saling memarahi dan bertekak antara satu sama lain, kedua-dua hati mereka juga turut saling menjauh dari diri mereka; semakin kuat amarah mereka, semakin jauh pula jarak hati mereka dan keperluan untuk meninggikan suara juga semakin kuat. Untuk mendekatkan jurang jarak yang jauh itu mereka terpaksa meninggikan suara supaya mereka dapat mendengar apa yang diucapkan.”

Kemudian Pendita bertanya, “ Apakah yang berlaku apabila dua insan jatuh cinta? Bukankah mereka saling berbicara dengan suara lembut dan perlahan, tidak ada kekasaran … mengapa? Kerana hati yang lembut saling mendekati dan menjadikan jarak antara mereka sangat dekat.”

Sambung Pendita, “Apakah yang berlaku apabila ikatan cinta mereka semakin kuat? Bicara mereka bukan lagi luahan kata-kata tetapi bisikan yang lemah-lembut yang menyenangkan serta mampu merapatkan lagi dua hati itu di dalam sebuah cinta. Hati-hati yang saling mendekati adalah hati-hati yang saling memahami dan penuh kasih sayang. Justeru, walau hanya bertentang mata tanpa secebis bisikan pun mereka amat memahami isi hati masing-masing. Betapa rapatnya hati dua insan yang saling cinta-mencintai.”

Moral kepada penjelasan ini menurut Pendita: “Jika berlaku perselisihan faham, jangan bertekak dengan meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menjauhkan hati anda dan menjauhkan hati orang yang anda hadapi. Jika tidak, takut nanti pada suatu hari kelak jurang jarak yang terbina itu menjadi lebih besar dan  jalan untuk kembali berbaik-baik tidak anda temui. Tanpa anda sedari juga, salah satu sifat mazmumah telah tertanam di dalam hati anda.”

Salam.

Saturday, 22 September 2012

Surat khabar lama


Selangit mendung petang tadi. Jadi, sebelum guruh galak berdentum dan kilat tangkas berpedang di langit serta hujan turun menyiram bumi - harus cepat ke kedai untuk membeli roti. Maklumlah, malam nanti dinner yang bakal dihidangkan  kepada 2 orang tetamu yang akan bertandang ialah sandwich tuna tanpa mayonis. Itu pinta mereka: gadis-gadis yang sangat teliti dalam soal penjagaan berat badan.

Terserempak pula dengan Pak Mail, ayah kepada Cik Kiah sebelah rumah yang sedang menyiram pokok cili api yang berbuah lebat di dalam pasu. Sejurus, datang menderum sebuah lori kecil  separuh sarat dengan surat khabar lama.

"Surat khabar lama!"
"Paper lama!"
"Buku lama"
"Bateri lama!"
"Komputer lama!"

Pak Mail berhenti menyiram kemudian memanggil pemandu lori. Lori berhenti betul-betul di hadapan gate rumahnya. 

"Orang lama mau kaa ...?" Pak Mail tersenyum lebar.

"Haa?" Terbeliak mata pemandu lori. "Orang lama kubur saja mau maa!"

Pak Mail terpempan.


Salam.

Thursday, 23 August 2012

Rampai rasa Aidilfitri


Mereka - kaum kerabat di kampung tidak percaya kepada keputusan yang muktamad itu. Mereka  juga tidak percaya kalau hari hari yang dilalui nanti mampu menggembirakan pasrah hati yang berkelana. Mereka sesungguhnya percaya hari pertama yang sarat barakah yang bakal dilalui sendirian bertahan hanya hingga ke rembang petang dan 'pabila tiba hening malam, rindu ‘kan merincis jiwa dan terjurai jua si air mata. Biarlah mereka dengan tanggapan mereka dan saya dengan keputusan muktamad itu bersama rasa syukur atas restu bonda yang memberi izin untuk berhari raya di KL.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan dengan lebaran di kota besar ini. Sunyinya amat terasa. Jalan jalan rayanya agak lengang - bebas dari kesesakan yang biasa menyesakkan nafas. Sesekali ada liku liku yang bagaikan tidak berpenghujung yang berani mengajak sang pemandu untuk memecut laju tanpa was was. Ada waktu waktunya lebuhraya mampu menggoda ruang fikir untuk mencipta angan angan yang tidak bernoktah.   Jiran di sekeliling juga semua lesap ke kampung atau pergi cuti-cuti raya bagi mereka yang tidak menyambut aidilfitri. Hanya Kak Seri saja yang ada - itu pun kerana kampungnya di Klang dan acara balik kampungnya hanya waktu siang - malamnya dia sudah kembali ke rumahnya. Begitu juga Mr. Nallan yang tidak pernah pulang kampung kerana dia tidak lagi berkampung sejak ketiadaan ibu bapanya dan ibu bapa mertuanya.

Hari ini hari ke-5 aidilfitri. Begitu lajunya sang waktu meninggalkan hari -  selaju  terbangnya pipit di bendang yang merajuk - perginya jelas namun pulangnya tiada.

Hari ini berhari raya di ruang maya sambil sambil menceriakan blog yang juga se akan akan merajuk kerana sering ditinggalkan – silap haribulan barangkali blog juga terbang pergi seperti si pipit bendang itu. Hari ini juga amat diperlukan untuk mengumpul kembali tenaga yang bakal digunakan esok, lusa, dan tulat – 3 hari yang lebih mencabar berbanding 4 hari pertama hari raya yang baru berlalu. Hari ini juga digunakan untuk menelefon bonda tersayang dan kaum kerabat yang rapat di kampung. Seperti yang dijangkakan, sibuklah mereka bertanyakan perihal sambutan raya saya di KL – are you okey? Tak sedih ke? Itu soalan soalan yang pendek lagi klise. Banyak lagi soalan yang panjang lebar yang tidak dapat dipaparkan dalam ruang yang kecil ini..

Keindahan aidilfitri kata mereka tersulam pada kasih sayang sesama saudara, pada ziarah pengerat silatulrahim, pada kudus madah ampun dan maaf. Lagi kata mereka -  keriangan aidilfitri terjalin atas enaknya rendang ketupat, lazatnya halwa kundur dan makmur, dan sedapnya sirap selasih berharum pandan.

Kata saya, tidak kurang indahnya aidilfitri bersama si anak yatim piatu, bersama si ibu tunggal yang sabar, dan bersama saudara baru yang terus mengharapkan bimbingan. Juga, keriangan aidilfitri tidak sedikit pun terkurang jika dirai bersama  ibu ibu dan bapa bapa yang ditinggalkan anak-anak, dikongsi bersama mereka yang tidak berupaya, dan ditemani insan insan yang sudah di penghujung usia. Tegas saya, keindahan dan keriangan aidilfitri adalah tentang perkongsian rasa kasih sayang yang mendalam bersama orang orang yang memerlukannya, tentang kehadiran diri pada jiwa jiwa yang mengharap, tentang  tegar senyuman yang tidak kalah pudar walau dalam musibah, dan tentang air mata yang tumpah yang sangat mahal harganya di sisi Khaliq.


Salam Aidilfitri 1434H,
maaf zahir dan batin.

Saturday, 21 July 2012

Hadiah

1 ~ Kau Yang kuRindui ... Selamat Hari Jadi

Aduuh, jantung mana yang tidak berdag-dig-dug dan bergelandangan jadinya apabila membaca kata-kata romantis begitu! Kata-kata itu bersama jambangan-jambangan mawar dan bentuk-bentuk hati bertaburan di atas kertas pembalut menjadikan bungkusan yang serba peach ronanya sangat bernilai.Tiba-tiba hari pun menjadi-jadi selamatnya walaupun hari itu bukan hari jadi ... dan o-la-la, ada orang yang sudi merindui saya? Auww, chori chori chupke chupke? Nah, siapa gerangan empunya diri yang menjadikan dunia saya sedikit terbalik sejurus sebelum maghrib semalam?

Maka bungkusan pun dibuka ... uiih, ada nota kecil? Errr, nota cintakah? ~ Bersama surat ini ada dua tudong untuk hadiah beri resipi Laksa Serawak. Ada dua tudong. Satu untok Rampai, satu lagi untok kawan Rampai yang beri resipi itu. Selamat terima. Sekian sahaja. Wassalam. Daripada Mak Esah.

Ooooooh, Mak Esah rupa-rupanya! Ceritanya begini - pada penghujung Mei yang lalu Mak Esah jiran selang sepuluh rumah dari rumah saya telah menelefon untuk mendapatkan resipi laksa Sarawak untuk cucunya yang sedang mengidam. Saya minta tangguh 2 hari untuk mendapatkan resipi itu dari seorang kawan. Alamak, tak sangka pula dalam masa 2 hari itu Mak Esah kerap menelefon tak kira siang malam untuk bertanyakan sama ada resipi itu sudah ada di tangan saya. Adeiii, pening juga dibuatnya namun saya perlu bersabar melayan kerenah Mak Esah yang berusia 78 tahun itu. Setelah memberi resipi itu kepadanya, Mak Esah menghulurkan sekeping sampul hijau kepada saya. "Untuk bayaran resipi," katanya. Saya menolak pemberian itu. 

Kedua-dua tudung itu cantik. Saya suka. Satu berwarna merah hati dan satu lagi kuning langsat. Alhamdulillah.


2 ~ Lir Ilir

Lir Ilir juga satu kejutan yang saya terima awal minggu ini. Hadiah yang sangat cantik lagi berharga dari Bro Keng. Senikatanya punya makna yang sangat dalam dan sarat dengan tamsil untuk direnung, diselami, dan difikir kemudian bertindak sewajarnya. Kepada saya, irama lagunya mencengkam jiwa dan luah liriknya menebak rasa. Ia mampu membawa diri pulang kepada Khaliq. Alhamdulillah.

*Lirik lagu ini pada entri di bawah.


3 ~ Ramadhan

Alhamdulillah. Ramadhan hadiahNya setiap tahun dianugerahkan kepada sekalian umat Nabi Muhammad, Salallohu'alaihiwassalam. Melimpah ruah kemewahan yang diberiNya pada bulan ini. Bersyukurlah kita akan hadiah ini dengan melunaskan amal ibadah dan amal kebajikan sebaik mungkin. Usah persiakan setiap detik yang ada selagi punya ruang dan daya upaya. Jangan tinggalkan ibadah yang wajib; perbanyakkan ibadah sunat.

Selamat berpuasa dan selamat berbuka :)


Salam.
1 Ramadhan 1434H

Lir Ilir

Lir Ilir  -  sebuah lagu daerah Jawa Tengah dan merupakan sebuah karya dari Sunan Kalijaga. Lagu ini mempunyai makna yang sangat dalam.



Lir-ilir, lir-ilir
Tandure wus sumilir Tak ijo royo-royo
Tak sengguh panganten anyar
Tak sengguh panganten anyar

Bocah angon – bocah angon
Panekno blimbing kuwi
Lunyu-lunyu penekno
Kanggo mbasuh dodotiro
Kanggo mbasuh dodotiro

Dodotiro – dodotiro
Kumitir bedah ing pinggir
Dondomono jlumatono
Kanggo sebo mongko sore
Kanggo sebo mongko sore

Mumpung padang rembulane
Mumpung jembar kalangane
Yo surak o, surak hiyo


Bait di atas secara harafiah menggambarkan hamparan tanaman padi di sawah yang menghijau, dihiasi oleh tiupan angin yang menggoyangkannya dengan lembut. Tingkat ke-muda-an itu dipersamakan pula dengan pengantin baru. Jadi ini adalah penggambaran usia muda yang penuh harapan, penuh potensi, dan siap untuk berkarya. Anak gembala, panjatlah [ambillah] buah belimbing itu [dari pohonnya]. Panjatlah meskipun licin, karena buah itu berguna untuk membersihkan pakaianmu.

Buah belimbing yang seringkali bergigir lima itu melambangkan lima rukun Islam; dan sari-pati buah itu berguna untuk membersihkan perilaku dan sikap mental kita. Ini harus kita upayakan betapapun licinnya pohon itu, betapapun sulitnya hambatan yang kita hadapi.

Anak gembala dapat diartikan sebagai anak remaja yang masih polos dan masih dalam tahap awal dari perkembangan spiritualnya. Konotasi inilah yang sering muncul seketika bila orang Jawa menyebut "bocah angon‟.

Namun pengertiannya dapat pula ditingkatkan menjadi pemimpin, baik pemimpin keluarga, tokoh masyarakat, ataupun pemimpin formal dalam berbagai tingkatan.



Dodot-iro, dodot-iro
kumitir bedah ing pinggir
dondomono, jlumatono
kanggo sebo mengko sore

(Pakaianmu berkibar tertiup angin, robek-robek di pinggirnya. Jahitlah dan rapikan agar pantas dikenakan untuk "menghadap" nanti sore.)

"Sebo" adalah istilah yang dipergunakan untuk perbuatan "sowan" atau menghadap raja atau pembesar lain di lingkungan kerajaan.

Makna pakaian adalah perilaku atau sikap mental kita. Menghadap bermakna menghadap Allah. Nanti sore melambangkan waktu senja dalam kehidupan, menjelang kematian kita.



Mumpung padhang rembulane
mumpung jembar kalangane

(Manfaatkan terang cahaya yang ada, jangan tunggu sampai kegelapan tiba. Manfaatkan keluasan kesempatan yang ada, jangan menunggu sampai waktunya menjadi sempit bagi kita.)

_______________________________________________________________________________________________


Lir-ilir, lir-ilir = tembang ini diawalii dengan ilir-ilir yang artinya bangun-bangun atau bisa diartikan hiduplah (karena sejatinya tidur itu mati) bisa juga diartikan sebagai sadarlah. Tetapi yang perlu dikaji lagi, apa yang perlu untuk dibangunkan?Apa yang perlu dihidupkan? hidupnya Apa? Ruh? kesadaran? Pikiran? Terserah, yang penting ada sesuatu yang kita hidupkan.

tandure wus sumilirtanaman-tanaman sudah mulai bersemi.
Kanjeng Sunan mengingatkan agar orang-orang Islam segera bangun dan bergerak. Karena saatnya telah tiba. Bagaikan tanaman yang telah siap dipanen, demikian pula rakyat di Jawa saat itu (setelah kejatuhan Majapahit) telah siap menerima petunjuk dan ajaran Islam dari para wali.



Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar  =  demikian menghijau bagaikan gairah pengantin baru.
Hijau adalah simbol warna kejayaan Islam, dan agama Islam disini digambarkan seperti pengantin baru yang menarik hati siapapun yang melihatnya dan membawa kebahagiaan bagi orang-orang sekitarnya. Ada juga penafsiran yang mengatakan bahwa pengantin baru maksudnya adalah raja2 jawa yang baru masuk Islam. 

Cah angon… cah angon… penekna blimbing kuwi  = anak-anak penggembala, tolong panjatkan pohon blimbing itu.
"Cah angon" maksudnya adalah seorang yang mampu membawa makmumnya, seorang yang mampu "menggembalakan" makmumnya dalam jalan yang benar. Lalu, kenapa "Blimbing" ? Ingat sekali lagi, bahwa blimbing berwarna hijau (ciri khas Islam) dan memiliki 5 sisi. Jadi blimbing itu adalah isyarat dari agama Islam, yang dicerminkan dari 5 sisi buah blimbing yang menggambarkan rukun Islam yang merupakan Dasar dari agama Islam. Kenapa "Penekno" ? ini adalah ajakan para wali kepada Raja-Raja tanah Jawa untuk mengambil Islam dan dan mengajak masyarakat untuk mengikuti jejak para Raja itu dalam melaksanakan Islam.

Lunyu lunyu yo peneken kanggo mbasuh dodotira = walaupun licin tetap panjatlah untuk mencuci pakaian.
Dodot adalah sejenis kain kebesaran orang Jawa yang hanya digunakan pada upacara-upacara / saat-saat penting. Dan buah belimbing pada jaman dahulu, karena kandungan asamnya sering digunakan sebagai pencuci kain, terutama untuk merawat kain batik supaya tetap awet. Dengan kalimat ini Sunan memerintahkan orang Islam untuk tetap berusaha menjalankan lima rukun Islam dan sholat lima waktu walaupun banyak rintangannya (licin jalannya). Semuanya itu diperlukan untuk menjaga kehidupan beragama mereka. Karena menurut orang Jawa, agama itu seperti pakaian bagi jiwanya. Walaupun bukan sembarang pakaian biasa. Walaupun dengan bersusah payah, walupun penuh rintangan, tetaplah ambil untuk membersihkan pakaian kita. Yang dimaksud pakaian adalah taqwa. Pakaian taqwa ini yang harus dibersihkan.

Dodotira… dodotira… kumitir bedah ing pinggir = pakaian-pakaian yang koyak disihkan.
Pakaian taqwa harus kita bersihkan, yang jelek jelek kita singkirkan, kita tinggalkan, perbaiki, rajutlah hingga menjadi pakain yang indah "sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa". Saat itu kemerosotan moral telah menyebabkan banyak orang meninggalkan ajaran agama mereka sehingga kehidupan beragama mereka digambarkan seperti pakaian yang telah rusak dan robek. 

Dondomana jrumatana kanggo seba mengko sore = jahitlah benahilah untuk menghadap nanti sore.
Seba artinya menghadap orang yang berkuasa (raja/gusti), oleh karena itu disebut „paseban‟ yaitu tempat menghadap raja.Di sini Sunan memerintahkan agar orang Jawa memperbaiki kehidupan beragamanya yang telah rusak tadi dengan cara menjalankan ajaran agama Islam secara benar. Pesan dari para Wali bahwa suatu ketika kamu akan mati dan akan menemui Sang Maha Pencipta untuk mempertanggung-jawabkan segala perbuatanmu. Maka benahilah dan sempurnakanlah ke-Islamanmu agar kamu selamat pada hari pertanggungjawaban kelak.

Mumpung padang rembulane, mumpung jembar kalangane = selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang.
Para wali mengingatkan agar para penganut Islam melaksanakan hal tersebut ketika pintu hidayah masih terbuka lebar, ketika kesempatan itu masih ada di depan mata, ketika usia masih menempel pada hayat kita. Selagi masih banyak waktu, selagi masih banyak kesempatan, perbaikilah kehidupan beragamamu dan bertaubatlah.

Yo surako surak hiyo = mari bersorak-sorak ayo…
Bergembiralah, semoga kalian mendapat anugerah dari Tuhan. Disaatnya nanti datang panggilan dari Yang Maha Kuasa nanti, sepatutnya bagi mereka yang telah menjaga kehidupan beragama-nya dengan baik untuk menjawabnya dengan gembira.


Terima kasih:
http://www.youtube.com/watch?v=1zsNkQpk0uw&feature=related
http://vempuzka.wordpress.com/2010/04/09/lir-ilir/ 

Thursday, 24 May 2012

Rejab, Syaaban, Ramadhan


Rejab bulan menabur benih
Syaaban bulan menyiram tanaman
Ramadhan bulan menuai

Rejab menyucikan badan
Syaaban menyucikan hati
Ramadhan menyucikan roh

Rejab bulan maghrifah
Syaaban bulan syafaat
Ramadhan bulan kebajikan

Rejab bulan taubat
Syaaban bulan muhibbah
Ramadhan bulan pahala

Rejab diganda 70 pahala
Syaaban diganda 700 pahala
Ramadhan diganda 1000 pahala


~ Terima kasih Miyah atas peringatan ini.

3 Rejab 1433H


Salam.

Thursday, 17 May 2012

"Apecer?"


Apecer? Perkataan ini dipelajari melalui sebuah program lawak di tivi. Sinonimnya tiada dalam kamus. Bertanya kepada mereka yang ahli bahasa pun mereka tidak tahu maknanya. Cari punya cari dan tanya punya tanya, akhirnya ketahuan juga maksudnya. Rupa-rupanya perkataan itu adalah kependekan dari kata-kata 'apa cerita'.

Adecer! (oops, ini ciptaan sendiri :D). Awal bulan ini ada sms di telefon yang sangat mengejutkan ...

+6016xxxxxxx. Sdra/i  BUNGA RAMPAI BINTI ABDULLAH.
SLAMAT HARI LAHIR. HAPPY
B'DAY. drp YB Dato' Sri xx
xxxxxxxxxxxxxxx.
Coordinator (parti) xxxxxxxx
Tel: xxxxxxxxxx

Wah, tekejut I tau!
VIP you know... wish I Happy Birthday!
Tak pernah pernah pun sebelum ini.

Apecer? 


Salam.

Tuesday, 8 May 2012

Melepaskan siang bagai melepaskan burung-burung merpati


Di dalam kamar yang kecil ini, di sebelah kiri jendela yang berlangsirkan kain kapas yang sudah pudar warna mawar merahnya, ada nyanyian yang menemani sunyi malam -  ada Kokoro No Tomo, ada Terukir Di Bintang, ada Goodbye Girl, ada Menjaring Matahari, ada Kingston Town – dan sunyi malam pun tersenyum menyambut alunan nyanyian itu di luar jendela yang terkuak luas. Sengaja dikuakkan luas luas, biar sepoi angin datang bersiar-siar di halaman hati. Siapa tahu ada saat-saatnya angin dan malam bisa berakad untuk membisikkan bening ilham  ke sanubari.

Menulis blog bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan akhir akhir ini. Begitu juga payahnya membaca berpuluh blog jiran di sekeliling. Aduhai! Waktu beredar, kewajipan bertambah, masa pun menjadi singkat, dunia semakin sempit, dan barangkali juga kemboja sedang menunggu di perkuburan.

Nah … kaaan! Angin malam melarik ilham dan pengembara malam mulai mendandan bicara.

angin malam
selimutkan dia
dengan rinduku

mercup embun subuh
titiplah cintanya
simpan di hatiku

Aah, rasa rindu ini memukau segenap getar nadi dan degup jantung! Terhenti seketika darah yang mengalir. Betapa pendam rindu cukup meresahkan.   

Entah siapa siapalah dia itu sebenarnya. Siapa siapa pun dia itu, ternyata bisikan angin malam kadang merempuh diri, menghumban jiwa manusia ke lembah gersang, mencipta khayal nan lompang, dan melupakan manusia akan alam qiamusyahadahnya.


Malam sudah larut kini. Jendela separuh terbuka. Dingin angin menggebu rindu di kalbu. Angin malamkah lagi yang menggoda dan memperdaya hati? Atau angin  itukah juga yang menggiat rasa agar si pengembara malam menabur tasbih untuk melerai rindu sebelum embun bersimpuh di permukaan bumi?

selamat malam, malam
dengan namaMu-lah Ya Raab
aku bernafas dan lelap

pada bangun nanti
kupuji namaMu
kerana membangkitkan aku
dari lena yang sementara ...

“Ketentuan Allah bukan dalam perkiraan manusia. Yang sihat tak semesti lambat kematiannya; dan yang uzur tak pasti hampir dengan maut.” ~ Ku Keng.

... kepadaMu jualah Ya Raab sekalian manusia akan kembali.
.
.
Melepaskan siang bagai melepaskan burung-burung merpati dari sangkar sempitnya kemudian terbang bebaslah mereka berkawan-kawan ke ruang yang sangat luas yang sentiasa memujuk rasa untuk melunaskan kemahuan hati. Namun yang bernama manusia tetap punya sempadan kehidupan dan lingkaran kebebasan yang sangat goyang.


Salam.