Sukar sekali sebenarnya menterjemahkan segala rasa yang melingkari jiwa. Payah amat menyuarakan segala yang difikir di dalam benak. Paling hampir imbasan yang dapat menggambarkan segala rasa dan fikir itu ialah lelehan air mata yang mengalir keluar dari pelupuknya. Kadang kala ia sekadar bergenang. Sesekali air mata itu berlari deras di atas pipi. Ada waktu-waktunya ia sukar dihentikan lalu sebak menjadi esakan yang kadang bisa menjadikan jiwa berserpihan. Aduhai.
"Ya Qahhar Ya Jabbar" - wahai Yang Maha Gagah, wahai Yang Maha Memperbaiki benda-benda yang binasa. Berzikirlah duhai hati dengan zikir Asmaul Husna ini untuk kekuatan tauhidmu. Berdoalah selalu sebagaimana Rasulullah Salallohi Alaihi Wassalam sentiasa berdoa ...
"Ya Tuhanku, bantulah aku memperbaiki agamaku kerana agama adalah tempat bergantung hidupku, perbaikilah duniaku kerana di atas dunia inilah tempat aku hidup, dan perbaikilah akhiratku kerana ia adalah tempat kesudahanku." (HR Muslim dan Nasa'i).
... mudah-mudahan padulah jiwa dan utuhlah tauhid yang goyah. Aamiin.
*Peristiwa Lahad Datu merapuh hati.
Salam.