Thursday, 23 August 2012

Rampai rasa Aidilfitri


Mereka - kaum kerabat di kampung tidak percaya kepada keputusan yang muktamad itu. Mereka  juga tidak percaya kalau hari hari yang dilalui nanti mampu menggembirakan pasrah hati yang berkelana. Mereka sesungguhnya percaya hari pertama yang sarat barakah yang bakal dilalui sendirian bertahan hanya hingga ke rembang petang dan 'pabila tiba hening malam, rindu ‘kan merincis jiwa dan terjurai jua si air mata. Biarlah mereka dengan tanggapan mereka dan saya dengan keputusan muktamad itu bersama rasa syukur atas restu bonda yang memberi izin untuk berhari raya di KL.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang perlu dibanggakan dengan lebaran di kota besar ini. Sunyinya amat terasa. Jalan jalan rayanya agak lengang - bebas dari kesesakan yang biasa menyesakkan nafas. Sesekali ada liku liku yang bagaikan tidak berpenghujung yang berani mengajak sang pemandu untuk memecut laju tanpa was was. Ada waktu waktunya lebuhraya mampu menggoda ruang fikir untuk mencipta angan angan yang tidak bernoktah.   Jiran di sekeliling juga semua lesap ke kampung atau pergi cuti-cuti raya bagi mereka yang tidak menyambut aidilfitri. Hanya Kak Seri saja yang ada - itu pun kerana kampungnya di Klang dan acara balik kampungnya hanya waktu siang - malamnya dia sudah kembali ke rumahnya. Begitu juga Mr. Nallan yang tidak pernah pulang kampung kerana dia tidak lagi berkampung sejak ketiadaan ibu bapanya dan ibu bapa mertuanya.

Hari ini hari ke-5 aidilfitri. Begitu lajunya sang waktu meninggalkan hari -  selaju  terbangnya pipit di bendang yang merajuk - perginya jelas namun pulangnya tiada.

Hari ini berhari raya di ruang maya sambil sambil menceriakan blog yang juga se akan akan merajuk kerana sering ditinggalkan – silap haribulan barangkali blog juga terbang pergi seperti si pipit bendang itu. Hari ini juga amat diperlukan untuk mengumpul kembali tenaga yang bakal digunakan esok, lusa, dan tulat – 3 hari yang lebih mencabar berbanding 4 hari pertama hari raya yang baru berlalu. Hari ini juga digunakan untuk menelefon bonda tersayang dan kaum kerabat yang rapat di kampung. Seperti yang dijangkakan, sibuklah mereka bertanyakan perihal sambutan raya saya di KL – are you okey? Tak sedih ke? Itu soalan soalan yang pendek lagi klise. Banyak lagi soalan yang panjang lebar yang tidak dapat dipaparkan dalam ruang yang kecil ini..

Keindahan aidilfitri kata mereka tersulam pada kasih sayang sesama saudara, pada ziarah pengerat silatulrahim, pada kudus madah ampun dan maaf. Lagi kata mereka -  keriangan aidilfitri terjalin atas enaknya rendang ketupat, lazatnya halwa kundur dan makmur, dan sedapnya sirap selasih berharum pandan.

Kata saya, tidak kurang indahnya aidilfitri bersama si anak yatim piatu, bersama si ibu tunggal yang sabar, dan bersama saudara baru yang terus mengharapkan bimbingan. Juga, keriangan aidilfitri tidak sedikit pun terkurang jika dirai bersama  ibu ibu dan bapa bapa yang ditinggalkan anak-anak, dikongsi bersama mereka yang tidak berupaya, dan ditemani insan insan yang sudah di penghujung usia. Tegas saya, keindahan dan keriangan aidilfitri adalah tentang perkongsian rasa kasih sayang yang mendalam bersama orang orang yang memerlukannya, tentang kehadiran diri pada jiwa jiwa yang mengharap, tentang  tegar senyuman yang tidak kalah pudar walau dalam musibah, dan tentang air mata yang tumpah yang sangat mahal harganya di sisi Khaliq.


Salam Aidilfitri 1434H,
maaf zahir dan batin.

4 comments:

Wira Nordin said...

Salam Puan,

Selamat Hari Raya..Maaf Zahir Batin jika ada yang tersilap kata..
Puan beraya di KL? Kenapa dengan keputusan itu? Ada kerja atau sengaja ingin kelainan?
Tak terfikir nak buat rumah terbuka? Jika ada rezeki, jgn lupa jemput saya :)

Bunga Rampai said...

Wira, salam kembali.
Seharusnya begitulah kita saling maaf memaafi. Saya juga mohon maaf andai ada kata kata yang telah menyinggung hati Wira.
Sengaja buat kelainan beraya di KL bersama golongan yang kurang bernasib baik.
Tak pernah sempat nak buat rumah terbuka kerana sibuk ke rumah terbuka kawan kawan :)

Ku Keng said...

Tanggal tiga-puluh satu
Tarikh ini semua orang bersorak surai
Kononnya merdeka dari penjajahan

Sebelumnya bangsaku hidup damai
Beragama murni dalam aliran yang sama dan sepakat
Bersopan santun dan bersikap setia
Berbudaya halus beradab sopan
Berbekal diri dengan ilmu tinggi yang berlandaskan ketauhidan
Berkomunikasi dengan tulian tersendiri; jawi asli

Selepasnya
Bangsaku rakus; jiwa dijajah
Tanpa adab membuang adat
Megubah agama, meskipun serupa
Beraqidah logik, bertuhankan wang
Membuang bangsa menghina bahasa
Akal dikongkong, berfikiran sampah
Berpecah belah, persatuan roboh
Lupa yang hidup menumpang
Bersikap kononnya tuan
Konon berkuasa, sebenarnya menghamba

Merdeka entah dari apa

Bunga Rampai said...

Bro Keng, pandangan peribadi saya ... merdeka datangnya dari rasa dalam jiwa, disuarakan dalam perkataan, dan ditunjukkan dalam perbuatan; dan merdeka hanya menjadi benar apabila berlandaskan akhlak yang benar.

Saya menyenangi sajak ini. Ia menjadi koleksi peribadi. Terima kasih atas perkongsian :)