“Mengapa kita meninggikan suara ketika marah? Mengapa manusia saling bertekak dengan suara tinggi apabila mereka rasa tercabar atau kecewa atau melepaskan geram?” Demikian pertanyaan seorang Pendita kepada pengikut-pengikutnya.
Setelah berfikir seketika, seorang daripada pengikut-pengikutnya menjawab, “Sebab dalam keadaan marah atau kecewa, perasaan kita tidak tenang.”
“Tetapi kenapa anda meninggikan suara sedangkan orang yang berhubung dengan anda ada di sebelah atau di hadapan anda?” Tanya Pendita itu lagi.
Pengikut-pengikutnya memberikan beberapa jawapan lagi namun semuanya tidak memuaskan hati Pendita lalu beliau memberikan penjelasannya seperti berikut:
“Apabila dua orang saling memarahi dan bertekak antara satu sama lain, kedua-dua hati mereka juga turut saling menjauh dari diri mereka; semakin kuat amarah mereka, semakin jauh pula jarak hati mereka dan keperluan untuk meninggikan suara juga semakin kuat. Untuk mendekatkan jurang jarak yang jauh itu mereka terpaksa meninggikan suara supaya mereka dapat mendengar apa yang diucapkan.”
Kemudian Pendita bertanya, “ Apakah yang berlaku apabila dua insan jatuh cinta? Bukankah mereka saling berbicara dengan suara lembut dan perlahan, tidak ada kekasaran … mengapa? Kerana hati yang lembut saling mendekati dan menjadikan jarak antara mereka sangat dekat.”
Sambung Pendita, “Apakah yang berlaku apabila ikatan cinta mereka semakin kuat? Bicara mereka bukan lagi luahan kata-kata tetapi bisikan yang lemah-lembut yang menyenangkan serta mampu merapatkan lagi dua hati itu di dalam sebuah cinta. Hati-hati yang saling mendekati adalah hati-hati yang saling memahami dan penuh kasih sayang. Justeru, walau hanya bertentang mata tanpa secebis bisikan pun mereka amat memahami isi hati masing-masing. Betapa rapatnya hati dua insan yang saling cinta-mencintai.”
Moral kepada penjelasan ini menurut Pendita: “Jika berlaku perselisihan faham, jangan bertekak dengan meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menjauhkan hati anda dan menjauhkan hati orang yang anda hadapi. Jika tidak, takut nanti pada suatu hari kelak jurang jarak yang terbina itu menjadi lebih besar dan jalan untuk kembali berbaik-baik tidak anda temui. Tanpa anda sedari juga, salah satu sifat mazmumah telah tertanam di dalam hati anda.”
Salam.
3 comments:
Kredit kepada Bro Keng yang telah menghantar artikel ini kepada saya. Artikel ini asalnya berbahasa Inggeris dan saya terjemahkan ke BM untuk renungan bersama.
Amarah merupakan cerminan jiwa seseorang. tenang atau kecamuknya jiwa dari yang dia ekspresikan...
SHIMI, Benar. Maka itu jiwa harus dididik untuk bersabar.
Post a Comment