Cantik
sangatkah Bulan menyebabkan Pungguk pun tidak silu silu merinduinya? Atau Bulankah yang
pandai bermain silap mata – memukau setiap pandangan lalu menebak rasa dan alih
alih lirih cinta pun mercup menggoda hati? Kalau cinta pandang pertama semaraknya
tiada – pada pandang ketiga hati pasti pasrah dan mengalah pada Bulan. Oh,
Bulan! Bulan bercahaya orang suka. Bulan sabit orang gembira. Bulan sipi sipi
di sebalik mendung pun boleh buat orang senyum. Bulan gerhana lagilah sangat
mengujakan sekalian makhluk alam!
Bulan
nun jauh di atas langit sana
tidaklah jauh sangat. Boleh dicapai dengan tangan bak kata lirik ini …
Oh
bintang mana bulan
Atas
pucuk pokok kari
Bintang
tanya pada bulan
Mana
jatuh matahari?
… nah, Bulan itu dekat sahaja! Nun di atas pucuk pokok kari. Capailah Bulan semahu
hati namun usah sekali kali bertanyakan dia - mana jatuhnya si Matahari. Nanti
jawab Bulan: “Hariku malam bukan siang, tugasku mengindahkan kelam malam. Malamku juga malam, tugasku menyembunyikan rahsia malam. Tugasmu membongkar rahsia itu.”
Bulan sangat berharga kepada manusia. Nak puasa - tengok bulan. Nak raya – tengok bulan. Nak bersalin – tunggu bulan. Orang perempuan datang bulan. Nak gaji – akhir bulan. Hujung bulan – ceti/ah long menagih hutang. Kalau nak undi pun ada parti Bulan. Oh, Bulan!
Bulan sentiasa dipuja puji, diasyiki cahaya dan keindahannya.
Maka itulah Bulan jauh nun di langit sana
pun kita nampak dan kita cinta. Bagaimana dengan Khalik – nampakkah kita akan
Dia? Adakah puji dan asyik kita untuk Dia?
Puji dan asyikilah Khalik dalam keadaan berdiri,
duduk, dan berbaring – puji dan asyiki Dia dengan sujud; dengan zikir Asmaul
Husna Nya; dengan menghayati dan meneliti risalah risalahNya; dengan meneladani
sunah sunah RasulNya. Nanti Dia mendekati kita lebih dekat dari yang kita fikirkan. Nanti ada rasa yang paling dalam menggamit naluri yang
mengalirkan ingatan, cinta serta rindu kita kepadaNya. Ingatan, cinta dan rindu
itu tidak akan disia siakanNya - segalanya menjadi harta dunia dan harta akhirat.
Sesungguhnya Khalik itu sangat dekat dengan kita.
CahayaNya Maha Agung.
*Terima kasih
Bro Keng. Pesan ringkas sehari sebelum Ramadhan mengilhamkan tulisan ini. Alhamdulillah.
Salam Ramadhan.
8hb., 1434H
2 comments:
dari cahayanya, sama ada kelam atau terang buat hati manusia berkata-kata. dengan cahayanya manusia menjadi sejujurnya berkata melalui hatinya. dengan cahayanya manusia yang berfikir mengagumi cahaya DIA Yang Maha Pencipta
SHIMI, kata kata yang bercahaya! Alhamdulillah.
Post a Comment