Tuesday, 8 May 2012

Melepaskan siang bagai melepaskan burung-burung merpati


Di dalam kamar yang kecil ini, di sebelah kiri jendela yang berlangsirkan kain kapas yang sudah pudar warna mawar merahnya, ada nyanyian yang menemani sunyi malam -  ada Kokoro No Tomo, ada Terukir Di Bintang, ada Goodbye Girl, ada Menjaring Matahari, ada Kingston Town – dan sunyi malam pun tersenyum menyambut alunan nyanyian itu di luar jendela yang terkuak luas. Sengaja dikuakkan luas luas, biar sepoi angin datang bersiar-siar di halaman hati. Siapa tahu ada saat-saatnya angin dan malam bisa berakad untuk membisikkan bening ilham  ke sanubari.

Menulis blog bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan akhir akhir ini. Begitu juga payahnya membaca berpuluh blog jiran di sekeliling. Aduhai! Waktu beredar, kewajipan bertambah, masa pun menjadi singkat, dunia semakin sempit, dan barangkali juga kemboja sedang menunggu di perkuburan.

Nah … kaaan! Angin malam melarik ilham dan pengembara malam mulai mendandan bicara.

angin malam
selimutkan dia
dengan rinduku

mercup embun subuh
titiplah cintanya
simpan di hatiku

Aah, rasa rindu ini memukau segenap getar nadi dan degup jantung! Terhenti seketika darah yang mengalir. Betapa pendam rindu cukup meresahkan.   

Entah siapa siapalah dia itu sebenarnya. Siapa siapa pun dia itu, ternyata bisikan angin malam kadang merempuh diri, menghumban jiwa manusia ke lembah gersang, mencipta khayal nan lompang, dan melupakan manusia akan alam qiamusyahadahnya.


Malam sudah larut kini. Jendela separuh terbuka. Dingin angin menggebu rindu di kalbu. Angin malamkah lagi yang menggoda dan memperdaya hati? Atau angin  itukah juga yang menggiat rasa agar si pengembara malam menabur tasbih untuk melerai rindu sebelum embun bersimpuh di permukaan bumi?

selamat malam, malam
dengan namaMu-lah Ya Raab
aku bernafas dan lelap

pada bangun nanti
kupuji namaMu
kerana membangkitkan aku
dari lena yang sementara ...

“Ketentuan Allah bukan dalam perkiraan manusia. Yang sihat tak semesti lambat kematiannya; dan yang uzur tak pasti hampir dengan maut.” ~ Ku Keng.

... kepadaMu jualah Ya Raab sekalian manusia akan kembali.
.
.
Melepaskan siang bagai melepaskan burung-burung merpati dari sangkar sempitnya kemudian terbang bebaslah mereka berkawan-kawan ke ruang yang sangat luas yang sentiasa memujuk rasa untuk melunaskan kemahuan hati. Namun yang bernama manusia tetap punya sempadan kehidupan dan lingkaran kebebasan yang sangat goyang.


Salam.

11 comments:

Wira Nordin said...

T_T
hening je rasa baca tulisan kali ini
ditambah dengan hujan renyai..rasa kerdil saja diri
puan tak pernah gagal buat saya tersentuh..
kalau puan umur dah 50-an, nak saja jadikan mak angkat :)

Bunga Rampai said...

Wira Nordin,
:-)
~ Alhamdulillah, moga ada manfaatnya.
~ Renyai hujan mengingatkan kita pada Pencipta hujan.
~ Bagus juga sesekali naik pangkat jadi 'puan' :)
~ Tapi, nak jadikan mak angkat tu, aduyaiii ... rasa tersangat matanglah pula :D - saya masih belajar :)

Wira Nordin said...

eh, cik ka?

Zariza said...

Salam ingatan Datuk Seri CIK Rampai sahabat saya :)

hahahahaha .. izinkan saya ketawa panjang sikit .. komen Wira sungguh mencuit hati .. Wira, apakah??!

Datuk,
oh hujan dan perasaan, hujan dan keesaan-Nya masih tetap diperkatakan. Begitulah, wujudnya alam ini sebagai tanda dan peringatan, bagi mereka yang mahu berfikir ..

Memang rasa halus di perdu hati sentiasa terbuai bila membaca catatanmu. Saya sentiasa kagum malah bangga kerana berkesempatan menjalin ukhuwwah - biarpun hanya di alam maya- dengan seorang insan yang punya pena luar biasa :)

jemput teh halia Datuk .. sehari dua ni banyak pula angin :D

Wira Nordin said...

Zariza,

Kamu juga masih cik?
MasyaAllah, saya baca blog kalian dgn anggapan kalian umpama ibu angkat saya
Malu saya

Bunga Rampai said...

Wira, relak aar... jangan risau. Saya tak kisah nak panggil apa pun... tak tergugat keperempuanan saya... hehehe...
Yang penting kita kawan, okey... gimme five! :))))

Btw, nak panggil saya dan Zariza 'Mak Cik' pun ok... kan kan Dato' ? :D

Bunga Rampai said...

Zariza, salam kembali Dato' dan terima kasih atas ingatanmu :)

Weiii, jangan ketawa banyak sangat... kembung perut dan kembang badan nanti dek angin yang berlebihan. Nanti kena minum teh halia bara pulak! :D

Dato' ... rasa halus itu atas izinNya jua, menjengah ia pada jiwa jiwa yang tenang... dan dengan pena yang ada pada kita, kita bercerita atas nama persahabatan, moga ia bermanfaat untuk diri kita juga kawan kawan yang lain. InsyaAllah.

Bercakap tentang pena... pena saya yang biasa biasa jer Dato' ... cap Stabilo :D

Saya baru selesai minum nescafe 3+1 tadi. Teh halia akan dinikmati malam nanti :))

Ku Keng said...

Tiga hari lalu, yang dikatakan uzur akhirnya pergi menyusuli yang dulunya sihat. Sewaktu saya menziarahinya sehari sebelum pemergiannya, beliau menyatakan "Saya dah tak leh pi dah." Dan terus hanyut dalam sebutan "Ya Latiff, Ya Latiff....."

Selang 40 hari antara dua sahabat yang karib.

Inna lillahi wa inna ilahi raaji'un.

Bunga Rampai said...

Bro Keng, Al-Faatihah. Moga roh mereka aman di sana.

Benarlah, ketentuan Allah bukan dalam perkiraan manusia. Apa yang ada dalam perkiraan manusia hanyalah USAHA meneruskan amalan ibadah dan amalan kebajikan hingga ke nafas yang terakhir... kerana amalan amalan itulah bakal menjadi pelindung manusia di hadapanNya pada hari pengadilan kelak. Wallahu'alam.

jaketbiru said...

bayu itu terus menyapa..
memanggil
merayu
meratip
melambaik ke alam mistik..


ops!!! hehehehe

Bunga Rampai said...

Jaketbiru, bayu memang pandai berkata-kata :)