Sunday, 23 June 2013

Penjual kuih

Sudah dua hari minggu Puspa mendengar laungan seorang budak itu, kala petang sesudah waktu Asar. Sesuatu yang menarik, fikir Puspa. Dia teruja lantas pada hari minggu berikutnya dia menunggu laungan itu di depan rumah. Dia mahu melihat siapa empunya diri yang memiliki suara lantang yang telah mendetik rasa di hatinya kepada sesuatu yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu.

"Kuih! Kuih!"

Telinga Puspa meneliti arah suara itu. Makin lama semakin jelas datangnya dari sebelah kiri. Suara itu sekejap ada sekejap tiada. Dia sabar menunggu laungan itu berkumandang di hadapan rumahnya.

Terlirih senyuman di bibir Puspa sebaik melihat penjual kuih berada di hadapannya. Penjual kuih membuka penutup bakul dan terserlahlah kuih kuih jualannya. Aah, ketayap! Seronoknya hati Puspa. Ada cucur badak dan ada juga karipap. Puspa membeli tiga gulung ketayap dan dua biji cucur badak kemudian membayar harganya.

"Harganya dua ringgit je, bukan tiga ringgit." Kata budak itu lalu mengembalikan seringgit kepada Puspa. Puspa menolak. Hadiah untuk adik kata Puspa.

Hari minggu berikutnya Puspa menunggu lagi penjual kuih itu namun dia tidak datang. Puspa menunggu lagi pada hari minggu seterusnya. Dia tidak juga datang. Dua hari minggu selepas itu pun laungan Kuih! Kuih! tidak kedengaran. Selepas itu Puspa tidak lagi menunggunya. 

Kehadiran penjual kuih yang bernama Fikri itu, walau hanya sekali, telah menggetar rasa nostalgianya kepada waktu waktu silamnya semasa kecil – dan Fikri adalah bayangan dirinya di usia sepuluh tahun ketika itu menjual kuih hasil air tangan ibu tersayang. Bezanya cuma, Fikri menjaja kuih pada waktu petang di bandar tetapi Puspa menjaja kuih pada waktu pagi di pekan kecil. Kala kanak kanak lain masih berselimut, Puspa sudah pun bersedia untuk meleraikan hening pagi dengan laungan “Kuih! Kuih!” kepada jiran tetangganya.  Maka itulah dia amat memahami perasaan Fikri ketika menjaja  - penatnya kaki berjalan, lenguhnya lengan mengangkat bakul, peritnya tekak, dan sakitnya hati diejek kanak kanak lain.

Kini Puspa sudah berhenti mengharap dan tidak lagi bersoal soal tentang ketiadaan Fikri. Dia hanya mengingatinya dalam doa - mudah mudahan Fikri  terus menjual kuih selagi ada daya dan masa kerana itulah antara sebaik baik pengalaman yang melatih diri untuk menjadi insan berani dan yakin  menghadapi dugaan hidup yang rencam ini.

Salam.


4 comments:

SHIMI said...

Semoga Fikri menjadi anak yang berjaya, di dunia mahu pun akhirat.

Bunga Rampai said...

SHIMI, Aamiin ya Rabb.

julietchun said...

masa sekolah rendah dulu saya dan kakak berniaga senyap2, kami jual pensil cantik2 dan pemadam, bisik2 dengan kawan :D

Bunga Rampai said...

Juliet, saya pernah berniaga set batu seremban kat kawan kawan sekolah tapi tak bisik bisik... cakap terang terang macam ni: "Mahal ke?... nak ambik, tak nak sudah!" :D