Wednesday, 17 July 2013

Oh, Bulan!

Cantik sangatkah Bulan menyebabkan Pungguk pun tidak silu silu merinduinya? Atau Bulankah yang pandai bermain silap mata – memukau setiap pandangan lalu menebak rasa dan alih alih lirih cinta pun mercup menggoda hati? Kalau cinta pandang pertama semaraknya tiada – pada pandang ketiga hati pasti pasrah dan mengalah pada Bulan. Oh, Bulan! Bulan bercahaya orang suka. Bulan sabit orang gembira. Bulan sipi sipi di sebalik mendung pun boleh buat orang senyum. Bulan gerhana lagilah sangat mengujakan sekalian makhluk alam!

Bulan nun jauh di atas langit sana tidaklah jauh sangat. Boleh dicapai dengan tangan bak kata lirik ini …

Oh bintang mana bulan
Atas pucuk pokok kari
Bintang tanya pada bulan
Mana jatuh matahari?

… nah, Bulan itu dekat sahaja! Nun di atas pucuk pokok kari. Capailah Bulan semahu hati namun usah sekali kali bertanyakan dia - mana jatuhnya si Matahari. Nanti jawab Bulan: “Hariku malam bukan siang, tugasku mengindahkan kelam malam. Malamku juga malam, tugasku menyembunyikan rahsia malam. Tugasmu membongkar rahsia itu.” 

Bulan sangat berharga kepada manusia. Nak puasa - tengok bulan. Nak raya –  tengok bulan. Nak bersalin – tunggu bulan. Orang perempuan datang bulan. Nak gaji – akhir bulan. Hujung bulan – ceti/ah long menagih hutang. Kalau nak undi pun ada parti Bulan. Oh, Bulan!

Bulan sentiasa dipuja puji, diasyiki cahaya dan keindahannya. Maka itulah Bulan jauh nun di langit sana pun kita nampak dan kita cinta. Bagaimana dengan Khalik – nampakkah kita akan Dia? Adakah puji dan asyik kita untuk Dia?

Puji dan asyikilah Khalik dalam keadaan berdiri, duduk, dan berbaring – puji dan asyiki Dia dengan sujud; dengan zikir Asmaul Husna Nya; dengan menghayati dan meneliti risalah risalahNya; dengan meneladani sunah sunah RasulNya. Nanti Dia mendekati kita lebih dekat dari yang kita fikirkan. Nanti ada rasa yang paling dalam menggamit naluri yang mengalirkan ingatan, cinta serta rindu kita kepadaNya. Ingatan, cinta dan rindu itu tidak akan disia siakanNya - segalanya menjadi harta dunia dan harta akhirat.

Sesungguhnya Khalik itu sangat dekat dengan kita. CahayaNya Maha Agung. 


*Terima kasih Bro Keng. Pesan ringkas sehari sebelum Ramadhan mengilhamkan tulisan ini. Alhamdulillah.


Salam Ramadhan.
8hb., 1434H

Thursday, 4 July 2013

Sahabat

Dia hanya belia kampung. Membesar di kampung. Belajar pun di kampung. Kemudian dia sambung belajar di U tidak jauh dari kampung. Usai pengajian dia bekerja di kampung.

Pakaiannya biasa biasa sahaja. Ke mana pun perginya dia lebih selesa berseluar denim lusuh dan kemeja T tanpa kolar. Berselipar jepun lagi. Sekali sekala ada majlis rasmi dia mengenakan tailored slacks berpadankan kemeja berlengan panjang. Kasutnya tidak berjenama. Asal boleh pakai, okeylah katanya.

Gajinya sesudah dipotong apa yang wajib dipotong termasuk sumbangan kepada ibu dan bapanya digunakan untuk menyerlahkan hobinya. Di kampung juga. Hobinya seperti: menjadi penasihat remaja dan anak anak muda yang bermasaalah; menjadi abang kepada anak anak yatim; pembimbing kepada mualaf; menjalankan bengkel apa apa sahaja yang patut untuk memajukan penduduk dan kampung. Dia juga reporter kampung -  menyebar berita tentang majlis kenduri, tentang orang sakit, perkahwinan, dan kematian. Beritanya tulus dan telus.

Dia bukan Ustaz. Orang orang kampung pun tidak menggelarnya Ustaz. Namun kerananya golongan muda kini mengimarahkan surau dan masjid. Kerananya surau kampung menjadi ceria. Kerananya surau menjadi sumber ilmu terutama kepada golongan muda.

Dia sahabat kepada semua penduduk kampung. Penduduk kampung menyenanginya.

Malam ini surau kampung sesak. Tidak putus putus orang ramai datang dengan tertib. Luar biasa ramainya dari biasa jika ada kegiatan di surau. Mereka datang berhajat - bersama sebak dada dan lelehan air mata. Bersedekah doa kepadanya. Al-Faatihah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang. (Surah Maryam, 19:96)

Kembalinya dia ke Rahmatullah pada usia muda seperti yang dijanjikanNya. Tidak lambat dan tidak cepat walau sesaat pun. Sesungguhnya janji Allah itu benar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Aamiin.


Munas... jasamu dikenang, amalmu jadi teladan.
3 Julai 2013


Salam.
  

Wednesday, 26 June 2013

Jerebu

Sepucuk surat cinta dari langit.

Bunga,

Surat ini kutitip bukanlah apa apa sangat. Tidak seperti surat surat sebelum ini yang ceritanya panjang lebar. Surat kali ini ringkas namun ditulis dengan rasa setia cinta, hanya kepadamu.

Sesungguhnya Allah sedang berbicara dengan kita melalui kejadian jerebu yang melanda sekarang. Ada pesan yang terselit di dalam bicara itu. Mudah mudahan kita dan sekalian umat Islam masih berupaya memahami bicara itu dan bersyukur dengan pesanNya. Hentikan kekejaman. Usah biarkan kemurkaanNya berterusan, nanti azabNya kepada kita berpanjangan hingga ke Jahannam.

Wassalam.


Sunday, 23 June 2013

Penjual kuih

Sudah dua hari minggu Puspa mendengar laungan seorang budak itu, kala petang sesudah waktu Asar. Sesuatu yang menarik, fikir Puspa. Dia teruja lantas pada hari minggu berikutnya dia menunggu laungan itu di depan rumah. Dia mahu melihat siapa empunya diri yang memiliki suara lantang yang telah mendetik rasa di hatinya kepada sesuatu yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu.

"Kuih! Kuih!"

Telinga Puspa meneliti arah suara itu. Makin lama semakin jelas datangnya dari sebelah kiri. Suara itu sekejap ada sekejap tiada. Dia sabar menunggu laungan itu berkumandang di hadapan rumahnya.

Terlirih senyuman di bibir Puspa sebaik melihat penjual kuih berada di hadapannya. Penjual kuih membuka penutup bakul dan terserlahlah kuih kuih jualannya. Aah, ketayap! Seronoknya hati Puspa. Ada cucur badak dan ada juga karipap. Puspa membeli tiga gulung ketayap dan dua biji cucur badak kemudian membayar harganya.

"Harganya dua ringgit je, bukan tiga ringgit." Kata budak itu lalu mengembalikan seringgit kepada Puspa. Puspa menolak. Hadiah untuk adik kata Puspa.

Hari minggu berikutnya Puspa menunggu lagi penjual kuih itu namun dia tidak datang. Puspa menunggu lagi pada hari minggu seterusnya. Dia tidak juga datang. Dua hari minggu selepas itu pun laungan Kuih! Kuih! tidak kedengaran. Selepas itu Puspa tidak lagi menunggunya. 

Kehadiran penjual kuih yang bernama Fikri itu, walau hanya sekali, telah menggetar rasa nostalgianya kepada waktu waktu silamnya semasa kecil – dan Fikri adalah bayangan dirinya di usia sepuluh tahun ketika itu menjual kuih hasil air tangan ibu tersayang. Bezanya cuma, Fikri menjaja kuih pada waktu petang di bandar tetapi Puspa menjaja kuih pada waktu pagi di pekan kecil. Kala kanak kanak lain masih berselimut, Puspa sudah pun bersedia untuk meleraikan hening pagi dengan laungan “Kuih! Kuih!” kepada jiran tetangganya.  Maka itulah dia amat memahami perasaan Fikri ketika menjaja  - penatnya kaki berjalan, lenguhnya lengan mengangkat bakul, peritnya tekak, dan sakitnya hati diejek kanak kanak lain.

Kini Puspa sudah berhenti mengharap dan tidak lagi bersoal soal tentang ketiadaan Fikri. Dia hanya mengingatinya dalam doa - mudah mudahan Fikri  terus menjual kuih selagi ada daya dan masa kerana itulah antara sebaik baik pengalaman yang melatih diri untuk menjadi insan berani dan yakin  menghadapi dugaan hidup yang rencam ini.

Salam.


Saturday, 1 June 2013

Dua bulan yang telah berlalu


April. Entah apa apa bulan ini. Kota sangat meletihkan. Balik kampung. Selera orang kampung pun kini telah melalui transformasi. Hebat! Paling seronok apabila mereka mendapat hadiah uwang barang seratus dua yang berbalut janji. Senyum Si Penerima hingga mencecah telinga. Hati Si Pemberi berbunga bunga kemboja.

Mei. 5th May to be exact. PRU13. Kenangan manis apabila buat pertama kali kuku dihias. Tidak mengapa hanya kuku jari telunjuk kiri. Tidak mengapa juga bukan warna merah. Heh, buruknya calitan! Ade ke pulak ujung jari bak dicelup warna – comotnya! Juga tak mengapa comot walau bukan itu yang dimahukan. Yang penting warna tidak kekal – basuh dengan sabun terus hilang. Yeay!


Salam.

Thursday, 7 March 2013

Al-Qahhar, Al-Jabbar

Suram mengungguli rasa. Keliru ada. Samar pun ada. Sedih. Pilu. Geram. Marah. Semuanya  sarat dalam sebuah acuan kepala yang kecil. Caca marba jadinya. Gado-gado lagi cantik gaulannya berbanding dengan apa yang berlingkar-lingkar di kepala ini. Alahai.


Sukar sekali sebenarnya menterjemahkan segala rasa yang melingkari jiwa. Payah amat menyuarakan segala yang difikir di dalam benak. Paling hampir imbasan yang dapat menggambarkan segala rasa dan fikir itu ialah lelehan air mata yang mengalir keluar dari pelupuknya. Kadang kala ia sekadar bergenang. Sesekali air mata itu berlari deras di atas pipi. Ada waktu-waktunya ia sukar dihentikan lalu sebak menjadi esakan yang kadang bisa menjadikan jiwa berserpihan. Aduhai.

"Ya Qahhar Ya Jabbar" -  wahai Yang Maha Gagah, wahai Yang Maha Memperbaiki benda-benda yang binasa. Berzikirlah duhai hati dengan zikir Asmaul Husna ini untuk kekuatan tauhidmu. Berdoalah  selalu sebagaimana Rasulullah Salallohi Alaihi Wassalam sentiasa berdoa ...

"Ya Tuhanku, bantulah aku memperbaiki agamaku kerana agama adalah tempat bergantung hidupku, perbaikilah duniaku kerana di atas dunia inilah tempat aku hidup, dan perbaikilah akhiratku kerana ia adalah tempat kesudahanku." (HR Muslim dan Nasa'i).

... mudah-mudahan padulah jiwa dan utuhlah tauhid yang goyah. Aamiin.

*Peristiwa Lahad Datu merapuh hati.


Salam.

Monday, 4 March 2013

Troia

Ternyata Empayar Troy atau Troia dalam bahasa tempatan bukanlah sebuah cerita dongeng di daerah Canakkale, Turki. Ia  tinggalan sejarah purba untuk diamati dan diteliti oleh manusia. Ia telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi UNESCO.


The original wall  (1st kingdom) - Kingdom of Troy

Portion of the ruined Kingdom of Troy

Portion of the ruined Kingdom of Troy


Troy arts and architecture

 Theatre of Troy

Scripture of Troy

The Trojan Horse

Troia, Turki.
13 Nov 2012

Setelah melihat hampir seratus rakaman gambar sekitar Troia, seorang kawan bertanya: "You ke Turki semata-mata nak tengok kuda kayu dan batu-batu pecah tu? Membazir you!"


Salam.


Saturday, 23 February 2013

Kembara kalbu


                                          Eceabat Harbour on the Dardanelles

… and the two of you, where are you from?” Tanya Adem, pembantu pelancong yang sejak tadi tidak sudah-sudah mengelap peluh di dahinya dan sekejap-sekejap meneguk air dari botol yang tinggal separuh kandungannya. Baginya mentari tengahari itu sangat membakar dirinya walau pun angin bertiup kencang yang membuatkan saya dan Nare kerap menggigil kesejukan. 

Malaysia,” jawab Nare penuh bangga. “Malaysia boleh!” Sambung Nare bersemangat. Saya tersenyum lebar kerana punya seorang kawan yang ke mana mana pun akan membawa semangat Malaysia Boleh termasuklah kembara ke Turki ini yang akhirnya menjadi kenyataan setelah tiga tahun menyimpan harap dan menjulang semangat. Alhamdulillah.

Jawapan Nare itu membuatkan wajah para pelawat yang lain bertukar riak. Berkerut jadinya dan mereka memandang kami lama lama bagaikan kami ini alien dari entah planet mana. Maklum, mereka masing-masing datang dari negara bernama besar iaitu Australia, New Zealand, Canada, dan US. Pastinya mereka ada kepentingan tertentu di Gallipoli kerana Perang Gallipoli berkait dengan negara mereka terutama Australia dan New Zealand. Ternyata saya dan Nare datang dari negara yang tiada kaitan langsung dengan Gallipoli dan dari riak wajah mereka seolah-olah memberitahu kami yang kami ini tersangat asing untuk berada di dalam kelompok mereka. Kami juga tidak punya apa-apa gelaran di hadapan atau di belakang nama kami -- kami hanya  orang biasa-biasa yang bertemankan kamera digital yang biasa-biasa juga. Lainlah dengan pelawat dari Canada itu -- seorang photo journalist dan dua orang pelawat dari US pula adalah bekas pensyarah dalam bidang sejarah.

Tidak mengapa tentang apa juga pandangan mereka terhadap saya dan Nare. Kami ini hanya manusia kecil yang berusaha membesarkan jiwa melalui pengembaraan dalam usia yang masih mengizinkan. Sesuai dengan wallet kami yang nipis, maka kami berstatus pengembara santai bukan pelancong mewah. Walau dalam santai, kembara kami bukanlah kembara suka-suka. Kembara kami serius, amat serius untuk mendapatkan ilmu-ilmu yang tidak diajar di kelas-kelas formal. Ilmu yang diperolehi bukan dengan membaca tetapi dengan berjalan, memerhati, dan berfikir -- ilmu yang didapati dengan memboloskan pancaindera kepada alam yang melingkari kehidupan manusia – alam ciptaan Khaliq.


                                          The Sphinx, Gallipoli National Park

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." [al-An’aam: 11]

Ayat Allah Subhana Wa Ta'ala ini adalah salah satu daripada beberapa ayat keteranganNya yang menyuruh manusia mengembara untuk melihat sendiri tanda-tanda kebesaran dan kekuasaanNya di dunia ini. Setuju, ilmu juga boleh diperolehi melalui pembacaan namun cara ini hanya memberikan gambaran – bukan pengalaman. Pengalaman hanya diperolehi apabila berada di lokasi nyata untuk merasai dan mengalami sendiri kehidupan di tempat itu yang meliputi aspek-aspek fizikal, sosial dan budaya tempat itu. Pengalaman itulah apabila disaring dengan baik dan betul akan menjadi ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh diri.

Mengembara adalah satu tanggungjawab yang tidak merugikan jika dilaksanakan dengan tulus dan telus. Jadi setiap perjalanan itu jika diberi taraf dan niat "kembara kalbu" atau "kembara iman" bakal memberi hikmat dan nikmat yang menguntungkan kehidupan duniawi dan ukhrawi. Hatta, perjalanan membeli sebotol kicap di kedai runcit yang jauhnya hanya setengah kilometer dari rumah pun perlu dianggap sebagai sebuah kembara kalbu kerana di sepanjang perjalanan itu banyak perkara yang dapat dibolosi oleh pancaindera. Segala yang dapat ditangkap oleh pancaindera dalam perjalanan yang singkat itu jika diteliti dengan kalbu bukan dengan rambang mata yang tidak berpengkalan bakal menjadi pengalaman yang berilmu. Wallahua'lam.

"Where next?" Tanya Adem sebelum kami berpisah di bandar kecil Eceabat.
"Journey to Troia."

Gallipoli National Park, Turki.
12 Nov 2012


Salam.

Tuesday, 19 February 2013

Merhaba Istanbul :-)

sengaja aku datang
pada awal musim dingin 
walau tangkai tangkai puspa
semakin rapuh di jambangan
kerana
aku datang berhajat
untuk bertamu rasa
melamar kasihmu, Istanbul.

ketika berjalan jalan di Sultanahmet
bagai kudengar sejuta derap kuda
dari sebaik baik tentera
pimpinan sebaik baik raja
mengiringi setiap langkahku
yang kian lama kian deras
merekahkan senyumanku
yang kusimpan bertahun tahun
untukmu, Istanbul.

angin
berpesan di Hagia Sophia
membawa risalah di Masjid Biru
dan Topkapi merentang sirr
sebuah kembara kalbu
lalu Istanbul berkisah
perihal keagungan sejarah lampau
yang meneduh jiwa
menghidupkan mahabbah
dalam sujud yang dihimpun
menjadi saksi
cinta yang bertasbih, di Istanbul.

setelah
mata bersiar di Selat Bosphorus
di Gallipoli dan Troia
selepas nikmat maras dan baklava
di Kapali Carsi
sesudah
secangkir teh panas di Marmara Café
ternyata
damai kasihmu untukku, Istanbul.
Alhamdulillah.

Turki: Istanbul. Gallipoli. Troia.
November 2012

*merhaba  = hello/hi there/greetings


Salam.

Tuesday, 5 February 2013

Bermusimlah Bunga

Musim tidak pernah berubah untuk seorang Bunga. Kepadanya semua musim sama sahaja walau pada hakikatnya musim tetap berubah. Ada musim hujan. Ada musim kemarau. Ada musim durian. Ada musim sakit. Ada musim mengundi. Pula, nun di lurah hati: ada musim ketawa, ada musim menangis, ada musim berkawan, ada musim sepi, ada musim rawan. Tegal itulah si Bunga mahu merubah musimnya yang tidak pernah bermusim. Bukanlah berwindu lamanya menyemai impian yang tidak pun wajib untuk disuburkan, namun di kejauhan hatinya ada pucuk-pucuk rasa yang semakin menghijau kian mencanak naik -- rasa untuk berpindah daerah.

Kemolekan daerah yang ini seharusnya menjadi alasan untuk setia bermukim selamanya. Namun sebuah perjalanan yang selesa itu harus diberi cabaran -- biar harapan dan impian menangga turun seketika lalu sebelum kaki mencecah tanah, citra dicipta untuk mengatur langkah naik ke atas. 

Fikir Bunga, alah bisa barangkali di daerah baru namun yakin itulah permulaan kepada kekebalan jiwa nan satu. Lagi pun bermukim di daerah baru bukanlah untuk melupakan daerah yang lama dan jauh sekali untuk tidak bertandang -- sesekali ia akan dijelang untuk melerai jurai jurai rindu yang dipendam.

Rembulan juga berpindah. Dahulunya bertapak di Januari, kini di Februari. Tidak ada sesuatu pun yang tidak berwaktu dan bertempat dalam kehidupan ini kecuali manusia sendiri menzaliminya. Begitulah juga seorang Bunga itu -- bermukim di daerah baru bukanlah hal yang samar samar lagi kecualilah mentari tiba tiba gerhana di muka langit nan biru.


Salam.

Sunday, 7 October 2012

Satu cinta



One Love - Playing For Change


".saratkan hatimu dengan cinta, suburkan ia dengan iman."


Salam.

Saturday, 29 September 2012

Marah: jangan biarkan hati menjauh


“Mengapa kita meninggikan suara ketika marah? Mengapa manusia saling bertekak dengan suara tinggi apabila mereka rasa tercabar atau kecewa atau melepaskan geram?” Demikian pertanyaan seorang Pendita kepada pengikut-pengikutnya.

Setelah berfikir seketika, seorang daripada pengikut-pengikutnya menjawab, “Sebab dalam keadaan marah atau kecewa, perasaan kita tidak tenang.”

“Tetapi kenapa anda meninggikan suara sedangkan orang yang berhubung dengan anda ada di sebelah atau di hadapan anda?” Tanya Pendita itu lagi.

Pengikut-pengikutnya memberikan beberapa jawapan lagi namun semuanya tidak memuaskan hati Pendita lalu beliau memberikan penjelasannya seperti berikut:

“Apabila dua orang saling memarahi dan bertekak antara satu sama lain, kedua-dua hati mereka juga turut saling menjauh dari diri mereka; semakin kuat amarah mereka, semakin jauh pula jarak hati mereka dan keperluan untuk meninggikan suara juga semakin kuat. Untuk mendekatkan jurang jarak yang jauh itu mereka terpaksa meninggikan suara supaya mereka dapat mendengar apa yang diucapkan.”

Kemudian Pendita bertanya, “ Apakah yang berlaku apabila dua insan jatuh cinta? Bukankah mereka saling berbicara dengan suara lembut dan perlahan, tidak ada kekasaran … mengapa? Kerana hati yang lembut saling mendekati dan menjadikan jarak antara mereka sangat dekat.”

Sambung Pendita, “Apakah yang berlaku apabila ikatan cinta mereka semakin kuat? Bicara mereka bukan lagi luahan kata-kata tetapi bisikan yang lemah-lembut yang menyenangkan serta mampu merapatkan lagi dua hati itu di dalam sebuah cinta. Hati-hati yang saling mendekati adalah hati-hati yang saling memahami dan penuh kasih sayang. Justeru, walau hanya bertentang mata tanpa secebis bisikan pun mereka amat memahami isi hati masing-masing. Betapa rapatnya hati dua insan yang saling cinta-mencintai.”

Moral kepada penjelasan ini menurut Pendita: “Jika berlaku perselisihan faham, jangan bertekak dengan meninggikan suara dan mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menjauhkan hati anda dan menjauhkan hati orang yang anda hadapi. Jika tidak, takut nanti pada suatu hari kelak jurang jarak yang terbina itu menjadi lebih besar dan  jalan untuk kembali berbaik-baik tidak anda temui. Tanpa anda sedari juga, salah satu sifat mazmumah telah tertanam di dalam hati anda.”

Salam.

Saturday, 22 September 2012

Surat khabar lama


Selangit mendung petang tadi. Jadi, sebelum guruh galak berdentum dan kilat tangkas berpedang di langit serta hujan turun menyiram bumi - harus cepat ke kedai untuk membeli roti. Maklumlah, malam nanti dinner yang bakal dihidangkan  kepada 2 orang tetamu yang akan bertandang ialah sandwich tuna tanpa mayonis. Itu pinta mereka: gadis-gadis yang sangat teliti dalam soal penjagaan berat badan.

Terserempak pula dengan Pak Mail, ayah kepada Cik Kiah sebelah rumah yang sedang menyiram pokok cili api yang berbuah lebat di dalam pasu. Sejurus, datang menderum sebuah lori kecil  separuh sarat dengan surat khabar lama.

"Surat khabar lama!"
"Paper lama!"
"Buku lama"
"Bateri lama!"
"Komputer lama!"

Pak Mail berhenti menyiram kemudian memanggil pemandu lori. Lori berhenti betul-betul di hadapan gate rumahnya. 

"Orang lama mau kaa ...?" Pak Mail tersenyum lebar.

"Haa?" Terbeliak mata pemandu lori. "Orang lama kubur saja mau maa!"

Pak Mail terpempan.


Salam.