Rasulullah S.A.W pernah
berpesan kepada Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a bahawa akan lahir di
kalangan tabiin seorang yang sangat makbul
doanya yang akan lahir pada zaman mereka iaitu zaman selepas kewafatan Baginda.
Tujuan Rasullulah S.A.W
menyuruh Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a mencari Uwais al-Qarni tidak lain
ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa
sahabat-sahabatnya itu.
Apa istimewanya Uwais
al-Qarni sehingga Rasullulah S.A.W meminta sahabat mencari dan memohon doa
darinya? Inilah kisahnya:
Memang benarlah kata-kata
Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar R.a dan
Saidina Ali R.a. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari
kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan
Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah
orang yang Rasulullah S.A.W sebut-sebutkan kerana, Uwais al-Qarni dianggap
sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk
setempat.
Uwais al-Qarni adalah
seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis
penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah
seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh.
Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal
dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan
dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu
Uwais al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah.
Ibunya menyuruh Uwais al-Qarni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya
ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais
al-Qarni tidak berdaya untuk mencari
perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi
menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang
dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan
di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.
Uwais tidak mampu
menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk
memiliki unta.
Namun atas permintaan
ibunya yang sangat Uwais kasihi, Uwais al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau
membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau
membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu
dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau
akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan
mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang
dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi
bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini
menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuat
rumah untuk lembu di atas bukit kemudian setiap hari mengusung lembu, petang
dibawa naik, pagi dibawa turun bukit.
Namun sebenarnya jika
dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya
hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan
badan Uwais al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu
seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas 8 bulan, musim
haji pun tiba. Rupa-rupanya perbuatan Uwais al-Qarni selama ini adalah satu
persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku
ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau
meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang
beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku, inikan pula ibunya yang lebih
ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya
dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang
sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke
Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke
Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di
Mekah?”
Uwais Al-Qarni menjawab:
“Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu."
Ibunya bertanya lagi:
“Bagaimana pula dengan dosa kamu?”
Uwais Al-Qarni menjawab:
“Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan
saya, maka saya juga masuk syurga.”
Ibunya berkata lagi: “Ibu
inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu
ini.”
Uwais Al-Qarni berkata:
“Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha
dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.”
Ibunya menambah: “Kalau
ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau
berdoa.”
Akhirnya Uwais al-Qarni
tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa
seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar
biasa (sopak) yang dihidapinya itu.
Allah S.W.T lalu
menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali
tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih
kekal pada Uwais al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu
anugerah dan inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W kepada
Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a: “Tandanya kamu nampak di belakangnya ada
satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah
Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya
meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu
beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah.
Saidina Umar R.a dan Saidina Ali R.a dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang
diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar
Allah S.W.T berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni
berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: "Aku ini datang
dari Yaman ke Madinan kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W
kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku."
Maka Uwais al-Qarni pun
telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Saidina Umar,
yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, mahu membuat surat kepada Gabenor
Kufah supaya melayan Uwais al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu
ditolak dengan baik oleh Uwais al-Qarni.
Lalu Uwais al-Qarni
menjawab dengan lembut : "Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga
tidak dikenali lebih aku suka."
Diriwayatkan semasa
kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau.
Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak
menghairankan kerana semasa hidup beliau tiada orang yang mempedulikan beliau
yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah
“orang-orang” tersebut? Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri
daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah kisah Uwais
al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak
terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.
*Ini kisah kegemaran si Bunga Rampai tahun ini.*
Salam.
2 comments:
Allahu Akbar. Walaupun telah beberapa kali terbaca kisah hebat Sahabat ini, tak pernah luntur rasa kagum terhadapnya.
OSH, saya juga kagum. TAAT kepada perintah ALLAH dan TAAT kepada perintanh IBU - itulah kunci Syurga.
Post a Comment